Soalan:
Assalamualaikum wbt Dato, Adakah boleh dilaungkan azan di dalam majlis seperti contoh majlis angkat sumpah jawatan?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan perbahasan ini dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Umar Bin al-Khattab bahawa Rasulullah SAW bersabda :
يَا بِلَالُ قُمْ فَنَادِ بِالصَّلَاةِ
Maksudnya: Wahai Bilal, berdirilah dan serukan solat.
Hadith riwayat al-Bukhari (579) dan Muslim (377)
Azan disyariatkan apabila masuk waktu solat seperti yang disebut dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Malik bin Al-Huwairith R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :
فَإِذَا حَضَرَتِ الصَّلاَةُ فَلْيُؤَذِّنْ لَكُمْ أَحَدُكُمْ
Maksudnya : Maka apabila waktu solat telah masuk, hendaklah salah seorang dari kamu melaungkan azan.
Riwayat al-Bukhari (628)
Allah SWT mensyariatkan laungan azan bagi menyeru umat Islam untuk mengerjakan solat berjemaah di masjid. Hukumnya adalah sunat muakkad bagi solat Jumaat dan solat fardhu lima waktu. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah: 229)
Imam Nawawi dalam Majmu’ menyatakan: menurut pendapat mazhab kami yang masyhur bahawa kedua-duanya(azan dan iqamah) adalah sunat bagi kesemua solat ketika bukan musafir dan juga ketika musafir sama ada secara berjemaah dan solat bersendirian. (Lihat Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi (3/82).
Selain itu, disunatkan juga azan dan iqamat juga pada beberapa ketika dan keadaan diluar solat. Antaranya:
- Disunatkan azan: Dalam keadaan sedih, pergaduhan, marah, kepada sesiapa tidak terkawal perilakunya sama ada manusia atau haiwan, ketika kebakaran dan ketika dirasuk oleh jin.
- Disunatkan azan dan iqamat: Di telinga bayi yang baru lahir, menghantar orang yang akan bermusafir dan ketika menurunkan mayat ke dalam kubur. (Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah: 229)
Diriwayatkan daripada Jabir Bin Abdullah bahwa Rasulullah SAW bersabda :
إذَا تَغَوَّلَتْ لَكُمُ الغِيلان فَنادُوا بالأذَانِ
Maksudnya: Apabila ghailan muncul (menghantui) kalian, maka teriakkanlah adzan .
Riwayat Ibn Majah (329)
Imam al-Nawawi menyatakan : Tolaklah kejahatan syaitan dengan azan, kerana syaitan akan menjauh dan melarikan diri apabila mendengar suara azan. (Lihat al-Azkar, hlm. 364).
Menjawab bagi persoalan di atas, setelah meneliti pandangan fuqaha kami nyatakan di sini, pada asalnya azan disyariatkan untuk memberitahu masuknya waktu solat lima waktu dan ia tidak disyariatkan selain waktu solat melainkan beberapa keadaan yang disunatkan untuk melaungkan azan seperti yang telah diterangkan di atas. Maka dalam isu ini melaungkan azan pada majlis angkat sumpah bukanlah termasuk dalam keadaan yang diharuskan untuk melaungkan azan.
Justeru, kami nasihati supaya bertanyalah para alim ulama sebelum melakukan sesuatu supaya tidak melakukan apa yang menyalahi sunnah Rasulullah SAW.
Semoga Allah SWT memberi ilmu dan kefahaman yang jelas dalam menjalani kehidupan seharian dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”
(Surah al-Baqarah :201)
Bertarikh: 28 Jun 2023 bersamaan 9 Zulhijjah 1444 H