#2005: Korban Ke Atas Kambing Gurun Atau Kambing Hutan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya baru meneroka tanah untuk projek tanaman di tempat kami berhampiran hutan dan berbukit-bukau. Justeru, kami dapati adanya kambing gurun atau kambing hutan. Boleh atau tidak kami berkorban dengannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda SAW, para sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga Hari Kiamat.

Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: 

مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).” 

Riwayat al-Tirmizi (1493) dan beliau menilainya sebagai hasan gharib

Terlebih dahulu kami nyatakan bahawa korban adalah digalakkan dalam Islam bahkan termasuk dalam menegakkan syiar. Kami kemukakan dua definisi atau takrif serta habitatnya:

https://www.facebook.com/perhilitanofficial/posts/mari-kenali-hidupan-liar-iaitu-kambing-gurun-serow-infografikperhilitanbukankamb/2292191214127700/?locale=ms_MY 

Kambing gurun atau nama saintifiknya Serow Sumatera (Capricornis sumatraensis sumatraensis), juga dikenali sebagai serow selatan, adalah subspesies serow tanah besar yang berasal dari hutan gunung di Semenanjung Thai-Melayu dan di pulau Sumatera Indonesia. Panggilan lain bagi kambing gurun ini ialah kambing hutan.

Kambing gurun ini hidup di kawasan beriklim tropika termasuk di Malaysia. Baka kambing hitam gurun ini boleh ditemui di kawasan Asia Tenggara seperti di selatan Thailand dan Indonesia. Kambing hutan ini biasanya hidup di kawasan berbukit-bukau dan berbatu yang sesuai dengan habitatnya di hutan rimba.

Ia sebelum ini dianggap spesiesnya sendiri, tetapi kini dikelompokkan di bawah serow tanah besar (Capricornis sumatraensis), kerana semua spesies serow tanah besar (Cina, Merah dan Himalaya) sebelum ini dianggap sebagai subspesies spesies ini. Serow Sumatera terancam akibat kehilangan habitat dan pemburuan, menyebabkan ia dinilai sebagai terdedah oleh IUCN.

Walaupun undang-undang diwujudkan di Indonesia untuk melindungi serow, hukuman yang berat dan berkesan jarang dijatuhkan dan pemburuan haram serta perdagangan haram kambing gurun ini berterusan. 

Berdasarkan kepada kenyataan di atas, maka dapatlah kita ketahui bahawa walaupun ia spesis kambing tetapi sifatnya liar dan wahsyi yang tidak dibela oleh ramai orang, berbanding dengan kambing biasa yang diternak. 

Justeru, kami katakan bahawa ia tidak termasuk dalam bahimatu an’am iaitu binatang ternakan berkaki empat yang jinak seperti unta, lembu, kerbau, biri-biri, kambing kampung yang menjadi ternakan kepada manusia.

Hal ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكًا لِّيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ ۗ فَإِلَٰهُكُمْ إِلَٰهٌ وَاحِدٌ فَلَهُ أَسْلِمُوا ۗ وَبَشِّرِ الْمُخْبِتِينَ

Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu. Kerana Tuhan kamu semua ialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kamu tunduk taat kepadaNya; dan sampaikanlah berita gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tunduk taat.

(Surah al-Hajj: 34)

Imam al-Tabari ketika mentafsirkan ayat di atas menyebutkan bahawa Allah SWT menjadikan sembelihan, dengan menumpahkan darah sambil menyebutkan nama Allah atas apa yang Dia rezekikan daripada (بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ). Diletakkan kalimah al-an‘am (الْأَنْعَامِ) sebagai qaid (pengikat) kepada bahimah (بَهِيمَةِ) kerana bukan semua bahimah (بَهِيمَةِ) adalah al-an‘am (الْأَنْعَامِ). Sebagai contoh, kuda, baghal, dan juga keldai. (Lihat Jami‘ al-Bayan fi Ta’wil Ayi al-Quran, 18/527)

Imam al-Baghawi pula mengatakan bahawa  bahimah (بَهِيمَةِ) yang bukan dalam kategori al-an‘am (الْأَنْعَامِ) seperti kuda, baghal, dan juga keldai ini tidak boleh disertakan dalam ibadah korban. (Lihat Ma‘alim al-Tanzil fi Tafsir al-Quran, 5/385)

Begitu juga, ia bertentangan dengan undang-undang dan polisi sesebuah negara termasuk Malaysia untuk memburu apatah lagi memiliki dan menjadikannya sebagai haiwan korban.

Dalam Undang-Undang Malaysia terdapat sebanyak 44 seksyen bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 (Akta A1646) yang telah dikuatkuasakan yang menyaksikan peningkatan penalti bagi jenayah membabitkan hidupan liar, termasuk menyimpan, memburu dan menyeludupnya.

Semoga kita mampu untuk melaksanakan ibadah korban untuk meninggikan syiar Islam dan meraih mardhatillah. Amin.

Bertarikh: 27 Jun 2023 bersamaan 8 Zulhijjah 1444 H