#2025: Tahallul Bagi Yang Tiada Rambut

Soalan:

Salam Ustaz. Maaf ganggu. Saya ada sedikit kemusykilan dan perlukan jawapan. Saya baru balik dari tunaikan ibadah umrah. Sewaktu umrah wajib, (umrah pertama) saya dah bercukur semasa bertahallul. Sehari selepas itu, saya buat umrah sunat (umrah kedua). 

Pada waktu ini, rambut saya masih belum tumbuh mengikut keyakinan saya. Tapi jika disentuh, pastinya ada rasa rambut yang tumbuh di kepala. Jadi semasa tahallul umrah kedua, saya lalukan sahaja gunting sebagai simbolik tahallul, dan saya telah potong 3 helai janggut selepas itu (terbaca salah satu sunat selepas buat simbolik lalukan gunting). Namun selepas itu saya tidak sedap hati dan tetap cuba gunting rambut pada kepala. Dan cubaan saya tu berjaya potong cebisan rambut setelah bersusah payah. 

Soalan, adakah saya dikira bersalah kerana lalukan sahaja gunting semasa tahallul dan kemudian memotong 3 helai janggut itu? Adakah saya perlu bayar dam? Saya pulang ke Malaysia tanpa bayar dam kerana saya rujuk pada Ustaz yang nyatakan saya dah lalukan gunting itu dikira selesai tahallul.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

لَتَدْخُلُنَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ إِن شَاءَ اللَّـهُ آمِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ لَا تَخَافُونَ

Maksudnya: Iaitu Sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjid Al-Haram – insya Allah (pada masa Yang ditentukanNya) – Dalam keadaan aman (menyempurnakan Ibadat Umrah kamu) Dengan mencukur kepala kamu, dan kalau (tidak pun) menggunting sedikit rambutnya, serta kamu tidak merasa takut (akan pengkhianatan musuh sehingga kamu keluar balik dari situ).”

(Surah al-Fath: 27)

Pengertian Tahallul

Tahallul ialah perbuatan membebaskan diri daripada ihram dengan melakukan segala amalan yang dituntut di dalam rukunnya dengan mencukur atau memendekkan rambut. Bercukur merangkumi semua perbuatan memotong rambut. Ia termasuk menggunting tiga helai rambut atau lebih, mencabut atau memendekkannya walau sekadar mana dan dengan apa-apa alat sekalipun. Ia merupakan rukun menurut pendapat yang sahih dalam Mazhab Syafie. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/142)

Diriwayat daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW berkata kepada lelaki Ansar:

وأَمّا حِلاقُكَ رَأْسِكَ؛ فَلكَ بكلِّ شَعْرَةٍ حَلَقْتَها حسنةُ، وتُمْحى عَنْكَ بِها خَطِيئَةٌ

Maksudnya: “Mengenai cukur rambutmu (ketika tahallul), setiap helai rambut yang kamu cukur akan menjadi pahala untukmu, dan ia akan menghapuskan dosa-dosamu dengan setiap helai rambut yang ia cukur.” (Lihat al-Jami’ al-Sahih li al-Sunan wa al-Masanid, 7/303)

Antara cara tahallul yang terbaik dan mengikut sunnah ialah dengan bercukur rambut di kepala secara keseluruhannya ketika bertahallul haji atau umrah. Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اللَّهُمَّ ارْحَمِ الْمُحَلِّقِينَ» قَالُوا: وَالْمُقَصِّرِينَ يَا رَسُولَ اللَّهِ، قَالَ: «اللَّهُمَّ ارْحَمِ الْمُحَلِّقِينَ» قَالُوا: وَالْمُقَصِّرِينَ يَا رَسُولَ اللَّهِ، قَالَ: «وَالْمُقَصِّرِينَ». وَقَالَ اللَّيْثُ: حَدَّثَنِي نَافِعٌ: «رَحِمَ اللَّهُ الْمُحَلِّقِينَ» مَرَّةً أَوْ مَرَّتَيْنِ. قَالَ: وَقَالَ عُبَيْدُ اللَّهِ: حَدَّثَنِي نَافِعٌ، وَقَالَ فِي الرَّابِعَةِ: «وَالْمُقَصِّرِينَ»

Maksudnya: “‘اللَّهُمَّ ارْحَمِ الْمُحَلِّقِينَ” (Ya Allah, rahmatilah orang-orang yang mencukur rambut mereka).” Para sahabat berkata: “Dan (doakanlah rahmat juga buat) orang-orang yang menggunting (rambut mereka), wahai Rasulullah.” Baginda mengucapkan: “اللَّهُمَّ ارْحَمِ الْمُحَلِّقِينَ” (Ya Allah, rahmatilah orang-orang yang mencukur rambut mereka).” Mereka berkata lagi: “Dan (doakanlah rahmat juga buat) orang-orang yang menggunting (rambut mereka), wahai Rasulullah.”  Baginda menyambung: “Dan (rahmati jugalah wahai Allah) orang-orang yang menggunting (rambut mereka).” Al-Laith berkata, Nafi‘ menyampaikan kepadaku, bahawa Baginda mengucapkan: “Semoga Allah merahmati orang-orang yang mencukur (rambut mereka).” Baginda mengucapkannya sebanyak dua atau tiga kali. Dia berkata: ‘Ubaidullah berkata: Nafi‘ menyampaikan kepadaku: Baginda berkata pada kali keempat: “Dan (rahmati jugalah wahai Allah) orang-orang yang menggunting (rambut mereka).

Riwayat al-Bukhari (1727) dan Muslim (1301)

Menjawab bagi persoalan di atas kami nyatakan di sini, bagi yang tidak mempunyai sebarang rambut (botak licin) sama ada semulajadi atau baru dicukur adalah sunat baginya melalukan sahaja mata pisau cukur di atas kepala.   Ini berdasarkan apa yang telah dinyatakan oleh Imam al-Nawawi : Sesiapa yang tidak mempunyai rambut di kepalanya, tidak diharuskan mencukur atau memberikan fidyah. Dia disunatkan untuk melalukan sahaja  pisau cukur di kepalanya dan ia bukanlah wajib.

Ibnu Mundhir menyatakan : Ijma’ (kesepakatan) para ulama bahawa orang yang botak perlu melalukan pisau cukur di kepalanya. (Lihat al-Majmu’, 8/212)

Justeru kami nyatakan di sini apa yang telah dilakukan oleh saudara adalah sah iaitu melalukan pisau cukur di atas kepala dan tidak perlu ragu-ragu tentang perkara itu. Suka juga untuk kami nasihati supaya tinggalkan keraguan kerana keraguan itu datangnya daripada syaitan.

Daripada Hasan bin Ali R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ وَإِنَّ الْكَذِبَ رِيبَةٌ

Maksudnya: “Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan. Maka sesungguhnya kebenaran itu adalah satu ketenangan dan sesungguhnya dusta itu adalah satu keraguan”.

Riwayat al-Tirmizi (2708)

Kami akhiri dengan doa :

اللَّهُمَّ اجْعَلْ حَجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبًا مَغْفُوْرًا وَعَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا وَتِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ. يَا عَزِيْزُ يَا غَفُوْرُ يَا رَبَّ الْعَالَمِين

Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah haji ini haji yang mabrur, sa’i yang diterima, dosa yang diampuni dan amal shaleh yang dikabulkan dan perdagangan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.wahai Tuhan yang maha pengampun, Tuhan sekalian alam.”

Bertarikh: 27 Jun 2023 bersamaan 8 Zulhijjah 1444 H