#2016: Siram Rumah Dengan Air Dan Daun Teratai

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Ada satu situasi lelaki siram rumah dengan air dan daun teratai, apakah hukumnya? wajib, sunat, harus, makruh dan haram dari perbuatan tersebut?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Bunga teratai dikatakan sebagai bunga yang memberikan manfaat pada kesihatan dan kecantikan manusia kerana ia mempunyai sifat antioksidan dan anti radang. Ia boleh menghilangkan Jerawat dan boleh menyihatkan kulit manusia.

Dalam menjawab persoalan di atas, perlu diketahui bahawa setiap hukum yang dikeluarkan mestilah berdasarkan kepada sandaran nas. Dengan adanya dalil dan nas, ia akan menentukan sesuatu hukum itu sama ada ia wajib, sunat, harus, makruh dan haram. 

Berkenaan dengan situasi lelaki siram rumah dengan air dan daun teratai, kami katakan bahawa ia masih berbalik kepada kaedah:

الْأُمُور بِمَقَاصِدِهَا

Maksudnya: “Setiap perkara bergantung kepada niatnya.” (Lihat al-Asybah wa al-Nazair li al-Subki, 1/54)

Sekiranya amalan tersebut tidak memberikan apa-apa manfaat, malah ia disertakan dengan iktiqad tertentu seperti dengan siraman air itu dapat mengelakkan rumah itu daripada ditimpa musibah, maka perbuatan tersebut termasuk dalam kategori khurafat dan haram. 

Hal ini kerana khurafat merupakan suatu kepercayaan yang karut, dongeng, dan tahyul. Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 9 Ogos 1996 menyimpulkan di dalam Garis Panduan Khurafat Dan Azimat bahawa khurafat bermaksud semua cerita sama ada rekaan atau khayalan, ajaran-ajaran, pantang-larang, adat istiadat, ramalan-ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang dari ajaran islam.

Selain itu, sesuatu amalan, meskipun ia disangka baik, akan tetapi tidak mempunyai sebarang dalil yang membenarkannya maka amalan tersebut tertolak. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Ummul Mukminin ‘Aisyah R.Anha katanya, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengadakan pembaharuan dalam urusan kami ini (agama) yang bukan berasal darinya, maka ianya tertolak.”

Riwayat al-Bukhari (2697) dan Muslim (1718)

Di dalam riwayat yang lain, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ عَمِلَ عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ

Maksudnya: “Barangsiapa yang beramal dengan amalan yang bukan berasal dari agama kami, maka amalan itu tertolak.”

Riwayat Muslim (1718)

Imam al-Nawawi menyebutkan, menurut Ahli Bahasa Arab, lafaz “رَدٌّ” di sini bermaksud ditolak. Dalam erti kata lain, ia adalah batil dan tidak dikira. Hadith ini termasuk dalam kaedah agung di antara kaedah-kaedah agama dan sebahagian daripada Jawami‘ al-Kalim (ringkas dan makna yang padat) yang dianugerahkan Allah SWT kepada Rasulullah SAW. Hadith ini juga jelas menunjukkan bahawa semua bidaah dan perkara baru yang diada-adakan dalam agama adalah tertolak. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 12/16)

Namun begitu, sekiranya dia menyiram rumahnya itu dengan air dan bunga teratai itu dengan tujuan yang lain tanpa ada iktiqad yang tertentu seperti ingin menjadikan rumah itu wangi ataupun bagi tujuan kesihatan  beserta dengan perakuan daripada pakar kesihatan dan seumpamanya, maka ia diharuskan. Tetapi sekiranya ia tidak memberikan apa-apa manfaat, maka sebaiknya perbuatan tersebut ditinggalkan, apatah lagi sekiranya terdapat iktiqad yang tertentu, maka ia diharamkan.

Kami akhiri dengan doa kepada Allah, semoga Allah sentiasa menunjukkan kita ke jalan yang benar dan diredhai-Nya:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اِتِّبَاعه وَأَرِنَا الْبَاطِل بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اِجْتِنَابه وَلَا تَجْعَلهُ مُتَلَبِّسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami untuk menjauhinya dan janganlah Kamu jadikannya keliru atas kami yang menyebabkan kami menyimpang dari kebenaran dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”

Wallahu’alam

 

Bertarikh: 27 Jun 2023 bersamaan 8 Zulhijjah 1444 H