#2033: Wanita Tidak Boleh Jamak Qasar Jika Musafir Tanpa Mahram?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’, saya ingin bertanya, benarkah wanita tidak boleh jamak qasar jika mahram tidak ikut serta dalam musafir?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.anhuma :

لَا تُسَافِرِ الْمَرْأَةُ إِلاَّ مَعَ ذِي مَحْرَمٍ

Maksudnya: “Seorang wanita tidak boleh bermusafir tanpa ada mahram.”

Riwayat al-Bukhari (1729) dan Muslim (2391)

Sebagaimana yang kita ketahui, dalam mazhab Syafi’i jika musafir itu aman daripada fitnah dan selamat dari sebarang halangan di samping pemergian ke tempat yang pada ghalibnya selamat beserta dengan kenderaan yang digunakan seperti kapal terbang, maka hukumnya dibolehkan.

Ulama’ mazhab Maliki dan juga al-Syafie pula mengatakan harus bagi wanita muslimah yang tidak memiliki mahram untuk melakukan haji apabila dia telah memenuhi syarat wajib haji tetapi hendaklah ditemani oleh sekumpulan wanita yang dipercayai. (Lihat: Mughni al-Muhtaj; 2/216-217, al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; 25/38)

Dar al-Ifta’ al-Misriyyah juga berkongsi pandangan dan juga pendapat mengenai isu ini. Kata mereka: Dibenarkan ke atas seseorang wanita untuk bermusafir tanpa mahram namun dengan syarat mestilah aman pada agamanya, pada dirinya dalam permusafirannya, ketika dia di destinasi dan juga dalam kepulangannya, dan tidak menghalangnya atau bertembung dengannya sebarang gangguan terhadap dirinya dan agamanya.

Menjawab bagi persoalan di atas kami nyatakan di sini bahawa wanita yang bermusafir tanpa mahram boleh melakukan jamak dan qasar sekiranya permusafiran itu bukan bertujuan maksiat. Namun sekiranya dia bermusafir bagi tujuan melakukan maksiat contohnya menghadiri konsert-konsert yang melaghakan maka dia tidak dibolehkan untuk qasar dan jamak solat. Jumhur ulama berpandangan sesiapa yang melakukan permusafiran bagi tujuan maksiat maka tidak dibolehkan baginya mengambil rukhsah.

Al-Buhuti menyatakan:  Tidak boleh mengambil rukhsah pada permusafiran maksiat iaitu tidak boleh berbuka puasa, memakan bangkai ketika darurat dan sebagainya .Sekiranya seseorang yang melakukan permusafiran maksiat khuatir akan dirinya jika tidak memakan bangkai dalam keadaan darurat maka katakan padanya bertaubatlah dan makan. (Lihat Kassyaf al-Qina’, 3/265)

Kami menukilkan dalam kitab Minhaj al-Talibin bahawa Imam al-Nawawi menyatakan : Tidak dibolehkan mengambil rukhsah sekiranya permusafiran itu dilakukan dengan tujuan maksiat seperti seorang hamba bermusafir bagi melarikan diri dari tuannya dan seorang perempuan yang nusyuz.

Oleh yang demikian, sekiranya  dia memulakan perjalanan dengan niat yang diharuskan syara’ kemudian dia melakukan maksiat maka dia tidak  boleh mengambil apa-apa rukhsah dalam permusafiran mengikut pendapat yang sahih dan Jika sekiranya dia memulakan perjalanan tersebut dengan niat melakukan maksiat kemudian dia bertaubat maka dikira permulaan bagi perjalanan yang dibolehkan baginya mengambil rukhsah seperti menjamak dan mengqasarkan  solat adalah selepas dia bertaubat. (Lihat Minhaj al-Talibin, Hlm.45)

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang baik dalam melaksanakan syariat-syariatnya dan kami akhiri perbahasan ini dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Bertarikh: 28 Jun 2023 bersamaan 9 Zulhijjah 1444 H