#1997: Lafaz “Kalau Kau Bercakap Lagi Aku Ceraikan Kau!” Dalam Keadaan Marah

Soalan:

Assalamualaikum Dato, saya ingin bertanya boleh ke  Suami isteri bergaduh dan suami telah berkata kepada isteri ,kalau kau bercakap lagi aku ceraikan kau, suami berkata dalam keadaan terjerit-jerit, marah-marah, adakah sah apa yang diperkatakan itu?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda SAW, para sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah Bin Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَبْغَضُ الْحَلاَلِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى الطَّلاَقُ

Maksudnya: “Perkara halal yang amat dibenci oleh Allah ialah talaq.”

Riwayat Abu Daud (2178), Ibn Majah (2018), al-Hakim (2/197) 

Secara umumnya, talak itu hukumnya halal iaitu dibolehkan untuk melakukannya, namun perbuatan itu dianggap makruh. Ini bermakna syariat mengizinkan talak, namun barang siapa yang meninggalkan atau berusaha menjauhi perkara yang makruh akan mendapat pahala

Ta’liq Talak

Pada asasnya, talak boleh dilakukan secara langsung atau dengan ta‘liq. Talak Ta‘liq bermaksud suami menggantungkan jatuhnya talak  isterinya dengan terjadi sesuatu sifat atau syarat yang dikaitkan dengan isteri atau orang lain.

  • Contohnya, suami menggantungkan jatuh talak isterinya dengan kedatangan seseorang atau dengan perbuatan tertentu yang dilakukan oleh isterinya, atau orang lain.
  • Contoh talak yang dikaitkan dengan sifat ialah suami berkata kepada isterinya: “Kamu tercerai kerana ayahmu datang” atau “kamu tercerai dalam bulan Ramadhan.”Sehubungan dengan itu, apabila ayahnya datang atau masuk bulan Ramadhan, jatuhlah talak.
  • Contoh yang dikaitkan dengan syarat ialah suami berkata kepada isterinya: “Kamu tercerai jika keluar dari rumah ini” atau “kamu tercerai jika saudara lelakimu masuk ke dalam rumah ini.” Oleh yang demikian, apabila isteri itu keluar dari rumah atau saudara lelakinya masuk ke dalam rumahnya, maka jatuhlah talak.

Hal ini berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda:

الـمُسْلِمُوْنَ عِنْدَ شُرُوْطِهِمْ

Maksudnya: “Orang Islam terikat dengan syarat-syarat yang mereka tetapkan.

Menjawab bagi persoalan di atas pertamanya dapat kami nyatakan di sini bahawa pergaduhan dalam rumahtangga adalah masalah yang tidak baik kerana Allah SWT memerintahkan di dalam al-Quran :

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”

(Surah al-Nisa: 19)

Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini menyatakan : Bersikaplah baik dalam perkataan kepada mereka, dan perbaikilah perbuatan dan penampilanmu sejauh kemampuanmu, sebagaimana engkau mengharapkan perlakuan yang serupa darinya, maka lakukanlah kepadanya seperti itu. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 2/242)

Dalam situasi ini suami melafazkan  talak dalam keadaan marah,  dalam mazhab al-Syafi’i, talak yang dijatuhkan ketika marah adalah sah. Namun kami juga cenderung juga kepada pendapat jika marah itu sifatnya melampau sehingga hilang akal dan perasaan, seperti orang gila, maka tidak jatuh talak sepertimana yang telah diriwayatkan daripada Aisyah R.anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا طَلَاقَ وَلَا عَتَاقَ فِي إِغْلَاقٍ

Maksudnya: “Tidak berlaku talak dan pembebasan hamba yang dilakukan dalam keadaan Ighlaq.”

 Riwayat Abu Dawud (2193)

Mengikut lafaz yang dilontarkan oleh suami “kalau kau bercakap lagi aku ceraikan kau”, lafaz tersebut  termasuk dalam lafaz ta’liq yang mana telah diterangkan di atas. Maka, dalam situasi seperti ini sekiranya isteri tidak bercakap maka tidak jatuh lah talak tersebut. Justeru, kami berpandangan supaya merujuk kepada  mahkamah syariah dan membuat permohonan pengesahan lafaz talak kerana kaedah menyebut :

حُكْمُ الْحـَاكِمِ يَرْفَعُ الخِلَافَ

Maksudnya: “Keputusan hakim (yakni pemerintah) mengangkat khilaf.”

Akhir kalam, semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman yang tepat kepada kita dalam melaksanakan setiap titah perintah-Nya. Amin.

Kami menutup dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

(Surah al-Baqarah: 201)

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H