Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hukum menggerak-gerakkan jari ketika tahiyyat, sama ada awal atau akhir?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Alhamdulillah, tahniah atas soalan kerana ingin mengetahui berkenaan dengan hukum-hakam berkaitan solat. Diriwayatkan daripada Malik bin al-Huwairith RA bahawa Nabi SAW bersabda:
وَصَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي
Maksudnya: “Dan solatlah kamu sepertimana kamu melihat aku solat”.
Riwayat al-Bukhari (6008) dan Muslim (674)
Dalam menjawab persoalan di atas, mengikut riwayat Ibnu Zubair katanya:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَانَ إِذَا قَعَدَ فِي التَّشَهُّدِ وَضَعَ كَفَّهُ الْيُسْرَى عَلَى فَخِذِهِ الْيُسْرَى وَأَشَارَ بِالسَّبَّابَةِ لاَ يُجَاوِزُ بَصَرُهُ إِشَارَتَهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW apabila Baginda duduk tasyahhud, Baginda meletakkan telapak tangan kirinya di atas peha kiri, dan Baginda mengisyaratkan dengan telunjuknya (tangan kanan), dan pandangannya tidak melebihi jari tekunjuk tersebut. ”
Riwayat al-Nasa’ie (1275)
Selain itu, mengangkat jari telunjuk ketika duduk tasyahhud thabit melalui pelbagai hadith, antaranya ialah melalui Abdullah bin Umar R.Anhuma yang meriwayatkan tatacara Rasulullah SAW solat sewaktu keadaan tasyahhud:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِذَا قَعَدَ يَدْعُو وَضَعَ يَدَهُ الْيُمْنَى عَلَى فَخِذِهِ الْيُمْنَى وَيَدَهُ الْيُسْرَى عَلَى فَخِذِهِ الْيُسْرَى وَأَشَارَ بِإِصْبَعِهِ السَّبَّابَةِ وَوَضَعَ إِبْهَامَهُ عَلَى إِصْبَعِهِ الْوُسْطَى وَيُلْقِمُ كَفَّهُ الْيُسْرَى رُكْبَتَهُ
Maksudnya: “Rasulullah SAW apabila duduk untuk tasyahhud, Baginda meletakkan tapak tangan kanan di atas peha kanan dan tapak tangan kiri di atas peha kiri, sambil mengangkat jari telunjuk dalam keadaan ibu jari diletakkan di atas jari tengah, manakala tapak tangan kiri Baginda pula menutup bahagian lutut.”
Riwayat Muslim (579)
Imam al-Nawawi berkata: Hadith-hadith ini menjadi dalil akan sunnahnya hukum mengisyaratkan dengan jari telunjuk ketika tasyahhud, dan menurut mazhab Syaf’ie, ia hendaklah diangkat ketika mengucapkan melafazkan إلا الله sewaktu tasyahhud. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 5/81)
Ibn Hajar al-Haitami pula memperincikan lagi, dengan menyatakan bahawa jari telunjuk hendaklah diangkat ketika huruf ‘hamzah’ pada kalimah إلا. Selain itu, beliau dan Imam Khatib al-Syarbini turut menambah bahawa sewaktu jari telunjuk itu diangkat, hendaklah ia dibengkokkan sedikit dan tidak diluruskan sepenuhnya, serta disunatkan juga jari tersebut ditunjuk ke arah kiblat beserta niat untuk mentauhidkan Allah dan mengikhlaskan diri kepada-Nya. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj 2/79-80; Mughni al-Muhtaj 1/378)
Berdasarkan nas di atas, jumhur ulama Syafi’i berpendapat bahawa makruh menggerak-gerakkan telunjuk waktu tasyahhud, tetapi dalam mazhab Maliki dan Hanbali adalah boleh untuk digerak-gerakkan.
Dalam mazhab al-Syafi’i, sunat mengangkat jari telunjuk ketika mengucap ‘illallah’ di mana sekadar mengangkat tanpa menggerakkan sehingga berdiri untuk tahiyyat awal dan sehingga mengucapkan salam dalam tahiyyat akhir.
Kami berpendapat isu seperti ini adalah masalah khilafiyyah antara mazhab. Justeru, hendaklah kita berlapang dada apabila seseorang mengikut mazhab yang lain daripada mazhab kita.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
(Surah Ibrahim: 40)
Bertarikh: 28 Jun 2023 bersamaan 9 Zulhijjah 1444 H