#2023: Nama Muhammad Ayyash Faaeq

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Maaf mengganggu. Nak minta bantuan Dato’ Seri untuk beri nama anak yg baru lahir pada 14 Jun 2023 bersamaan 25 Zulkaedah. Saya memang berniat untuk men’tahnik’ anak saya dgn Datuk. Tapi sebab kekangan jarak saya duduk di Kedah ni, saya tak rasa berkempatan untuk buat. Jadi, nak minta pandangan Datuk untuk bagi nama sahaja. Boleh ke Datuk? Utk anak lelaki kami, kami dah ada 2 nama yg dicadangkan, samada: Muhammad Ayyash Fawwaz atau Muhammad Ayyash Faaeq. Mohon bantuan Datuk untuk menamakan dengan maksud yang terbaik boleh?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, kami nyatakan bahawa nama yang baik untuk diberikan kepada anak adalah nama yang dimulakan dengan Abdul seperti Abdullah atau Abdul Rahman. Begitu juga, dengan nama-nama yang ada pujian seperti Ahmad, Hamid, Mahmud dan lain-lain. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW:

تَسَمَّوْا بِأَسْمَاءِ الأَنْبِيَاءِ، وَأَحَبُّ الأَسْمَاءِ إِلَى اللَّهِ عَبْدُ اللَّهِ وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ، وَأَصْدَقُهَا حَارِثٌ وَهَمَّامٌ، وَأَقْبَحُهَا حَرْبٌ وَمُرَّةُ .‏

Maksudnya: “Namakan anak-anakmu dengan nama para Nabi dan nama yang paling disukai Allah ialah Abdullah dan Abdul Rahman. Dan nama yang paling benar ialah Haris dan Hammam. Dan nama yang paling buruk Harb dan Murrah.”

Riwayat Abu Daud (4950) dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (814)

Berkenaan persoalan di atas, pertamanya, saya ucapkan syabas kepada anda atas kurniaan putera. Semoga ia termasuk di kalangan anak dan zuriat yang solehah. 

Berkaitan dengan nama yang dicadangkan, kedua-duanya adalah baik. Tetapi untuk menghimpunkan nama-nama tersebut, saya berpendapat dan cenderung kepada yang kedua, iaitu: Muhammad Ayyash Faaeq.

Nama yang anda beri itu ada pangkal Muhammad adalah menepati nama Rasulullah SAW. Ada qil menyebut:

خيرُ الْأَسْمَاءِ مَا عُبِّدَ وحُمِّدَ

Maksudnya: “Sebaik-baik nama ialah nama yang mengandungi Ubudiyyah kepada Allah (Abdul), dan yang mengandungi tahmid (Muhammad /Ahmad).”

Al-’Ajluni berkata: “Kata-kata ini masyhur di lidah, tetapi nisbahnya kepada Nabi tidak sahih dan tidak ada asalnya. (Lihat Kasyf al-Khafa’ wa Muzil al-Ilbas, 1/95). Ibn Uthaimin dalam Syarh al-Nuzhah (55) berkata: “(Hadith ini) masyhur, tetapi tiada asal baginya.” Dalam Syarh Riyadh al-Salihin, beliau menyebut: “Tiada asal baginya, dan ia bukan hadith.” Al-Zurqani dalam Mukhtasar al-Maqasid (495) berkata: “Aku tidak mengetahuinya.” 

Semoga anak anda benar-benar berjaya dalam hidup dan berada pada kedudukan yang mulia serta tinggi pada satu masa nanti. Banyakkan berdoa kepada Allah sebagaimana diajar oleh Allah SWT:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Bertarikh: 27 Jun 2023 bersamaan 8 Zulhijjah 1444 H