#2052: Isteri Mendapatkan Rawatan Tanpa Keizinan Suami

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya berkenaan seorang isteri yang mengidap Skizofrenia tapi enggan ikut suaminya berjumpa pakar psikiatri kerana takut. Abang kandung isteri tersebut boleh memujuknya dan boleh membawanya berjumpa pakar psikiatri, tetapi si suami tidak mengizinkan abang kandung isteri membawanya.

Apakah hukum abang kandung bawa si isteri berjumpa pakar psikiatri untuk dapatkan rawatan tanpa izin suaminya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Skizofrenia merupakan penyakit mental kronik yang memerlukan rawatan seumur hidup oleh kerana ia mengakibatkan gangguan pemikiran yang serius. Kebiasaannya, pesakit akan mengalami kecelaruan pemikiran dan seakan terpisah daripada dunia reality. Mereka juga akan cenderung bertingkah laku pelik kerana sering mendengar bisikan suara dan berdelusi tentang perkara yang tidak benar, mudah paranoid dan berasa marah.[1]

Psikiatri pula menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat bermaksud suatu cabang perubatan yang berkaitan dengan kajian dan rawatan untuk gangguan mental. Dapat difahami di sini, pakar psikiatri merujuk kepada mereka yang mempunyai keahlian dalam bidang yang melibatkan masalah mental dan psikologi.

Melihat kepada situasi yang dinyatakan di dalam soalan, kami dapati terdapat dua perkara yang perlu perjelaskan: darurat dan husnul mu‘asyarah.

Imam al-Syatibi menyatakan bahawa darurat bermakna sesuatu perkara yang perlu dilakukan untuk memastikan kepentingan agama dan dunia tertunai. Sekiranya perkara tersebut tidak dilakukan, maka kepentingan agama dan dunia tidak akan tertunai atas jalan yang benar. (Lihat al-Muwafaqat, 2/17)

Sebagai contoh untuk perkara darurat, isteri yang menghidapi penyakit Skizofrenia tidak dapat melakukan rawatan bersama pakar psikiatri melainkan dengan keluar daripada rumah, meskipun tanpa mendapat keizinan daripada suami.

Sekiranya isteri tersebut dilarang oleh suaminya untuk keluar daripada rumah bagi mendapatkan rawatan, maka dia tidak wajib mentaati suaminya. Hal ini kerana, merisikokan diri sendiri sehingga boleh membawa kepada kebinasaan diri sendiri adalah ditegah oleh syara‘. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ ۛ

Maksudnya: “dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”

(Surah al-Baqarah: 195)

Allah SWT juga berfirman di dalam ayat yang lain:

وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا

Maksudnya: “dan janganlah kamu membunuh diri sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.”

(Surah al-Nisa’: 29)

Terdapat juga hadith yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةٍ، إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Tidak ada ketaatan dalam perkara maksiat, sesungguhnya ketaatan hanya pada perkara makruf  (kebaikan).”

Riwayat a-Bukhari (7257) dan Muslim (1840)

Ini juga bertepatan dengan kaedah fiqhiyyah yang menyebutkan:

اَلضَّرُوْرَاتُ تُبِيْحُ الْمَحْظُوْرَاتِ

Maksudnya: “Semua darurat mengharuskan yang haram.”

Sekiranya suami tersebut membenarkan isterinya untuk mendapatkan rawatan, bahkan sudi untuk menemaninya berjumpa dengan pakar psikiatri, maka wajib hukumnya untuk isteri taat pada suami berdasarkan hadith Ali bin Abi Talib R.A di atas.

Akan tetapi, jika si isteri enggan kerana berasa takut atau kurang selesa apabila bersama suami, dan hanya abang kandung isteri sahaja yang mampu memujuknya untuk bertemu dengan pakar psikiatri, maka suami sewajarnya mempermudahkan urusan tersebut.

Sebagai seorang suami, hak isteri juga perlu diraikan dan sentiasa bersikap lembut dengannya bagi menjaga hubungan baik antara suami isteri. Alangkah baiknya jika suami tersebut membenarkan sahaja untuk keluar mendapatkan rawatan bersama abang kandungnya, sementelahan pula diyakini bahawa isteri tersebut bukanlah keluar untuk melakukan perkara yang mungkar, dan tidak juga medorong kepada perkara yang mungkar. Bahkan toleransi daripada suami ini merupakan salah satu bentuk al-mu‘asyarah bi al-ma‘ruf (pergaulan yang baik) terhadap isteri. Suami tidak sepatutnya bersikap keras terhadap isteri, dan isteri pula perlulah mentaati suami pada setiap perkara selagi mana ia tidak bertentangan dengan ketetapan syara‘.

Allah SWT telah berfirman:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Dan bergaullah dengan mereka (golongan wanita) dengan cara yang makruf (baik).”

(Surah al-Nisa’: 19)

Imam al-Qurtubi mengatakan bahawa ini merupakan seruan daripada Allah SWT kepada semua, kerana setiap seorang itu mempunyai pergaulan sama ada seorang suami atau seorang wali. Akan tetapi yang dimaksudkan dengan perintah ini secara kebiasaannya adalah kepada para suami. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/84)

Syeikh al-Maraghi mengatakan bahawa para suami diwajibkan bergaul dengan isteri-isterinya secara baik. Oleh itu, bergaullah dengan mereka dengan cara yang dapat menyenangkan tabiat mereka dan tidak bercanggah dengan syariat dan adat. Janganlah suami bersikap bakhil dalam menafkahi mereka dan jangan pula sakiti mereka dengan ucapan dan perbuatan, atau suami menunjukkan wajah yang muram dan kening berkerut ketika bersama isteri.

Kalimah mu‘asyarah (bergaul) di sini menunjukkan pengertian kebersamaan dan perkongsian iaitu layanilah mereka dengan cara yang baik agar para isteri juga melayani suami dengan baik. Jadi, suami dan isteri diseru agar saling memberikan kebahagiaan serta menjadi sumber ketenangan dan kebahagiaan dalam melayari rumahtangga. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/1128)

Kami mengambil pendekatan jalan tengah, dengan mencadangkan supaya si suami membenarkan abang kandung isteri tersebut untuk turut bersamanya menemani si isteri menjalani rawatan. Hal ini dapat mengelakkan daripada si isteri keluar mendapatkan rawatan tanpa redha dan izin suami, serta mengurangkan rasa takutnya apabila ditemani abang kandungnya.

Kami sudahi dengan doa:

اللَّهُمَّ ربَّ النَّاسِ، أَذْهِب الْبَأسَ، واشْفِ، أَنْتَ الشَّافي لا شِفَاءَ إِلاَّ شِفَاؤُكَ، شِفاءً لا يُغَادِرُ سقَماً

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan bagi manusia, hilanglah kesengsaraan, sembuhkan (yang sakit) Engkau adalah Zat yang menyembuhkan, tidak ada kesembuhan melainkan kesembuhan dari-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan rasa sakit.”

Wallahu a‘lam

[1] Lihat https://hellodoktor.com/kesihatan-mental/kesihatan-mental-lain/skizofrenia/. Diakses pada 23 Jun 2023.

Bertarikh: 28 Jun 2023 bersamaan 9 Zulhijjah 1444 H