Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada persoalan berkenaan kaedah jualan. Murid membeli kupon dari pihak sekolah. Kupon diguna untuk menyertai aktiviti atau permainan oleh guru sukan.
Jika murid berjaya mendapat sasaran yang tinggi murid, akan diberikan hadiah saguhati, jika tidak berjaya, murid tidak dapat apa-apa hadiah mahupun pulangan. Hadiah tersebut dibeli oleh guru daripada modal kupon yang dibeli oleh murid. Apakah hukum jual beli kaedah ini?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pertamanya, persoalan yang saudara kemukakan sebenarnya perlu difahami dengan baik. Hal ini kerana kaedah menyebut:
الْحُكْمُ عَلَى الشَّيْءِ فَرْعٌ عَنْ تَصَوُّرِهِ
Maksudnya: “Hukum atas suatu perkara terbina atas pandangan keseluruhan perkara tersebut.” (Lihat Syarh al-Kaukab al-Munir, 1/50)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan terlebih dahulu takrif judi. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, definisi judi diertikan sebagai: “Permainan dengan memakai wang dan lain-lain sebagai taruhan”.
Definisi ini tidak jauh dengan makna pertaruhan (qimar), seperti yang ditakrif oleh Imam al-Jurjani sebagai:
كُلُّ لَعِبٍ يُشْتَرَطُ فِيْهِ غَالِبًا مِنَ الْمُتَغَالِبَيْنِ شَيْئًا مِنَ الْمَغْلُوْبِ
Maksudnya: “Setiap permainan yang mensyaratkan peserta yang kalah memberikan sesuatu (seperti duit) kepada peserta yang menang.” (Lihat al-Ta’rifat, hlm. 179)
Firman Allah SWT:
إِنَّمَا ٱلۡخَمۡرُ وَٱلۡمَيۡسِرُ وَٱلۡأَنصَابُ وَٱلۡأَزۡلَٰمُ رِجۡسٞ مِّنۡ عَمَلِ ٱلشَّيۡطَٰنِ فَٱجۡتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُون
Maksudnya: “Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala, dan menilik nasib dengan anak panah adalah kotor (keji) dari perbuatan syaitan, maka hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”
(Surah al-Maidah: 90)
Al-Mahalli dalam tafsirnya menyebut: (الْخَمْر) ialah minuman yang memabukkan yang meliputi akal, dan (الْمَيْسِر) adalah perjudian, (الْأَنْصَاب) adalah berhala-berhala, (الْأَزْلَام) adalah anak panah, dan (رِجْس) ialah benda yang keji dan kotor, dan (مِنْ عَمَل الشَّيْطَان) bermaksud tipu-dayanya. (Lihat Tafsir al-Jalalain, hlm. 154)
Selain itu, daripada segi istilah, terdapat beberapa takrifan judi yang dikemukakan oleh para ulama antaranya:
- Ibn Hajar al-Haitami menyebut judi adalah merujuk kepada sebarang jenis pertaruhan. (Lihat al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kaba’ir, 2/200)
- Al-Mawardi menyebut judi ialah suatu pertandingan yang menjadikan pihak yang terlibat tidak terlepas daripada menjadi pemenang (mengambil) atau tewas (menyerahkan) hadiah yang dipertaruhkan. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 13/379)
- Ibn Qudamah pula mengatakan judi ialah pertandingan yang tidak sunyi salah satu daripada keduanya untuk menang atau kalah. (Lihat al-Mughni, 10/171)
- Menurut Ibn Taimiyyah, judi merupakan pengambilan sebahagian daripada harta seseorang, kemudian dipertaruhkan sama ada seorang itu mendapat hasil atau tidak mendapat apa-apa. (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 19/283)
- Imam Malik menyatakan judi terdiri daripada dua jenis:
- Judi yang bersifat sia-sia (lagha) seperti permainan yang menggunakan buah dadu, catur dan sebarang elemen hiburan yang tidak bermanfaat.
