#1985: Tengok Aurat Wanita Mazhab Lain

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah dibolehkan untuk kita yang bermazhab Syafi‘i melihat aurat wanita berbeza mazhab di televisyen?

 Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Aurat menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pusaka Edisi Keempat bermaksud bahagian tubuh yang tidak boleh kelihatan atau wajib ditutup menurut hukum Islam. Al-Barakti menyebutkan bahawa aurat itu adalah sau’ah lelaki dan juga wanita, yakni  perkara yang memalukan bagi mereka berdua (jika dilihat orang lain). (Lihat  al-Ta‘rifat al-Fiqhiyyah, hlm. 153)

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

Maksudnya: “Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isteri dan anak-anak wanita kamu serta kepada para isteri orang mukmin sekalian, hendaklah menghulurkan jilbab mereka ke seluruh tubuh badan mereka kerana dengan itu mereka akan mudah dikenali (sebagai mukminah) dan mereka selamat daripada gangguan. Dan sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

(Surah al-Ahzab: 59)

Al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat ni menyatakan: “Ayat ini, yang dikenali sebagai ayat Hijab, adalah perintah daripada Allah kepada Nabi-Nya untuk memerintahkan wanita secara umumnya, bermula dengan isteri-isteri dan anak-anak wanita Baginda, kerana mereka lebih dekat daripada yang lain, dan kerana sesuatu perintah sepatutnya dimulakan dengan keluarganya sendiri sebelum orang lain.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm.671)

Batasan Aurat Wanita

Ulama’ berbeza pandangan menurut fuqaha’ berkenaan batasan aurat wanita yang perlu ditutup daripada dilihat lelaki ajnabi.

Mazhab al-Syafi‘i

Terdapat perbezaan pendapat di dalam kalangan fuqaha’ al-Syafi‘i sendiri, sebahagian mereka mengatakan bahawa keseluruhan tubuh wanita adalah aurat kecuali muka dan kedua tapak tangan. Manakala sebahagian lainnya mengatakan bahawa keseluruhan tubuhnya adalah aurat tanpa sebarang pengecualian.

Imam Ibn Hajar al-Haitami ketika mensyarahkan kalam Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa haram hukumnya melihat kepada wajah dan kedua tapak tangan wanita yang merdeka sekalipun tanpa syahwat. Al-Ziyadi menyatakan di dalam syarahnya ke atas al-Muharrar bahawa aurat wanita yang tidak boleh dilihat lelaki ajnabi adalah keseluruhan badannya termasuklah wajah dan kedua tapak tangan menurut pandangan yang mu‘tamad. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 2/112)

Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari menyatakan bahawa batas aurat bagi seorang wanita yang merdeka semasa dalam solat, mahupun luar solat (iaitu dengan lelaki ajnabi) adalah seluruh badannya melainkan muka dan kedua telapak tangan sama ada bahagian luar atau bahagian dalam sehingga pergelangan kedua tapak tangannya.

Kemudian, beliau telah menukilkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma dan selainnya yang mengatakan:

مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَجْهُهَا وَكَفَّاهَا وَإِنَّمَا لَمْ يَكُونَا عَوْرَةً؛ لِأَنَّ الْحَاجَةَ تَدْعُو إلَى إبْرَازِهِمَا وَإِنَّمَا حُرِّمَ النَّظَرُ إلَيْهِمَا؛ لِأَنَّهُمَا مَظِنَّةُ الْفِتْنَةِ

Maksudnya : “Apa yang zahir daripadanya (wanita itu) ialah muka dan telapak tangannya. Kedua-duanya bukanlah aurat kerana terdapatnya keperluan (hajat) untuk mendedahkannya. Adapun diharamkan untuk melihat pada kedua-duanya kerana biasanya  kedua-duanya akan membawa kepada timbulnya fitnah.” (Lihat Asna al-Matalib, 1/176)

Mazhab al-Hanafi

Fuqaha’ Mazhab al-Hanafi pula berpendapat bahawa keseluruhan tubuh wanita adalah aurat, kecuali muka dan kedua tapak tangan. Akan tetapi mereka berselisih pendapat mengenai kedua kaki wanita, sebahagian mereka mengatakan ianya adalah aurat dan sebahagian mereka berpandangan sebaliknya.

Imam al-Kasani al-Hanafi menyebutkan bahawa muka dan kedua telapak tangan wanita bukanlah aurat, ia merupakan kelonggaran yang telah diberikan oleh Allah SWT berdasarkan firman-Nya di dalam surah al-Nur ayat 31. Selain itu, diharuskan bagi mereka mendedahkan muka dan kedua telapak tangannya kerana mereka berhajat kepada jual beli, mengambil dan memberi. Oleh itu, secara adatnya, semua perkara itu tidak mungkin dapat dilakukan melainkan dengan mendedahkan muka dan juga kedua telapak tangan. (Lihat Badai‘ al-Sanai‘, 5/121-122)

Imam al-Nawawi dan Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi menyebutkan bahawa kedua kaki wanita adalah tidak dikira sebagai aurat menurut pandangan yang diambil oleh Imam Abu Hanifah. (Lihat al-Majmu‘, 3/169; al-Mughni, 1/430)

Ibn Nujaim al-Misri menyebutkan di dalam syarahnya ke atas Kanz al-Daqa’iq bahawa pengecualian kaki (daripada anggota aurat) kerana sukar untuk tidak membuka kaki terutamanya bagi golongan faqir (yang tidak berkemampuan), dan terdapat perbezaan riwayat daripada Abu Hanifah dan mashyikh (dalam mazhab berkenaan isu ini). Pandangan bahawa kaki bukan aurat telah disahihkan di dalam kitab al-Hidayah dan Syarh al-Jami‘ al-Saghir oleh Qadhi Khan.

