Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya nak tanya berkenaan situasi korban. Saya ambil bahagian korban lembu bersama keluarga besar saya. Saudara saya minta 7 kg daripada lembu ini, kita tolak siap-siap awal untuk masak sedangkan belum dibahagi sama rata lagi. Adakah boleh begitu? Atau memang kena bahagi dulu 7 bahagian dan sukarela nak letak untuk masak berapa kilogram?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Allah SWT berfirman:
فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ
Maksudnya: “Maka, makanlah binatang korban itu (dagingnya) dan berilah makan kepada orang yang susah lagi fakir.
(Surah al-Hajj: 28-29)
Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Maka sebutlah nama Allah SWT atas sembelihan-sembelihan tersebut, makanlah sebahagian darinya, dan gunakan sebahagian yang lain untuk memberi makan kepada kepada orang yang mengalami kesusahan dan kefakiran. Perintah untuk ikut memakan daging haiwan sembelihan itu kerana masyarakat jahiliyyah menghindarkan daripada memakan haiwan korban mereka. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 9/186)
Diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda:
كُلُوا وَادَّخِرُوا وَتَصَدَّقُوا
Maksudnya: “Makanlah, simpanlah dan bersedekahlah.”
Riwayat Muslim (1971), Abu Dawud (2812), al-Nasa’ie (4431) dan Ahmad (24294)
Daripada Salamah bin al-Akwa’ R.A:
كُلُوا وَأَطْعِمُوا وَادَّخِرُوا
Maksudnya: “Makanlah, jamulah orang lain makan dan simpanlah.” [1]
Riwayat al-Bukhari (5569), Muslim (1973), al-Nasa’ie (4434) dan Ahmad (11543)
Ibn Hajar berkata: Lafaz ‘كُلُوا وَأَطْعِمُوا’ (makanlah dan berilah makan), kalima ini dijadikan dasar oleh mereka yang mewajibkan makan daging haiwan korban. Namun, ini tidak menjadi dalil, kerana perintah itu disebut setelah larangan sehingga hanya memberi petunjuk mubah (boleh). (Lihat Fath al-Bari, 27/371)
Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin berkata: Lafaz al-it’am (الإطعام) mencakupi sedekah untuk orang-orang fakir dan hadiah untuk orang-orang kaya. (Lihat Ahkam al-Udhiyyah, 2/251)
Kesimpulan
Berdasarkan persoalan di atas, kami katakan bahawa yang terbaiknya adalah dengan membahagikan dahulu daging tersebut kepada 7 bahagian sebelum ditentukan berat daging tersebut yang ingin disedeqahkan kepada yang berkenaan. Hal ini kerana setiap 7 bahagian itu merupakan korban daripada orang yang berbeza. Hal ini berbeza sekiranya 7 bahagian bagi lembu itu disertai oleh seorang, maka dia berhak untuk menentukan bilangan berat daging yang ingin disedeqahkan itu. Selain itu, sekiranya semua yang mengambil bahagian bersetuju untuk memberikan, maka dibolehkan tetapi sebolehnya hendaklah dielakkan.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H