#2029: Melakukan Korban Atau Memberi Nafkah Kepada Ibu Bapa, Yang Mana Perlu Diutamakan?

Soalan:

Assalamualaikum Dato, saya ingin bertanya Jika ada seorang anak yang dah berpendapatan ingin berkorban daging lembu, tetapi dalam masa yang sama ibu ayahnya juga mengharap duit keperluan. Diketahui ibu ayahnya yang anaknya berkorban lembu RM 700, lalu mereka berkecil hati. Apa pandangan atau hukumnya ?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan perbahasan nafkah dengan firman Allah SWT :  

ليُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ ۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّـهُ ۚ لَا يُكَلِّفُ اللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا مَا آتَاهَا ۚ سَيَجْعَلُ اللَّـهُ بَعْدَ عُسْرٍ يُسْرًا

Maksudnya: Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.

(Surah al-Talaq:7)

Nafkah dari segi bahasa mengeluarkan, iaitu pembiayaan belanja seseorang terhadap ahli keluarganya. Manakala dari segi syarak ialah makanan, pakaian, tempat tinggal dan selainnya. Ia di namakan Nafaqah kerana dikeluarkan atau digunakan untuk keperluan itu.( Lihat: Hasyiyah al-Bajuri ala Ibn Qasim Halabi Fatoni, 2/185, al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/274)

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut, nafaqah bermaksud semua keperluan asas manusia, seperti makanan, minuman, pakaian dan juga tempat tinggal. Ia dinamakan nafaqah kerana ia dikeluarkan atau dihabiskan untuk tujuan keperluan asas tersebut.( Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/101)

Pada asalnya, para ulama’ menyebut bahawa furu’ (seperti anak-anak) wajib memberi nafaqah kepada usul, iaitu bapa, ibu, datuk, nenek dan ke atas. Antara dalilnya adalah firman Allah SWT:

وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا

Maksudnya: “Dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.”

(Surah Luqman: 15)

Begitu juga firman Allah SWT:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا

Maksudnya:Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.”

(Surah al-Isra : 23)

Diriwayatkan daripada Jabir R.A, Rasulullah SAW bersabda:

ابْدَأْ بِنَفْسِكَ فَتَصَدَّقْ عَلَيْهَا ، فَإِنْ فَضَلَ شَيْءٌ فَلِأَهْلِكَ ، فَإِنْ فَضَلَ عَنْ أَهْلِكَ شَيْءٌ فَلِذِي قَرَابَتِكَ ، فَإِنْ فَضَلَ عَنْ ذِي قَرَابَتِكَ شَيْءٌ فَهَكَذَا وَهَكَذَا

Maksudnya: “Mulakan nafaqah dengan dirimu. Jika berbaki, berikanlah kepada ahli keluargamu. Jika masih berbaki, berikanlah kepada saudara-maramu yang terdekat dan jika masih berbaki lagi, berikanlah kepada mereka dan seterusnya.”

Riwayat al-Bukhari (6763) dan Muslim (997)

Imam al-Syaukani menyebut: Nafkah kepada keluarga tetap wajib meskipun ketua keluarga jatuh miskin, manakala nafkah kepada ibubapa hanya wajib jika anak mampu. Para ulama’ telah sepakat akan wajibnya mendahulukan nafkah anak isteri sebelum ibubapa. (Lihat Nail al-Autar, 6/381)

Ibn al-Munzir telah menyebut kesepakatan ulama’ tentang kewajiban anak-anak memberi nafaqah kepada ibubapa yang fakir, jelas beliau: Telah sepakat kesemua ulama (ijma’ ulama) bahawa nafkah dua ibu bapa yang fakir dan tiada mata pencarian dan harta, adalah wajib dari harta anak. (Lihat al-Isyraf ‘ala Mazahib al-‘Ulama’, 5/167)

Menjawab bagi persoalan di atas, dapat kami nyatakan di sini bahawa tanggungan nafkah ibu bapa adalah menjadi satu kewajipan ke atas anak-anak sekiranya ibu bapa tergolong dalam kalangan fakir dan miskin. Dalam situasi ini memberi nafkah dengan membelanjakan barang keperluan kepada ibu bapa adalah lebih diutamakan daripada melakukan Korban kerana nafkah terhadap ibu bapa adalah wajib manakala, korban hukumnya sunat. Oleh yang demikian perkara yang wajib haruslah diutamakan daripada perkara sunat.

Para ulama’ menyebut, memberi nafkah kepada ibubapa adalah tidak wajib atas seorang anak kecuali dalam dua keadaan berikut:

  • Ibu bapanya miskin dan memerlukan bantuan.
  • Anak tersebut mempunyai lebihan harta selepas nafkah yang diberikan kepada keluarganya. Syarat ini disepakati oleh para ulama’. (Lihat Mughni al-Muhtaj,3/446; al-Insaf, 9/392 dan Hasyiyah Ibn Abidin, 2/678)

Justeru, kami nasihati bagi anak-anak yang berpendapatan seharusnya saling bantu membantu dalam memberi nafkah kepada ibu bapa yang tidak berkemampuan. Ini selaras dengan perintah Allah SWT supaya berbuat baik kepada ibu bapa sebagaimana firmannya :

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

Maksudnya: Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).

(Surah al-Isra’ :23)

Ingatlah sabda Rasulullah SAW sepertimana yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma:

رِضَاءُ اللَّهِ فِي رِضَاءِ الْوَالِدِ ، وَسَخَطُ اللَّهِ فِي سَخَطِ الْوَالِدِ

Maksudnya: “Allah redha dengan sebab redha kedua ibubapa dan Allah murka dengan sebab murka kedua ibubapa.”

Riwayat al-Tirmizi (1899), Ibn Hibban (429) dan al-Hakim (7249)

Kami akhiri dengan doa : 

اَللَّهُمَّ اغْفِرْلِيْ ذُنُوْبِيْ وَلِوَالِدِيَّ وَارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِيْ صِغِيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah! ampunilah dosaku dan dosa kedua orang tuaku dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku sejak kecil.”

Bertarikh: 28 Jun 2023 bersamaan 9 Zulhijjah 1444 H