Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Di manakah kedudukan Baitul Makmur? Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَالطُّورِ (1) وَكِتَابٍ مَسْطُورٍ (2) فِي رَقٍّ مَنْشُورٍ (3) وَالْبَيْتِ الْمَعْمُورِ
Maksudnya: “Demi gunung Tur (1). Dan demi kitab yang ditulis (2). Dalam satu lembaran yang terbuka dan terbentang (3). Dan demi Baitul Makmur.”[1]
Ayat di atas mengandungi sumpah Allah SWT dengan al-Bait al-Ma‘mur yang merupakan tempat para malaikat bertawaf di sekelilingnya. Ia buat penduduk langit ibarat Kaabah yang disediakan buat penduduk bumi.[2] Sayyid Qutb mengatakan bahawa bokeh jadi yang dimaksudkan dengan al-Bait al-Ma‘mur itu ialah Kaabah. Namun, pendapat yang lebih kuat, ia merujuk kepada rumah ibadat para malaikat di langit.[3] Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Malik bin Sa’sa‘ah R.Anhuma, katanya: Nabi SAW bersabda:
فَأَتَيْنَا السَّمَاءَ السَّابِعَةَ، قِيلَ: مَنْ هَذَا؟ قِيلَ: جَبْرَئِيلُ، قِيلَ مَنْ مَعَكَ؟ قِيلَ: مُحَمَّدٌ. قِيلَ: وَقَدْ أُرْسِلَ إِلَيْهِ؟ مَرْحَبًا بِهِ! وَلَنِعْمَ الـمَجِيءُ جَاءَ! فَأَتَيْتُ عَلَى إِبْرَاهِيمَ فَسَلَّمْتُ عَلَيْهِ، فَقَالَ: مَرْحَبًا بِكَ مِنِ ابْنٍ وَنَبِيٍّ! فَرُفِعَ لِيَ البَيْتُ الـمَعْمُورُ، فَسَأَلْتُ جَبْرَئِيلَ، فَقَالَ: هَذَا البَيْتُ الـمَعْمُورُ يُصَلِّي فِيهِ كُلَّ يَوْمٍ سَبْعُونَ أَلْفَ مَلَكٍ، إِذَا خَرَجُوا لَمْ يَعُودُوا إِلَيْهِ آخِرُ مَا عَلَيْهِ
Maksudnya: “Kami tiba di langit ketujuh. Dikatakan: ‘Siapakah ini?’ Dikatakan: ‘Jibril.’ Dikatakan: ‘Siapakah yang bersamamu?’ Dikatakan: ‘Muhammad.’ Dikatakan: ‘Adakah dia telah dijemput?’ ‘Selamat datang kepadanya! Sesungguhnya sebaik-baik orang yang datang kini telah pun datang!’ Aku datang kepada Nabi Ibrahim A.S dan memberi salam kepadanya. Nabi Ibrahim A.S berkata: ‘Selamat datang untukmu, seorang anak dan seorang nabi.’ Maka diangkatlah (disingkapkan dan didekatkan) Baitul Makmur untukku. Aku bertanya kepada Jibril, maka Jibril menjawab: ‘Ini ialah Baitul Makmur. Setiap hari, 70000 malaikat solat di dalamnya. Apabila mereka keluar maka mereka tidak akan kembali lagi kepadanya kerana itu merupakan kali terakhir mereka memasukinya.’”[4]
The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.