- Judi yang bersifat pertaruhan iaitu apa-apa yang membahaya atau menggadaikan diri orang lain. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 3/52)
- Syeikh Rasyid Ridha mentafsirkan judi (al-maisir) dalam al-Quran sebagai permainan untuk mencari keuntungan tanpa menggunakan akal dan tanpa bekerja keras. (Lihat Tafsir al-Manar, 2/258)
- Syeikh Ali al-Sabuni menyebut, judi adalah setiap permainan yang memberikan keuntungan bagi satu pihak dan kerugian bagi pihak yang lain. (Lihat Rawa’i al-Bayan fi Tafsir Ayat al-ahkam min al-Quran, 1/279)
Daripada takrifan yang dikemukakan oleh para ulama di atas, maka dapat kita fahami bahawa judi ialah satu permainan yang mengandungi pertaruhan daripada pihak bertanding di mana ia mengakibatkan kemenangan pada sebelah pihak manakala pihak yang lain mengalami kerugian.
Dalam mengklasifikasikan sesuatu permainan sebagai judi, para ulama telah mensyaratkan ciri-ciri berikut:
- Ia disertai oleh dua orang atau lebih atau dua kumpulan manusia atau lebih.
- Setiap pihak mempertaruhkan sesuatu harta atau manfaat.
- Mana-mana pihak yang menang akan memperolehi harta atau manfaat dari pihak yang kalah di samping menyimpan harta dan mafaat yang ia pertaruhkan.
Berdasarkan ini para ulama berpendapat bahawa mana-mana permainan yang mana pemenangnya memperolehi manfaat yang disediakan oleh pihak ketiga, bukan dari pihak-pihak yang terlibat dalam permainan itu. Permainan seperti ini dinamakan sebagai pertandingan dan manfaat yang diperolehi dianggap sebagai hadiah.
Satu permainan juga tidak dianggap sebagai judi sekiranya manfaat yang diperolehi berasal dari satu pihak seperti sekiranya seorang berkata kepada temannya “Jika kamu boleh mengalahkan saya, saya akan memberimu hadiah. Akan tetapi jika kamu kalah, tiada kewajipan atas kamu terhadap saya.” Ini berdasarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud yang mana Rasulullah SAW diajak oleh seorang kafir Quraisy bernama Rukanah untuk bergusti dengan hadiah beberapa kambing, jika Rasulullah SAW menang. Rasulullah SAW menerima cabaran itu dan beliau menang dalam pertandingan.
Selain itu, sebarang permainan apabila seorang di antara yang bertaruh menang lalu mendapatkan taruhan itu sedang bila kalah maka dia berhutang kepada temannya dianggap sebagai judi yang diharamkan.
Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi juga menyebut dalam kitabnya yang telah kami terjemahkan berkata: “Tetapi sekiranya hadiah tersebut (atau benda pertaruhannya) dikeluarkan dari kedua-duanya sekali dan mereka yang bertaruh dengan syarat siapa yang menang antara keduanya, maka dia berhak mengambil kedua-duanya (taruhan) sekali. Maka jelaslah ini merupakan perjudian yang diharamkan oleh Islam. Justeru, mengambil yuran peserta bagi tujuan hadiah kepada para pemenang ialah satu bentuk pertaruhan yang diharamkan kerana mengakibatkan kerugian seumpama main nasib atas pihak yang kalah.” (Lihat Halal & Haram dalam Islam, hlm. 558)
Kesimpulan
Berkenaan dengan persoalan di atas, berdasarkan pemahaman kami, kupon itu dijual kepada murid dengan menjadikan ia sebagai pertaruhan nasib terhadap aktiviti permainan tersebut, dan sekiranya dia berjaya, maka dia memperolehi hadiah, dan jika dia gagal, dia mendapat kerugian dan tidak memperoleh apa-apa daripada aktiviti tersebut. Tambahan pula, hadiah yang dibeli oleh penganjur pula merupakan wang daripada modal kupon yang dibeli oleh murid. Hal ini jelas bertepatan dengan takrif dan definisi judi yang kami terangkan di atas.
Sebagai langkah keluar bagi isu ini, kami cadangkan supaya permainan-permainan yang dianjurkan tersebut tidak dikenakan apa-apa bayaran melalui kupon atau seumpamanya, dan hadiah yang diberikan dicari melalui sumber yang lain sama ada melalui sumbangan atau seumpamanya. Jika perlu juga kepada bayaran, bayaran itu hendaklah digunakan atas tujuan pengurusan seperti sewaan atau yuran untuk penyediaan makanan dan minuman dan seumpamanya.
Akhirnya, semoga Allah SWT membebaskan kita daripada terperangkap dalam dosa perjudian. Amin. Kami tutup dengan doa:
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.” (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/75)
Bertarikh: 28 Jun 2023 bersamaan 9 Zulhijjah 1444 H