#2020: Niat Pahala Ibadah Korban Untuk Bayi

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada persoalan mengenai ibadah korban, seorang datuk ingin melakukan ibadah korban dan berniat pahala ibadah tersebut untuk cucunya (berumur 2 tahun). Apa hukumnya jika berbuat demikian?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Menurut pandangan majoriti ulama’, korban merupakan ibadah sunat yang amat dituntut bagi mereka yang berkemampuan. Nabi SAW amat menggalakkan ibadah korban ini seperti yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Baginda SAW bersabda:

مَنْ كَانَ لَهُ سَعَةٌ وَلَمْ يُضَحِّ فَلَا يَقْرَبَنَّ مُصَلَّانَا

Maksudnya: “Sesiapa yang mempunyai kelapangan (dari sudut harta) akan tetapi dia tidak mengerjakannya, maka janganlah dia dekati tempat solat kami.”

Riwayat Ibn Majah (2123) dan Ahmad (8273)

Ia juga merupakan salah satu syi‘ar islam yang terbesar, bagi tujuan mendekatkan diri dengan Allah SWT. Firman Allah SWT:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).”

(Surah Al-Kausar, 2)

Terdapat juga sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ ﷺ يُضَحِّي بِكَبْشَيْنِ وَأَنَا أُضَحِّي بِكَبْشَيْنِ‏

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW melakukan korban dengan dua ekor kambing dan aku juga melakukan korbang dengan dua ekor kambing.”

Riwayat al-Bukhari (5553)

Merujuk kepada persoalan yang ditanyakan, kami nyatakan terlebih dahulu pandangan ulama’ Mazhab al-Syafi‘i berkenaan melakukan korban untuk orang lain.

Pada asalnya, sesuatu ibadah itu hanya dihitung berdasarkan apa yang dilakukan oleh pelakunya sendiri. Adapun apa yang dilakukan oleh orang lain, maka oran itulah yang akan memperolehi ganjarannya. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَانِ إِلَّا مَا سَعَىٰ

Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.”

(Surah al-Najm: 39)

Begitu juga firman Allah SWT di dalam ayat yang lain:

لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ

Maksudnya: “Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.”

(Surah al-Baqarah: 286)

Imam Nawawi menyatakan bahawa jika seseorang itu melakukan ibadah korban ke atas orang lain tanpa keizinan daripadanya, maka tidak dikira ibadah korban tersebut atas nama orang itu. (Lihat al-Majmu‘, 8/406)

Dr. Muhammad al-Zuhaili menyatakan bahawa tidak sah hukumnya melakukan ibadah korban ke atas seseorang yang masih hidup melainkan selepas mendapat keizinan daripadanya. Ini kerana ibadah pada asalnya tidak boleh dilakukan oleh orang lain melainkan didatangkan dengan dalil. Terutamanya apabila (ibadah itu dilakukan) tanpa mendapat keizinannya. Akan tetapi sekiranya seseorang daripada isi rumah itu melakukan korban, maka tertunai sunat kifayah ke atas keluarganya yang lain walaupun mereka tidak mengetahuinya. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, hlm. 490)

Dr. Wahbah Zuhaili mengatakan bahawa ulama’ al-Syafi‘iyyah berpendapat tidak boleh melakukan ibadah korban ke atas orang lain kecuali mendapat keizinan orang itu. Begitu juga, ke atas orang yang meninggal dunia, tidak boleh melainkan sekiranya diwasiatkan, maka diharuskan melakukan korban. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 4/2743)

Akan tetapi, terdapat sebuah hadith yang menjadi dalil bahawa diharuskan seseorang yang melakukan ibadah korban untuk berniat pahala ibadah itu untuk orang lain. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Ummul Mu’minin ‘Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda ketika beliau melakukan sembelihan:

بِاسْمِ اللَّهِ اللَّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنْ مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ وَمِنْ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ

Maksudnya: “Bismillah, Wahai tuhan kami, terimalah daripada Muhammad dan daripada aali (keluarga) Muhammad dan daripada umat Muhammad.”

Riwayat Muslim (1967)

Imam al-Nawawi mengatakan bahawa, hadith ini digunakan oleh mereka yang berpandangan boleh niat berkongsi pahala korban dengan kaum keluarga, dan ini merupakan pandangan Mazhab al-Syafi‘i dan majoriti mazhab lain. Al-Thauri dan Abu Hanifah serta ashabnya memakruhkan perkara tersebut, manakala al-Tahawi menyangka hadith ini telah dimansukhkan atau dikhususkan hanya untuk Nabi SAW. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/122)

Kami simpulkan daripada perbincangan di atas hukum melakukan ibadah korban ke atas orang lain:

  • Ibadah korban yang dilakukan ke atas orang lain mestilah mendapat keizinan atau persetujuan mereka terlebih dahulu sekiranya mereka masih hidup.
  • Ibadah korban yang dilakukan ke atas orang yang telah meninggal dunia, mestilah dengan wasiat daripada si mati.
  • Harus hukumnya melakukan ibadah korban ke atas dirinya sendiri dan diiringi dengan niat untuk disedekahkan pahala kepada cucu tersebut, seperti mana yang dilakukan oleh Baginda SAW.

Semoga Allah SWT menerima semua amalan dan ibadah yang kita kerjakan dengan ikhlas dan hanya mengharapkan keredhaan-Nya. Amin.

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 27 Jun 2023 bersamaan 8 Zulhijjah 1444 H