#2043: Menonton Filem Cetak Rompak Bagi Orang Bukan Islam

Soalan:

Assalamualaikum Dr, saya nak tanya berkenaan menonton drama atau filem oleh bukan muslim misalnya drama korea dari platform cetak rompak? Adakah ada perbezaan kalau muslim tidak boleh, non muslim boleh tengok yang cetak rompak. Mohon penjelasan. Terima kasih

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Cetak Rompak

Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, cetak rompak bermaksud perbuatan menerbitkan hasil cipta/karya orang lain tanpa kebenaran dan membayar royalty kepada mereka. Hal ini akan menyebabkan penerbit filem tidak mendapat keuntungan yang sepatutnya.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

(Surah al-Baqarah: 188)

Ayat di atas boleh difahami bahawa, janganlah sebahagian daripada kamu memakan (mengambil) harta sebahagian yang lain dengan cara yang batil seperti sumpah yang dusta, merampas, mencuri, rasuah, riba dan lain-lain. Selain itu, janganlah kamu menyampaikan hujah-hujah yang batil kepada hakim bagi tujuan memakan harta segolongan manusia dengan cara yang salah sedangkan kamu tahu perkara itu adalah haram ke atas kamu (melakukannya). (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 29)

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan hukum menonton filem secara cetak rompak adalah haram kerana ia merupakan hak cipta orang lain. Namun, bagi orang bukan Islam, mereka tetap dikira berdosa walaupun mereka bukan Islam. Hal ini kerana Allah telah menetapkan perkara yang dibolehkan dan dilarang seperti minum arak, makan khinzir dan seumpamanya. Maka, perlu kita fahami bahawa meskipun mereka tidak dikenakan hukuman di dunia, namun mereka akan dikenakan hukuman di akhirat kerana melakukan perkara yang haram. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

Maksudnya: Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.

Surah al-Baqarah (168)

Ibn Kathir menyatakan bahawa Allah SWT menghalalkan bagi sekalian makhluk-Nya memakan apa sahaja di atas muka bumi ini dengan sesuatu yang halal lagi baik. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/478)

Maka, dapat difahami di sini bahawa Allah memerintahkan sekalian manusia untuk makan makanan yang halal dan bukan hanya diperintahkan bagi orang Islam sahaja. Oleh itu, orang yang bukan Islam apabila mereka melakukan sesuatu yang haram, maka mereka akan dihukum di akhirat kelak.

Walaupun begitu, kami tegaskan di sini bahawa bukan  semata-mata isu cetak rompak tetapi kandungan filem juga perlu diambil kira, terutamanya yang bersifat jauh dari syariat bahkan mengandungi pelbagai unsur yang menyalahi agama. Filem seperti ini tidak sewajarnya menjadi tontotan kepada umat Islam.

Akhir kalam, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Bertarikh: 28 Jun 2023 bersamaan 9 Zulhijjah 1444 H