Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Maaf sekiranya saya mengganggu. Tapi saya mahukan satu pendapat dan pandangan Dato’ Seri. Kakak ipar saya ada membuka satu office untuk perniagaan catering,dan juga Spa Muslimah dan dibawah kedai kakak ipar saya tu ada kelab malam/pusat karaoke,kelab tu dibuka dari 5pm, sementara kakak ipar buka kedai dari jam 9 am sehingga 5 pm.Jadi apakah kita itu termasuk mendekati tempat maksiat jika tempat kami bekerja ni berdekatan dengan tempat maksiat.Lalu adakah berdosa sekiranya kami teruskan menyewa kedai disitu.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam Islam halal dan haram adalah nyata sedangkan syubhah hendaklah kita menjarakkannya kerana ia boleh memelihara maruah dan agama seseorang. Sabda Nabi SAW:
إِنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ، والْحَرَامَ بَيِّنٌ، وبَيْنَهُمَا مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقَدِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وعِرْضِهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Diantara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhat bererti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya.”
Riwayat al-Tirmizi (1205)
Hadith ini memberi banyak pedoman kepada kita dalam melayari bahtera kehidupan dengan mengenal pasti yang halal dan haram, begitu juga cuba menjarakkan perkara yang menjadi kesamaran. Hadith ini banyak faedahnya.
Antaranya:
- Salah satu tanda sikap wara’ adalah meninggalkan perkara syubhah.
- Banyak melakukan perkara syubhah membawa seseorang itu kepada perbuatan haram.
- Petanda taqwa seseorang adalah dia meninggalkan perkara yang dibenarkan kerana khuatir terjerumus dalam perkara yang haram.
- Hendaklah menutup pintu dan ruang terhadap peluang yang membawa kepada perbuatan haram.
- Makan makanan yang halal dan berusaha bersungguh-sungguh mendapatkan yang halal kerana ia sangat memberi kesan terhadap iman dan hati. Imam Ahmad Rahimahullah ditanya tentang apakah perkara yang melembutkan hati? Beliau menjawab, “Makan makanan yang halal.”
- Setiap keraguan dan kesamaran dalam sesuatu perkara sewajarnya ditinggalkan. Hal ini penting agar diri tidak terjebak dengan perkara haram. Hadith ini menjadi dasar bagi prinsip hukum sad al-zara’i’ (سد الذرائع) iaitu menutup pintu keburukan. Selain itu, dengan menjauhi kesamaran ini, kita telah menghiasi diri kita dengan sifat wara’.
Kami nyatakan pendapat Dr Yusuf al-Qaradhawi:
“Di sini, kami menegaskan bahawa mengetahui yang halal dan haram secara umum sahaja masih tidak memadai. Asas halal dan haram sememangnya tidak lari bagi setiap Muslim, akan tetapi masih terdapat segelintir umat Islam terjerumus ke dalam perkara yang diharamkan seolah-olah mereka sedang menerokai perjalanan untuk jatuh ke lembah neraka, sedangkan mereka semua mengetahui apa yang mereka lakukan.
Yang penting di sini, seseorang itu mestilah mempunyai sifat takwa kepada Allah SWT yang menjadi asas bagi semua permasalahan hidup.
Mereka juga boleh menggunakan ungkapan lain yang sering kedengaran sejak akhir-akhir ini seperti: Seseorang itu mestilah mempunyai kesedaran yang tinggi yang boleh menahan orang yang beragama Islam pada batasan halal serta melindungi mereka daripada melalui jalan yang haram.
Apabila seseorang Islam sudah dilengkapi dengan sesuatu ilmu yang menyedarkan tentang batasan agama dan syariatnya, di samping adanya kesedaran yang jitu berkenaan perihal menjaga diri daripada melalui batasan itu supaya tidak mendekatinya, maka pada ketika itu akan lengkaplah semua kebaikan pada dirinya.” (Lihat al-Kafi Syarah Hadis 40, hlm. 67-68)
Selain itu, Islam juga menganjurkan kita supaya mengelakkan daripada fitnah dan salah faham daripada orang lain. Hal ini berdasarkan kaedah yang mengarahkan seseorang Muslim itu agar memelihara dirinya daripada terjebak dalam sebarang perkara yang boleh menyebabkan timbulnya salah faham terhadap dirinya sendiri:
اتَّقُوا مَوَاضِعَ التُّهَمِ
Maksudnya: “Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan.”
Kaedah ini diambil daripada kata-kata Saidina Umar RA,
مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ
Maksudnya: “Sesiapa yang menempuhi, laluan-laluan tohmahan, akan ditohmah.”
Apa jua perkara yang berisiko menimbulkan fitnah, hendaklah sedaya upaya dielakkan kerana ia akan memberi kesan yang buruk baik untuk jangka masa pendek mahupun panjang. Hal ini kerana sekiranya premis tersebut berhampiran dengan tempat maksiat, ia mungkin menyebabkan mereka yang berdekatan dengan tempat tersebut boleh terjebak dengan masuk ke tempat maksiat tersebut.
Kesimpulan
Justeru dalam hal ini, kami syorkan supaya kakak ipar saudara yang membuka perniagaan berhampiran dengan tempat maksiat supaya menjarakkan diri dari tempat tersebut dan menyewa premis yang lebih sesuai.
Ini dibimbangi kadang-kadang ketika jiwa lemah, mungkin berlaku rasa redha dan ingin mengetahui sehingga sudah menjadi mangli dan kebiasaan. Oleh itu, harapannya agar kakak ipar saudara sentiasa prihatin dan cakna hal ini dan berazam untuk mencari tempat yang jauh lebih sesuai.
Semoga kita mempunyai sedikit sifat warak dalam meniti kehidupan yang penuh mencabar ini. Saya mendoakan semoga anda diberi rezeki tanpa sebarang syubhah. Marilah sama-sama kita berdoa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Riwayat Ibn Majah (925), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (9930) dan Ahmad (26602)
Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H