#2018: Cash-out eBeliaRahmah daripada Touch ‘n Go eWallet ke Akaun Bank

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Tujuan cash-out yang diberikan adalah untuk kegunaan peribadi setiap individu. Persoalannya, adakah cash-out eBeliaRahmah daripada Touch ‘n Go eWallet kepada akaun bank sendiri adakah haram dan dikira tidak amanah?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Pertamanya, wang pemberian yang diberikan oleh sesebuah pihak, sekiranya ia diikat dengan syarat-syarat perjanjian yang tertentu, maka ia wajib dipatuhi dan tidak boleh bertidak sesuka hati menggunakan wang pemberian tersebut.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.”

(Surah al-Ma’idah: 1)

Mematuhi perjanjian juga merupakan antara sifat seorang mu’min seperti yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ

Maksudnya: “(Orang mu’min itu ialah) yang menunaikan amanah dan perjanjian mereka.”

(Surah al-Mu’minin: 8)

Adapun jika pihak tersebut memberikan kebebasan kepada penerima untuk menggunakan wang tersebut, maka tidak menjadi masalah untuk penerima membuat apa sahaja dengan wang tersebut mengikut keinginannya.

Kaedah fiqhiyyah ada menyebutkan:

الْأَصْلُ فِي الْعُقُودِ رِضَا الْمُتَعَاقِدَيْنِ

Maksudnya: “Asal bagi setiap akad (kontrak) adalah redha antara dua orang yang melakukan akad.”

Menurut maklumat yang kami terima seperti yang tertera di dalam aplikasi Touch ‘n Go eWallet, wang sebanyak RM 200 yang diberikan oleh Kerajaan Malaysia melalui eBeliaRahmah diikat dengan syarat-syarat yang berikut:

  • Boleh digunakan untuk transaksi runcit di kedai.
  • Tidak boleh digunakan untuk RFID dan PayDirect di pondok tol.
  • Tidak boleh digunakan untuk membuat transaksi online (atas talian), termasuklah transaksi kepada peniaga luar negara.
  • Tidak boleh digunakan untuk membayar bil, prabayar, pascabayar dan kredit permainan.

Apabila telah jelas syarat-syarat seperti yang tertera, maka haram hukumnya untuk individu yang mendapat bantuan tersebut menggunakan wang RM 200 tersebut dengan cara yang dilarang.

Syeikh al-Qalyubi memberikan peringatan terhadap permasalahan begini, beliau mengatakan bahawa apabila pemberi sumbangan memberi untuk tujuan tertentu, maka penerima tidak dibenarkan untuk menggunakan sumbangan tersebut pada tujuan lain.

Syeikh Mustafa al-Zuhaili mengatakan bahawa yang diambil kira dan keharusan sesebuah akad pada berlakunya ia dan lazimnya setiap perkara yang ditetapkan di dalamnya, adalah redha antara dua pihak yang melakukan akad.  Hal ini kerana syara‘ menetapkan halalnya suatu muamalat apabila kedua-dua pihak redha dan berkeinginan untuk melaksanakan akad, serta melazimi setiap ketetapan yang disebutkan di dalam akad tersebut. (Lihat al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah wa Tatbiqatuha fi al-Mazahib al-Arba‘ah, 2/818)

Syara‘ juga melarang orang-orang mu’min daripada perbuatan pecah amanah, hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui.”

(Surah al-Anfal: 27)

Jelas berdasarkan hujah yang kami bawakan di atas, menggunakan wang pemberian tersebut tanpa mengikut syarat-syarat yang dinyatakan adalah suatu bentuk pecah amanah yang dilarang oleh Allah SWT.

Seharusnya bagi penerima eBeliaRahmah tersebut menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan, maka tidak boleh disewakannya ini kerana seseorang itu terikat dengan perjanjian. Berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Amru bin ‘Auf al-Muzani R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَالْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ إِلاَّ شَرْطًا حَرَّمَ حَلاَلاً أَوْ أَحَلَّ حَرَامًا ‏

Maksudnya: “Orang Islam itu terikat dengan syarat-syaratnya (perjanjian) melainkan syarat mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram.”

Riwayat al-Tirmizi (1352)

Hadith di atas menerangkan ciri-ciri yang yang terkandung di dalam akad atau perjanjian yang seharusnya dipatuhi. Oleh itu para ulama menggariskan bahawa hukum bagi kedua-dua belah pihak yang berjanji seharusnya meredhai satu sama lain dengan isi kandungan perjanjian itu selagi ia tidak menyalahi hukum syarak.

Kami menasihatkan semua individu yang menerima eBeliaRahmah tersebut supaya berpegang dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia kerana ia merupakan sebuah amanah. Ingatlah bahawa tanda orang munafiq adalah mereka yang mengkhianati janji (amanah) yang telah dibuat.

Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

آيَةُ المُنافِقِ ثَلاثٌ: إذا حَدَّثَ كَذَبَ، وإذا وعَدَ أخْلَفَ، وإذا اؤْتُمِنَ خانَ

Maksudnya: “(Antara) tanda orang munafiq itu ada tiga; jika bercakap dia berdusta, jika berjanji dia mungkiri, dan jika dia diberikan kepercayaan dia khianati.”

Riwayat al-Bukhari (6059) dan Muslim (59)

Semoga pemberian eBeliaRahmah yang diperolehi oleh belia dapat memberi manfaat dalam kehidupan. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 27 Jun 2023 bersamaan 8 Zulhijjah 1444 H