#1986: Kedudukan Mayat Lelaki dan Perempuan Apabila Ingin Disolatkan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Kadang-kadang saya lihat ketika berada di kota suci makkah banyak jenazah yang disolatkan dalam satu-satu masa. Persoalan saya, bagaimana cara susunan kedudukan mayat lelaki dan perempuan ketika imam mensolatkannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda SAW, para sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوفْ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الأَمَوَالِ وَالأنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ . الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُواْ إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ

Maksudnya: “Demi sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar – (Iatu) orang-orang yang apabila mereka di timpa oleh sesuatu musibah (kesusahan) mereka mengucapkan: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”

Surah al-Baqarah (155-156)

Kedudukan imam ketika solat jenazah lelaki dan perempuan iaitu imam berdiri menghadap ke arah kepala untuk jenazah lelaki dan bahagian tengah untuk jenazah perempuan. 

Hal ini berdasarkan hadith Abu Ghalib, dia berkata: “Aku pernah solat jenazah lelaki bersama Anas bin Malik, dan ia berdiri menghadap ke arah kepalanya. Kemudian, datang pula mereka yang membawa jenazah perempuan dari suku Quraisy, lalu mereka berseru: “Wahai Abu Hamzah (nama julukan Anas bin Malik), solatkanlah jenazah ini.” Lantas, Anas pun berdiri menghadap ke bahagian tengah keranda jenazah. Kemudian ‘Ala bin Ziyad bertanya kepadanya: “Seperti demikiankah engkau melihat Nabi SAW berdiri di hadapan jenazah (perempuan), yakni seperti kedudukanmu darinya dan kedudukanmu dari jenazah lelaki? Anas menjawab:

“Ya.” Setelah selesai, dia berkata: “Peliharakanlah”

Diriwayatkan daripada Samurah bin Jundub RA, dia berkata: “Aku pernah solat di belakang Nabi SAW ke atas jenazah seorang perempuan yang meninggal dalam masa nifasnya. Beliau berdiri untuk mensolatinya pada bahagian tengahnya.”

Ibn Qayyim berkata: “Dan termasuk petunjuk Nabi SAW: Bahawa beliau berdiri menghadap ke arah kepala jenazah lelaki dan bagian tengah jenazah perempuan. “

Justeru, dapatlah kita fahami bahawa kedudukan imam ketika solat jenazah lelaki berada di bahagian kepala dan kepada jenazah wanita menghadap ke arah tengahnya.

Menjawab persoalan di atas, jika terdapat beberapa jenazah yang berlainan jenis kelamin.

Apabila terdapat jenazah lelaki, perempuan dan kanak-kanak, maka semuanya boleh dilakukan solat dengan sekali sahaja. Cuma, susunannya seperti berikut:

  • Jenazah lelaki, sekali pun masih kecil, diletakkan berdekatan di depan imam, dan jenazah perempuan diletakkan ke arah kiblat setelah jenazah lelaki.

Perkara ini berdasarkan perbuatan Ibn Umar RA seperti mana yang diriwayatkan oleh Nafi’. Beliau berkata:

أَنَّ ابْنَ عُمَرَ صَلَّى عَلَى ‌تِسْعِ ‌جَنَائِزَ جَمِيعًا فَجَعَلَ الرِّجَالَ يَلُونَ الْإِمَامَ وَالنِّسَاءَ يَلِينَ الْقِبْلَةَ، فَصَفَّهُنَّ صَفًّا وَاحِدًا وَوُضِعَتْ جَنَازَةُ أُمِّ كُلْثُومِ بِنْتِ عَلِيٍّ امْرَأَةِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ وَابْنٍ لَهَا يُقَالُ لَهُ زَيْدٌ وُضِعَا جَمِيعًا وَالْإِمَامُ يَوْمَئِذٍ سَعِيدُ بْنُ الْعَاصِ وَفِي النَّاسِ ابْنُ عُمَرَ وَأَبُو هُرَيْرَةَ وَأَبُو سَعِيدٍ وَأَبُو قَتَادَةَ فَوُضِعَ الْغُلَامُ مِمَّا يَلِي الْإِمَامَ

Maksudnya : “Sesungguhnya Ibnu Umar menunaikan solat ke atas sembilan jenazah. Beliau meletakkan lelaki berhadapan dengan imam dan jenazah wanita berhadapan kiblat. Beliau menyusun mereka semua dalam satu saf. Jenazah Ummu Kalthum Binti Ali, isteri kepada Umar Bin Al-Khattab dan anaknya Zaid diletakkan kesemuanya. Imam pada hari tersebut adalah Sa’ad Bin Al-‘As dan solat tersebut dihadiri oleh Ibn Umar, Abu Hurairah, Abu Sa’id dan Abu Qatadah. Jenazah kanak-kanak pula diletakkan selepas jenazah lelaki (yang berada di hadapan imam).”

