#2030: Pelaburan Emas di Bank

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum pelaburan emas di bank? Ada yang saya lihat ianya patuh syariah tetapi berasa was-was berkenaannya.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pelaburan menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat bermaksud jumlah wang, modal dan sebagainya yang dilaburkan dalam sesuatu usaha niaga. Apabila jelas maksud ini, dapat difahami bahawa pelaburan emas merupakan perbuatan mengeluarkan sejumlah modal yang kemudiannya dilaburkan dalam platform urusniaga emas.

Pertamanya, perlu diketahui bahawa emas merupakan antara item ribawi (boleh berlaku riba padanya) yang perlu kita waspada dalam urusan jual belinya, ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada ‘Ubadah bin al-Somit R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الذَّهَبُ بالذَّهَبِ، والْفِضَّةُ بالفِضَّةِ، والْبُرُّ بالبُرِّ، والشَّعِيرُ بالشَّعِيرِ، والتَّمْرُ بالتَّمْرِ، والْمِلْحُ بالمِلْحِ، مِثْلًا بمِثْلٍ، سَواءً بسَواءٍ، يَدًا بيَدٍ، فإذا اخْتَلَفَتْ هذِه الأصْنافُ، فَبِيعُوا كيفَ شِئْتُمْ، إذا كانَ يَدًا بيَدٍ

Maksudnya: “Emas dijual dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, timbangan dan beratnya mesti sama, dibayar secara serta-merta (bukan bertangguh). Namun, jika jenis dan kategori barangnya berbeza, maka berjual belilah mengikut yang kamu kehendaki dengan syarat mesti dibayar secara serta-merta.”

Riwayat Muslim (1587)

Terdapat beberapa jenis riba yang telah disebutkan oleh fuqaha’, antaranya:

  • Riba al-Fadhl: Iaitu riba yang terjadi disebabkan berlaku jual beli barangan yang sama, dan terdapat pertambahan pada salah satu barang tersebut. Seperti jual beli emas dengan emas, atau perak dengan perak.
  • Riba al-Nasi’ah: Iaitu riba yang berlaku disebabkan terdapat syarat penangguhan dalam penyerahan barang ataupun duit pembayaran secara sengaja, kemudian dikenakan caj tambahan.
  • Riba al-Yadd: Iaitu riba yang berlaku disebabkan lewat menyerahkan barang walaupun tidak diletakkan syarat penangguhan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/69)

Berdasarkan hadith di atas juga, para fuqaha’ mengeluarkan beberapa syarat bagi membolehkan jual beli barangan yang sama jenis berlaku secara sah menurut syara‘:

  1. Mestilah sama kuantiti (التَمَاثُلُ).
  2. Mestilah berlaku serah terima (التَقَابُضُ), tanpa tangguhan.

Jika syarat pertama tidak dipatuhi, maka akan berlakunya Riba al-Fadhl kerana kuantiti salah satu barang melebihi kuantiti yang lainnya. Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

فَمَنْ زَادَ، أَوِ اسْتَزَادَ، فَقَدْ أَرْبَى، الْآخِذُ وَالْمُعْطِي فِيهِ سَوَاءٌ

Maksudnya: “Sesiapa menambah atau meminta tambahan, maka dia melakukan riba. Orang yang mengambil tambahan tersebut dan orang yang memberinya sama-sama berada dalam dosa riba.”

Riwayat Muslim (1584)

Jika syarat kedua pula tidak dipatuhi, maka boleh berlakunya Riba al-Nasi’ah sekiranya terdapat caj tambahan selepas tamat tempoh yang ditetapkan, dan juga boleh berlaku Riba al-Yadd sekiranya dilewatkan pemberian salah satu barang atau dilewatkan kedua-duanya. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَلَا تَبِيعُوا مِنْهَا غَائِبًا بِنَاجِزٍ

Maksudnya: “Dan jangan kamu menjual barang-barang tersebut (emas dan perak) yang tiada dengan sesuatu yang ada.”

Riwayat al-Bukhari (2177) dan Muslim (1584)

Pelaburan Emas di Bank

Apabila telah jelas perbincangan mengenai kaedah pembelian emas yang menepati syara‘ di atas, kami sebutkan secara ringkas berkenaan produk pelaburan emas di bank, yang turut dikenali sebagai Akaun Simpanan Emas.

Seperti mana yang telah dinyatakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), pemegang akaun ini akan mendapat keuntungan dengan kenaikan harga emas tanpa perlu menyimpan emas yang dibelinya secara fizikal. Setiap pelaburan emas yang dibuat akan direkodkan butirannya di dalam akaun pelanggan. (Lihat Parameter Pelaburan Emas, hlm. 3)

Secara umumnya, hukum pelaburan emas di bank ini bergantung kepada beberapa keadaan tertentu. Demi memberikan kefahaman dalam bentuk yang lebih mudah, kami datangkan pendekatan lain dengan meringkaskan keadaan-keadaan tersebut kepada 3:

Pertama: Jika pihak bank belum memiliki emas dan hanya akan membelinya daripada pihak ketiga dalam majlis transaksi yang berasingan, maka urusniaga pembukaan akaun itu telah adalah haram dan tidak sah.

