#1983: Ibu Bapa Sering Bergaduh

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Dari kecil sampai dewasa saya menyaksikan pergaduhan ibu bapa di rumah. Kesihatan mental saya dan adik-beradik amat terjejas jika nak dibandingkan dengan mereka yang hidup dalam keluarga bahagia. Apa hukuman atau azab yang dikenakan kepada ibu bapa yang sebegini ya Dr?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda SAW, para sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, saya doakan agar saudara dan adik-beradik sentiasa diberi kekuatan dalam menghadapi ranjau kehidupan. Isu yang berlaku kepada saudara, saya amat simpati. Semoga terdapatnya di sana sinar yang membawa kebahagiaan dan cahaya di hujungnya.

Menjawab persoalan di atas, ibu bapa sebenarnya memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak. Pendidikan sebenarnya bermula dengan pemilihan pasangan hidup agar benar-benar membawa kebahagiaan. Dengan sebab itu, seorang bapa pernah berkata kepada anaknya, “Wahai anakku, sesungguhnya aku telah berbuat baik kepadamu sebelum kamu lahir lagi.” Lantas, anaknya bertanya, “Bagaimana boleh terjadi begitu?” Jawab si bapa, “Sesungguhnya, aku telah memilih ibumu sebagai ibu yang baik.”

Dengan sebab itu, Allah SWT memerintahkan agar perkahwinan kepada wanita yang kita senangi dan sukai. Firman Allah SWT:

فَانكِحُوا مَا طَابَ لَكُم مِّنَ النِّسَاءِ مَثْنَىٰ وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ ۖ

Maksudnya: “Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat.”

Surah al-Nisa (3)

Begitu juga, semestinya difahami bahawa matlamat perkahwinan bagi menghasilkan kebahagiaan dan ketenangan. Firman Allah SWT: 

مِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.

Surah al-Rum (21)

 Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ

Maksudnya: “Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah (suci bersih), kedua ibubapanyalah yang mencorakkannya menjadi Yahudi atau Nasrani atau Majusi.”

Riwayat al-Bukhari (1385)

Mafhum daripada nas ini sebenarnya ibu bapalah yang akan mencorakkan anak, sama ada baik atau buruk. Tingkah laku mereka berdua sudah tentu akan mempengaruhi anak-anak. Dengan sebab itu, Saidina Umar RA pernah mengistilahkan bapa yang derhaka terhadap anak kerana tidak memilih isterinya yang baik (ibu kepada anaknya), menamakan anak dengan nama yang buruk dan tidak pernah mendidik serta mengasuhnya. 

Betapa pentingnya kelebihan mendidik anak, sehingga Rasulullah SAW memberi kecaknaan dan keprihatinan yang besar dan tinggi. Daripada Jabir bin Samurah R.A, sabda Rasulullah SAW:

لأَنْ يُؤَدِّبَ الرَّجُلُ وَلَدَهُ خَيْرٌ مِنْ أَنْ يَتَصَدَّقَ بِصَاعٍ

Maksudnya: “Seseorang mendidik anaknya itu lebih baik baginya daripada bersedekah satu gantang.”

Riwayat al-Tirmizi (1951) dan Ahmad (20970). Dinilai dha’if dalam Dha’if al-Jami’ (4642)

Justeru, dalam menjawab persoalan di atas, bukanlah sifat saya untuk menghukum ibu bapa, tetapi mungkin disitulah berlaku kelemahannya. Dek kerana kekurangan ilmu dan juga kecetekan kefahaman agama di samping kurang mengetahui berkenaan dengan kaedah parenting serta pembinaan keluarga bahagia yang berkesan.

Akibatnya, mereka sentiasa dirundung masalah demi masalah, kawalan emosi yang lemah,  ikut nafsu dan perasaan, begitu juga tanpa menyelidik terlebih dahulu dengan pertimbangan yang sewajarnya. Akibatnya, terjadilah pergaduhan demi pergaduhan sehingga kadang-kadang boleh membawa kepada runtuhnya institusi kekeluargaan.

Yang menjadi masalah aksi tersebut tanpa segan silu berlaku di hadapan anak-anak. Hari demi hari yang akhirnya membekas dalam jiwa dan emosinya serta kurangnya respect dan penghormatan anak terhadap ibu bapanya. 