Riwayat Al-Nasai (1978), Sunan Al-Nasaie (1987), Maktab Al-Matbu’at Al-Islamiyah, Aleppo, (4/71)

  • Selepas itu jenazah anak lelaki di belakangnya.
  • Setelah itu jenazah perempuan (dewasa) di belakang keduanya.
  • Dan anak perempuan di belakang jenazah perempuan (dewasa) dekat dengan arah kiblat.

Imam Ibnu Qudamah berkata: “Tidak ada perbezaan pendapat di kalangan ulama mengenai dibolehkannya solat untuk beberapa jenazah sekaligus, namun jika masing-masing jenazah dishalatkan sendiri-sendiri, hal itu pun diharuskan.”

Perkara ini dijelaskan oleh Ibn Al-Naqib Al-Misri. Beliau menyatakan :

ويجوزُ أنْ يصليَ عليهم دُفعةً واحدةً

“Harus untuk menunaikan solat ke atas mereka serentak.” (Lihat ‘Umdah Al-Salik wa ‘Uddah Al-Nasik, hlm.92)

Imam Syamsuddin Al-Ramli menyatakan :

(وَيَجُوزُ عَلَى الْجَنَائِزِ صَلَاةٌ) وَاحِدَةٌ بِرِضَا أَوْلِيَائِهَا لِأَنَّ الْغَرَضَ مِنْهَا الدُّعَاءُ وَالْجَمْعُ فِيهِ مُمْكِنٌ سَوَاءٌ كَانُوا ذُكُورًا أَمْ إنَاثًا أَمْ ذُكُورًا وَإِنَاثًا

“Harus untuk menunaikan solat ke atas jenazah secara serentak dengan izin penjaga-penjaga mereka kerana tujuan solat jenazah itu adalah untuk mendoakan mereka. Boleh dikumpulkan mereka untuk disolatkan secara serentak sama ada mereka itu lelaki atau perempuan kesemua atau bercampur lelaki dan perempuan.” (Lihat Nihayah Al-Muhtaj ila Syarh Al-Minhaj, 2/492)

Namun begitu, Paling afdal solat ke atas jenazah seorang demi seorang adalah sepakat ulama Syafi’iyyah dalam hal ini dan tiada khilaf. Imam Ibnu Hajar Al-Haitami menjelaskan:

وَالْأَفْضَلُ إفْرَادُ كُلِّ جِنَازَةٍ بِصَلَاةٍ إلَّا مَعَ خَشْيَةِ نَحْوِ تَغَيُّرٍ بِالتَّأْخِيرِ

“Paling utama (afdal) adalah menunaikan solat jenazah satu persatu melainkan jika takut berlaku apa-apa kepada jenazah seperti takut jenazah rosak dengan sebab lambat.” (Lihat Tuhfah Al-Muhtaj fi Syarh Al-Minhaj, 3/157)

Apabila jenazah-jenazah tersebut memiliki satu jenis kelamin, maksudnya jika terdiri dari beberapa jenazah lelaki sahaja, contohnya, maka yang diletakkan di dekat dengan posisi imam adalah orang yang paling mulia di antara mereka. Ini kerana, Nabi SAW pernah bertanya kepada para sahabat mengenai orang yang paling banyak hafalan al-Qurannya diantara para syuhada, lalu beliau mendahulukannya dalam liang lahad.

Dari sini, diambil kesimpulan hukum bahwa jenazah yang paling mulia atau paling alim dikedepankan dekat dengan imam, kemudian yang mulia setelahnya dan begitulah seterusnya.

Kami akhiri dengan doa kepada jenazah:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُمْ وَارْحَمْهُمْ، وعافِهِمْ واعْفُ عَنْهُمْ

Maksudnya: “Ya Allah, ampunkanlah mereka, kasihilah mereka, afiyatkanlah mereka, dan maafkanlah mereka.”

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H