Hal ini kerana pihak bank telah menjual emas yang mereka belum miliki, sedangkan Rasulullah SAW melarang perbuatan jual beli sesuatu yang tidak dimiliki. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Hakim bin Hizam R.A, dia bertanya Rasulullah SAW:

يَا رَسُولَ اللَّهِ يَأْتِينِي الرَّجُلُ فَيَسْأَلُنِي الْبَيْعَ لَيْسَ عِنْدِي أَبِيعُهُ مِنْهُ ثُمَّ أَبْتَاعُهُ لَهُ مِنْ السُّوقِ قَالَ لَا تَبِعْ مَا لَيْسَ عِنْدَكَ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, ada seseorang yang mendatangiku lalu ia meminta agar aku menjual kepadanya barang yang belum aku miliki, dengan terlebih dahulu aku membelinya untuk mereka dari pasar?” Rasulullah SAW menjawab, “Janganlah engkau menjual sesuatu yang tidak ada padamu.”

Riwayat Abu Daud (3503), al-Nasaie (4613), al-Tirmidzi (1232) dan Ibn Majah (2187)

Kedua: Emas tersebut tidak diterima secara serah terima  (التَقَابُضُ) ketika membuka akaun pelaburan emas itu, dan tidak juga disertakan dengan sebarang bukti yang menunjukkan bahawa pelanggan telah menerima haq al-tasarruf (حَقُّ التَّصَرُّفِ), iaitu hak kebebasan terhadap sejumlah emas yang telah dibelinya sama ada untuk menjualnya pada bila-bila masa yang dikehendakinya. Jika keadaannya seperti yang disebutkan, maka pembukaan akaun itu telah adalah haram dan terbatal hukumnya.

Hal yang demikian kerana apabila tiadanya serah terima (التَقَابُضُ) dalam satu majlis, maka penangguhan pemberian emas tersebut membawa kepada Riba al-Nasi’ah dan Riba al-Yadd yang telah jelas pengharamannya seperti yang kami sebutkan di atas.

Ketiga: Jika bank memiliki emas yang dijual semasa menjual, dan berlakunya serah terima  (التَقَابُضُ) ketika membuka akaun pelaburan emas, maka hukumnya adalah halal dan sah.

Hal ini jelas apabila pihak bank memberikan bukti dan haq al-tasarruf (حَقُّ التَّصَرُّفِ) kepada pelanggan sama ada dalam bentuk fizikal emas atau bentuk sijil hak ke atas sejumlah emas yang telah dibeli. Ia dianggap sebagai al-qabd al-hukmi (penyerahan secara hukum dan tidak fizikal). Ini juga seperti mana yang telah difatwakan oleh Majma‘ al-Fiqh al-Islami. (Lihat Majallah Majma‘ al-Fiqh al-Islami, 9/256)

Di Malaysia, terdapat beberapa bank yang menawarkan produk pelaburan emas ini, dan mereka menyatakan bahawa produk mereka merupakan produk patuh syariah (Syariah-Compliant).

Sebagai contoh, Maybank yang menawarkan produk Maybank Islamic Gold Account-i. Pihak bank menyatakan bahawa pelaburan emas mereka berlandaskan emas fizikal, yang mana jaminan ketulenan emas 999.9 diiktiraf oleh London Bullion Market Association (LBMA). Pelanggan dikehendaki membuka akaun pelaburan emas terlebih dahulu sebelum boleh mula melabur. Terdapat 2 jenis akaun yang ditawarkan oleh pihak Maybank:

  • Akaun Individu: Ia boleh dibuka dengan minima pelaburan sebanyak RM 50 atau kadar gram emas yang menyamai harga tersebut. Dan kadar minima jual beli emas seterusnya pula sebanyak RM 10 atau gram kadar gram emas yang menyamai harga tersebut. Nilai emas situ bergantung kepada harga semasa emas yang dijual oleh pihak bank.
  • Akaun Bukan Individu: Ia turut dikenali sebagai Akaun Bersama, boleh dibuka dengan minima pelaburan sebanyak RM 10 atau kadar gram emas yang menyamai harga tersebut. Dan kadar minima jual beli emas seterusnya pula sebanyak RM 10 atau gram kadar gram emas yang menyamai harga tersebut. Nilai emas situ bergantung kepada harga semasa emas yang dijual oleh pihak bank.

Berdasarkan apa yang kami teliti di dalam terma dan syarat yang ditetapkan serta Product Disclosure Sheet, pelanggan juga boleh mendapatkan emas secara fizikal dengan melalui beberapa prosedur khusus.[1]

Kesimpulan

Berdasarkan ringkasan perbincangan di atas, kami katakan bahawa produk pelaburan emas yang ditawarkan oleh Maybank dan beberapa buah bank yang lain adalah menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syara’.

Maka harus hukumnya jika saudara yang bertanya ingin membuat pelaburan emas di bank yang menepati syarat, dan tidak perlu berasa was-was kerana pada adat kebiasaannya pihak bank yang menawarkan produk patuh syariah mempunyai panel penasihat syariah mereka yang tersendiri. Mereka telah pun membuat perbincangan secara terperinci dan meluluskannya sesuai dengan ketetapan syara‘.

Kami nasihatkan, sebaiknya pastikan terlebih dahulu emas yang ingin dijual berada dalam pemilikan pihak bank tersebut agar pelaburan yang dilakukan sah dan tidak terbatal.

Wallahu a‘lam

[1] Lihat https://www.maybank2u.com.my/iwov-resources/pdf/personal/wealth/miga-i_tnc.pdf; https://www.maybank2u.com.my/iwov-resources/pdf/personal/wealth/miga-i_pds.pdf. Diakses pada 22 Jun 2023.

Bertarikh: 28 Jun 2023 bersamaan 9 Zulhijjah 1444 H