Kemudian Ibn Nujaim menyatakan juga bahawa suatu anggota yang bukan aurat, tidaklah lazim bahawa ianya boleh dilihat. Adapun boleh melihat kepadanya tertakluk kepada ketiadaan syahwat semasa melihatnya. (Lihat al-Bahr al-Ra’iq Syarh Kanz al-Daqa’iq, 1/285)

Mazhab al-Maliki

Imam al-Dardir al-Maliki pula menyatakan bahawa aurat wanita dengan lelaki ajnabi ialah seluruh tubuhnya melainkan muka dan kedua telapak tangannya. Kedua-duanya bukanlah aurat, akan tetapi diwajibkan ke atas wanita berkenaan untuk menutup kedua-duanya kerana dikhuatiri timbulnya fitnah. Imam al-Sawi mengulas kenyataan tersebut dengan mengatakan harus melihat kedua-duanya (muka dan telapak tangan) serta tidak ada beza antara melihat bahagian luar atau bahagian dalam, selagi mana bukan dengan tujuan untuk bersedap-sedap (syahwat). Sekiranya tidak, haram untuk melihatnya. (Lihat Hasyiah al-Sawi ‘ala al-Syarh al-Saghir, 1/289)

Mazhab al-Hanbali

Al-Buhuti menyebutkan bahawa kedua tapak tangan dan wajah wanita yang merdeka dan telah baligh adalah aurat ketika luar solat. (Lihat Kasyaf al-Qina‘ ‘an Matn al-Iqna‘, 2/130)

Justeru, kita ketahui bahawa batas aurat seorang wanita dengan lelaki yang bukan mahramnya adalah seluruh tubuhnya melainkan muka dan kedua telapak tangannya. Manakala terdapat pandangan dalam mazhab al-Hanafi bahawa kaki juga bukan aurat. Ianya juga adalah pendapat al-Imam al-Muzani dari kalangan ulama’ Mazhab al-Syafi‘i dan juga Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dari kalangan ulama’ Mazhab al-Hanbali.

Sekalipun begitu, jika anggota yang tidak dikira aurat itu bukanlah bermaksud diharuskan untuk melihat kepadanya dengan sesuka hati, bahkan para ulama’ menyebutkan keharusan membuka anggota yang telah disebutkan jika adanya hajat dan selamat daripada fitnah serta tidak menimbulkan syahwat.

Melihat Aurat Wanita Berlainan Mazhab

Persoalan ini perlu diteliti terlebih dahulu, kerana ia kebanyakannya terzahir di kaca-kaca television. Sebahagian mereka yang tidak bertanggungjawab meminta untuk dibentangkan perkara ini atas tujuan yang salah, seperti eksploitasi kecantikan wanita itu sendiri, sama ada kecantikan wajahnya atau mukanya atau tubuhnya dan sebagainya.

Maka jika tujuannya adalah untuk perkara yang salah maka tidak boleh, tambahan pula kemajuan teknologi yang memudahkan lagi untuk tersebarnya kecantikan wanita tersebut dengan niat yang salah dan bertentangan dengan hukum syara‘.

Adapun, hukum asal melihat aurat sama bagi wanita atau lelaki adalah dilarang di dalam islam. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.”

(Surah al-Nur: 30)

Ayat di atas diikuti dengan firman Allah SWT:

وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا

Maksudnya: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.”

(Surah al-Nur: 31)

Imam al-Tabari ketika menafsirkan (يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ) mengatakan bahawa Allah SWT memerintahkan orang islam untuk menjaga penglihatan daripada melihat apa yang mereka bersyahwat padanya. (Lihat Jami‘ al-Bayan ‘an Ta’wil Ayi al-Quran, 19/154)

Melihat kepada keadaan di Malaysia yang menjadi tumpuan pekerja asing yang merantau daripada negara yang berpegang dengan Mazhab al-Hanafi, sekiranya mempunyai hajat dan keperluan untuk berinteraksi dengan wanita tersebut, dan susah untuk mengelak daripada tidak melihat kepada anggota mereka yang mereka anggap sebagai bukan aurat seperti kaki, maka hukumnya adalah dibolehkan.

Akan tetapi, jika diyakini apabila melihat kepada anggota tersebut boleh menimbulkan syahwatnya maka hukumnya adalah haram.

Manakala, jika tujuan memperlihatkan anggota wajah, kedua tangan atau kedua kaki tersebut bagi tujuan komersial dan menarik perhatian lelaki, maka hukumnya adalah haram seperti yang telah kami bawakan perbincangannya di atas.

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H