Ibn Kathir menjelaskan lagi mengenai perkara ini dalam kitabnya, iaitu para malaikat beribadah di dalamnya dan melakukan tawaf di sekelilingnya sebagaimana penduduk bumi melakukan tawaf di sekeliling Kaabah mereka — yakni di Baitullah al-Haram. Justeru, begitulah juga halnya Baitul Makmur, yang merupakan Kaabah buat penduduk langit ketujuh. Oleh sebab itu, Nabi Ibrahim A.S menyandarkan belakangnya di Baitul Makmur. Hal ini kerana beliaulah yang telah membangunkan kaabah di bumi, maka ganjaran pahala yang diberikan kepadanya juga adalah sepadan dengan amalan yang telah beliau lakukan — yakni membina Kaabah — dan Baitul Makmur itu berada sejajar dengan kedudukan Kaabah. Seterusnya Ibn Kathir menyebutkan lagi, paad setiap lapisan langit itu terdapatnya rumah ibadah yang menjadi tempat penduduknya beribadah di dalamnya dan solat menghadapnya. Rumah ibadah yang berada di langit dunia dipanggil sebagai Baitul ‘Izzah.[5]
Selain itu, al-Tabari juga ada menukilkan dalam kitabnya bahawa seseorang bertanya kepada Ali R.A berkenaan Baitul Makmur. Lalu beliau menjawab, ia merupakan rumah (atau tempat ibadat) yang berada di langit, yang dipanggil sebagai al-Durah (الضُّرَاحُ). Ia berada sejajar dengan kedudukan Kaabah dari arah atasnya. Kemuliaan dan kedudukannya (yakni tempat tersebut) di langit adalah sama sepertimana kemuliaan dan kedudukan Baitullah (yakni Kaabah) di bumi. Para malaikat seramai 70000 mendirikan solat di dalamnya dan mereka tidak akan kembali lagi untuk beribadah di dalamnya buat selamanya — kerana terlalu ramai.[6]
Tambahan lagi, Qatadah juga ada menyatakan, diceritakan kepada kami bahawa pada suatu hari Rasulullah SAW pernah bersabda kepada para sahabatnya:
هَلْ تَدْرُونَ مَا الْبَيْتُ الْمَعْمُورُ؟ قَالُوا: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ. قَالَ: فَإِنَّهُ مَسْجِدٌ فِي السَّمَاءِ تَحْتَهُ الكَعْبَة لَوْ خَرّ لَخَرّ عَلَيها
Maksudnya: “Adakah kamu mengetahui apakah itu Baitul Makmur?” Para sahabat menjawab: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Baginda bersabda: “Sesungguhnya ia ialah masjid — yakni rumah ibadat — yang berada di langit, bawahnya pula terletaknya Kaabah. Kalaulah Baitul Makmur ini jatuh, pasti ia akan jatuh di atasnya — yakni Kaabah itu.”[7]
Pengarang Silsilah al-Ahadith al-Sahihah telah mengulas riwayat di atas dengan menyatakan bahawa sanadnya adalah mursal sahih. Kesemua perawinya adalah thiqah, yang merupakan perawi-perawi dalam sahih al-Bukhari dan Muslim, melainkan Bisyr iaitu Ibn Hilal. Beliau merupakan perawi dalam sahih Muslim sahaja. Kesimpulannya, lafaz tambahan ini “حيال الكعبة” adalah sabit berdasarkan keseluruhan jalur periwayatannya.[8]
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan di atas, jelaslah bahawa Baitul Makmur merupakan rumah ibadat yang berada di langit ketujuh. Setiap hari, para malaikat seramai 70000 akan mendirikan solat di dalamnya dan melakukan tawaf. Apabila mereka keluar, maka mereka tidak akan kembali lagi kepadanya kerana itu merupakan kali terakhir mereka memasukinya — kerana terlalu ramai. Selain itu, kedudukannya juga adalah sejajar dengan kedudukan Kaabah yang berada di bumi.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 21 Februari 2022 bersamaan 19 Rejab 1443H
[1] Surah al-Tur: 1-4
[2] Lihat, Safwat al-Tafasir, 3/245.
[3] Lihat, Fi Zilal al-Quran, 6/3393.
[4] Riwayat al-Bukhari (3207)
[5] Lihat Tafsir Ibn Kathir, 7/398.
[6] Lihat Tafsir al-Tabari, 7/399.
[7] Lihat Tafsir Ibn Kathir, 7/399; Tafsir al-Tabari, 22/456.
[8] Lihat Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, 1/859-860.