#2011: Meratakan Air Wuduk dengan Spray

Soalan:

Terdapat pesakit yang berwudhuk menggunakan spray air. semua bahagian boleh dia capai, namun, dia tak sampai untuk basuh bahagian tapak kaki. adakah dia boleh spray dan usap bahagian atas kaki dan celah-celah jari sahaja, tanpa tapak kaki. Jika nak minta orang tolong, kadangkala ada dan kadangkala tiada. Mohon pencerahan

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat merupakan salah satu rukun daripada rukun Islam dan ia juga merupakan penanda dalam membezakan antara orang yang beriman dan juga orang yang kafir sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith. Solat juga adalah satu ibadah yang wajib ditunaikan oleh semua yang bergelar Muslim iaitu yang melafazkan dua kalimah syahadah. Justeru, Islam amat menitikberatkan perihal solat fardhu walau di mana berada dan keadaannya. Kewajipannya mesti ditunaikan dalam apa jua keadaan apabila mencukupi syarat wajib.

Firman Allah SWT:

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ

Maksudnya: “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang.”

Surah al-Baqarah (43)

Diriwayatkan daripada Abdullah Ibnu Umar bahawa Nabi SAW bersabda:

بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ ، شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ ، وَإِقَامِ الصَّلَاةِ ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ، وَالْحَجِّ ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Islam terbina atas lima perkara: penyaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan, dan menunaikan haji ke baitullah bagi yang mampu.”

Riwayat al-Bukhari (7)

Berbalik kepada soalan di atas, kami bahagikannya kepada dua keadaan:

  • Jika dia mempunyai penjaga yang menjaga kebajikannya, wajib baginya untuk membantu pesakit tersebut berwudhuk bagi membolehkannya menunaikan solat 5 waktu. Hal ini kerana pesakit itu tiada halangan untuk mendapatkan air untuk berwudhu’.
  • Jika dia tiada siapa yang dapat menjaga kebajikannya, mungkin kerana kesibukan kerja dan sebagainya, maka dibolehkan bagi pesakit tersebut untuk bertayammum, dan dia mengambil hukum mereka yang tidak menjumpai air.

 

Oleh itu, dalam isu ini kami sarankan pesakit tersebut mengambil wuduk secara biasa (dibolehkan menggunakan spray air dengan syarat air tersebut rata ke seluruh anggota wuduk) dibahagian yang boleh dicapai, namun pada bahagian kaki tersebut perlu digantikan dengan tayamum bagi menyempurnakan wuduk pesakit tersebut. Tidak boleh hanya meratakan dibahagian celah/ atas kaki sahaja, kerana wuduk tersebut tidak sempurna. Maka, bagi menggantikan bahagian kaki, disarankan ia diganti dengan tayamum. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”

Surah al-Taghabun (16)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Dan jika kami memerintahkan kamu untuk melakukan sesuatu, maka laksanakanlah ia sekadar kemampuan kamu.”

Riwayat Bukhari (7288) dan Muslim (1337)

Kami juga mendoakan agar Allah SWT memberikan ketabahan dan kesabaran bagi mereka yang diuji dengan penyakit. Semoga Allah membalas usaha mereka dengan ganjaran yang berlipat ganda.

Sekalipun amalan orang sakit tidak dapat ditunaikan dengan sempurna seperti orang yang sihat, Allah SWT tidak akan mensia-siakannya. Bahkan Allah akan menggantikannya dengan pahala dan penyakit itu menjadi penghapus dosa.

Dari Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلاَ وَصَبٍ وَلاَ هَمٍّ وَلاَ حُزْنٍ وَلاَ أَذًى وَلاَ غَمٍّء حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا، إِلَّا كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ

Maksudnya: “Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah SWT akan menghapus dosa-dosanya.”

Riwayat Bukhari (5641), Muslim (2573), Tirmizi (966), dan Ahmad (7684) 

Bertarikh: 27 Jun 2023 bersamaan 8 Zulhijjah 1444 H