#201 Tukar Emas Murah Dengan Yang Mahal Bersama Duit Tambahan

Soalan

Adakah haram seandainya kita ingin menukar emas dengan emas yang lebih mahal, dengan kita menyertakan sekali duit tambahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Emas merupakan item ribawi yang wajib kita waspada dalam urusan jual belinya sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada ‘Ubadah Bin al-Somit RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

الذَّهَبُ بالذَّهَبِ، والْفِضَّةُ بالفِضَّةِ، والْبُرُّ بالبُرِّ، والشَّعِيرُ بالشَّعِيرِ، والتَّمْرُ بالتَّمْرِ، والْمِلْحُ بالمِلْحِ، مِثْلًا بمِثْلٍ، سَواءً بسَواءٍ، يَدًا بيَدٍ، فإذا اخْتَلَفَتْ هذِه الأصْنافُ، فَبِيعُوا كيفَ شِئْتُمْ، إذا كانَ يَدًا بيَدٍ

Maksudnya:Emas dijual dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, timbangan dan beratnya mesti sama, dibayar secara serta-merta (bukan bertangguh). Namun, jika jenis dan kategori barangnya berbeza, maka berjual belilah mengikut yang kamu kehendaki dengan syarat mesti dibayar secara serta-merta “

Riwayat Muslim (1587)

Ada dua perkara yang penting dalam pertukaran barang ribawi, supaya transaksi itu menatijahkan hati yang tenang, iaitu:

1) “Yadan bi yadin.” Hal ini merujuk kepada pensyariatan taqabudh, yakni penyerahan antara dua barang. Penyerahan itu sah sama ada secara hissi, yakni fizikal dan terus antara dua orang, ataupun hukmi, contohnya dengan perwakilan.

2) “Mithlin bi mithlin.” Hal ini pula merujuk kepada sama berat dan sebanding.

Berdasarkan soalan di atas, hukum menukar emas yang murah dengan yang mahal dengan sedikit tambahan wang tidak dibenarkan di dalam syara’. Kami syorkan supaya dijual dahulu emas itu, kemudia barulah dibeli emas yang lebih tinggi nilainya. Cara ini sebenarnya pernah diajar oleh Rasulullah SAW sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri RA, katanya:

جَاءَ بِلاَلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِتَمْرٍ بَرْنِيٍّ، فَقَالَ لَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مِنْ أَيْنَ هَذَا؟، قَالَ بِلاَلٌ: كَانَ عِنْدَنَا تَمْرٌ رَدِيٌّ، فَبِعْتُ مِنْهُ صَاعَيْنِ بِصَاعٍ، لِنُطْعِمَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَ ذَلِكَ: أَوَّهْ أَوَّهْ، عَيْنُ الرِّبَا عَيْنُ الرِّبَا، لاَ تَفْعَلْ، وَلَكِنْ إِذَا أَرَدْتَ أَنْ تَشْتَرِيَ فَبِعِ التَّمْرَ بِبَيْعٍ آخَرَ، ثُمَّ اشْتَرِهِ

Maksudnya: Bilal datang kepada Nabi SAW dengan membawa tamar Barni (yang berkualiti tinggi). Lalu Baginda bertanya kepada Bilal, ‘Daripada mana datang tamar ini?’ Bilal menjawab, ‘Sebelum ini aku memiliki tamar Radi’ (yang berkualiti rendah), kemudian aku jual dua gantang tamar itu untuk mendapatkan segantang (tamar Barni), untuk dihidangkan kepada Nabi SAW.’ Maka, Nabi SAW bersabda, ‘Binasalah binasalah! Inilah bentuk riba. Inilah bentuk riba! Jangan kamu lakukan ini (wahai Bilal)! Sebaliknya, jika kamu ingin membeli (kurma baik itu), juallah terlebih dahulu tamar kamu kemudian beli beli tamar Barni tadi dengan hasil jualan pertama.

Riwayat al-Bukhari (2312)

Jelaslah bahawa hadith ini menunjukkan jalan keluar daripada berlakunya riba dalam jual beli, iaitu dengan menjual emas yang murah itu, kemudian boleh dibeli emas yang mahal itu dengan harga yang sepatutnya. Marilah sama-sama kita belajar ilmu agama dengan lebih mendalam supaya kita boleh mengelakkan daripada terjebak pada perkara yang diharamkan dalam Islam.

Semoga Allah memudahkan urusan kita dan memberikan kita kefahaman dalam agama ini. Amin.

Bertarikh 5 Januari 2022 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1443 H

Wallahua`lam.