Salah satu punca utamanya adalah pasangan tidak mahu berubah dan tidak peka dengan peranan masing-masing. Di samping kurang menghargai pasangan. Inilah punca keretakan yang boleh membawa keruntuhan rumah tangga. Justeru, saya nasihatkan kepada ibu bapa agar pamerkanlah akhlak yang indah dan baik lagi mulia di mana sahaja pun termasuklah di hadapan anak-anak mereka. 

Hal ini sudah tentu akan membawa kebaikan untuk anak-anak. Berubahlah, jika kita masih di takuk yang lama, maka tidak hairanlah satu masa nanti anak-anak kurang respect bahkan mengabaikan kita pada masa tua.

Kepada anak-anak, nasihat saya, walau seburuk mana ibu bapa kita, maka ingatlah pesanan Allah SWT:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا ‎Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).

Surah Isra’ (23)

Syeikh al-Maraghi berkata, Allah SWT benar-benar mewasiatkan tentang tanggungjawab terhadap kedua-dua ibubapa secara serius, sehingga sesiapa sahaja yang derhaka terhadap mereka akan meremang bulu romanya serta ngeri mendengarnya. Ini disebabkan wasiat itu dimuliakan oleh Allah SWT dengan perintah supaya manusia bertauhid dan beribadah kepada-Nya. Kemudian kewajipan tersebut digenapkan dengan kewajipan supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibubapa.

Kemudian, fokus perintah supaya memelihara kedua-dua ibubapa itu disempitkan sehingga tidak memberi keringanan untuk bentuk kata-kata yang paling remeh sekalipun, yang diucapkan oleh seseorang yang telah berasa jemu terhadap mereka, sekalipun banyak hal yang menyebabkan timbulnya kejemuan tersebut. Bahkan sekalipun seseorang mengalami keadaan-keadaan yang hampir tidak dapat ditanggung oleh manusia untuk bersabar.  (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/3932) 

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata di dalam tafsirnya pada ayat ini, Allah SWT mengikat banyak ayat berkaitan dengan ibadah dengan tuntutan berlaku baik atau ihsan kepada kedua ibubapa dengan sebaik-baiknya di dalam pergaulan dengan mereka. Ini kerana, mereka adalah sebab hakiki selepas Allah SWT akan kewujudan manusia. (Lihat Tafsir al-Munir, 15/54)

Nas di atas menunjukkan agar kita menyantuni ibu bapa dengan sebaik mungkin. Jangan sekali-kali membantah dan mengherdik mereka. Bahkan, kalimah “oh” sekali pun tidak dibenarkan jika membawa kepada maksud dan makna ingkar dan bangkang. Itulah besarnya ibu bapa kita kepada diri kita.

Kita sewajibnya bermuasyarah dan bermuamalah dengan ibu bapa kita dengan yang makruf, berdoa untuknya, serta mengambil berat berkenaan kehidupannya. Inilah tanggungjawab anak. 

Boleh jadi satu masa nanti dengan akhlak serta sikap bertanggungjawab anak, boleh mengubah fi’il, perangai dan tingkah laku ibu bapa. Banyak kisah yang kami baca, di mana anak yang baik dan soleh telah mengubah sikap dan perangai ibu bapanya sehingga menjadi soleh dan bertaqwa kepada Allah SWT. 

Justeru, sekali lagi saya katakan, jangan bersikap negatif, pesimis dan kasar terhadap orang tua kita kerana kita mahu seluruh keluarga kita akan menuju ke syurga Allah SWT dan menghuninya. 

Yang lebih penting, kita mahu kedua ibu bapa kita berkahir dengan sebuah kesedaran untuk berubah dan menjadi insan yang baik serta pasangan yang benar-benar mengikut neraca syariat dan kasihkan kepada anak-anaknya. Justeru, banyakkanlah berdoa untuk ibu bapa agar menjadi ibu bapa yang soleh dan solehah. Amin.

Ingatlah sebuah hadith, daripada Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

رِضَا اَللَّهِ فِي رِضَا اَلْوَالِدَيْنِ، وَسَخَطُ اَللَّهِ فِي سَخَطِ اَلْوَالِدَيْنِ

Maksudnya: “Keredhaan Allah pada keredhaan kedua ibu bapa, kemurkaan Allah pada kemurkaan kedua ibu bapa.”

Riwayat al-Tirmizi (1900), Ibn Hibban (2026)

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa sebagaimana yang diajarkan oleh Allah SWT:

رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.

Surah al-Isra’ (24)

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H