Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah syarat memotong 3 helai rambut dikira daripada akar rambut atau boleh bukan dari akar rambut?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Tahallul (التَّحَلُّلُ) dari segi bahasa ialah menjadi boleh atau dihalalkan. Menurut syarak pula perkataan tahallul bermaksud membebaskan diri daripada larangan yang terdapat semasa dalam waktu ihram.
Dalam ibadah haji dan umrah, perbuatan tahallul dijadikan salah satu dari rukun dalam kedua-dua ibadah tersebut. Dalam erti kata lain, tidak sempurnalah ibadah haji atau umrah seorang jemaah haji jika tidak melaksanakan rukun tahallul ini.
Tahallul Bagi Ibadah Umrah
Tahallul bagi ibadah umrah ialah di mana para jemaah melakukan cukur atau bergunting selepas selesainya melaksanakan rukun sa‘ie di dalam Masjidil Haram itu sendiri. Justeru selepas selesainya bergunting atau bercukur ini, para jemaah bebas daripada larangan yang terdapat sepanjang tempoh berihram.
Tahallul Bagi Ibadah Haji
Tahallul bagi ibadah haji pula dibahagikan kepada dua iaitu talallul awwal (التَّحَلُّل الْأَوَّل) dan tahallul thani (التَّحَلُّل الثَّانِي).
Pertama, tahallul awwal (التَّحَلُّل الْأَوَّل) boleh dilaksanakan oleh jemaah haji apabila telah melaksanakan dua daripada tiga perkara seperti dibawah.
- Melontar di Jamrah al-Kubra
- Tawaf rukun dan sa‘ie (jika sa‘ie masih belum dilaksanakan)
- Bercukur atau bergunting
Dalam melaksanakan tahallul awwal (التَّحَلُّل الْأَوَّل), jemaah haji diberi pilihan untuk melakukan mana-mana perbuatan di atas secara mengikut turutan ataupun sebaliknya.
Kedua, tahallul thani (التَّحَلُّل الثَّانِي) ialah bila mana jemaah haji berjaya melaksanakan ketiga-tiga perkara yang disebutkan seperti di atas.
Allah SWT berfirman:
لَتَدْخُلُنَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ إِن شَاءَ اللَّـهُ آمِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ لَا تَخَافُونَ
Maksudnya: “Iaitu Sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjid Al-Haram – insya Allah (pada masa Yang ditentukanNya) – Dalam keadaan aman (menyempurnakan Ibadat Umrah kamu) Dengan mencukur kepala kamu, dan kalau (tidak pun) menggunting sedikit rambutnya, serta kamu tidak merasa takut (akan pengkhianatan musuh sehingga kamu keluar balik dari situ).”
(Surah al-Fath: 27)
Imam al-Nawawi berkata: “Bagi haji ada dua tahallul, iaitu tahallul awwal (التَّحَلُّل الْأَوَّل) dan tahallul thani (التَّحَلُّل الثَّانِي). Kedua-duanya bergantung dengan tiga daripada empat amalan haji ini iaitu:
- Melontar di Jamrah al-‘Aqabah,
- Bercukur (bagi lelaki) atau bergunting (bagi perempuan dan lelaki) ,
- Tawaf bersama sa’ie jika dia belum lagi melakukan sa’ie.
Terhasilnya tahallul awwal (التَّحَلُّل الْأَوَّل) dengan dua daripada tiga amalan haji tersebut. Justeru, mana-mana dua daripada amalan haji itu yang dikerjakan, maka terhasillah tahallul awwal (التَّحَلُّل الْأَوَّل) sama ada melontar dan bercukur, atau melontar dan tawaf, atau tawaf dan bercukur.
Manakala terhasilnya tahallul thani (التَّحَلُّل الثَّانِي) pula dengan amalan haji yang berbaki daripada tiga amalan haji itu. Ini adalah mengikut mazhab yang sahih lagi terpilih jika kita berpendapat bahawa bercukur itu termasuk dalam manasik haji. Adapun jika kita berpendapat bahawa bercukur itu adalah bagi mengharuskan perkara yang dilarang (dalam ihram), maka tahallul tidak ada kaitan dengannya. Bahkan terhasil dua tahallul dengan melontar dan tawaf, dan mana-mana daripada kedua-dua amalan haji itu yang dimulakan maka dikira terhasil tahallul awwal (التَّحَلُّل الْأَوَّل).
Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa tahallul itu adalah dengan menggunting atau mencukur rambut. Jadi, apabila kita sebut gunting atau cukur, maka tidak kira sama ada daripada akar ataupun daripada bahagian atas, maka ia adalah memadai.
Semoga Allah SWT menerima amal ibadat kita. Kami akhiri dengan doa:
اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنا حجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ
Maksudnya: “Ya Allah! jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”
Bertarikh: 27 Jun 2023 bersamaan 8 Zulhijjah 1444 H