Soalan:
Assalamualaikum Dato, saya ingin bertanya adakah puasa 3 hari mesti di Tanah Haram? Atau boleh di mana-mana?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ فِي الْحَجِّ وَسَبْعَةٍ إِذَا رَجَعْتُمْ ۗ تِلْكَ عَشَرَةٌ كَامِلَةٌ ۗ ذَٰلِكَ لِمَن لَّمْ يَكُنْ أَهْلُهُ حَاضِرِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya : Kalau ia tidak dapat (mengadakan Dam), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan Haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing); semuanya itu sepuluh (hari) cukup sempurna. Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetap (di sekitar) masjid Al-Haraam (Makkah). Dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat balasan seksaNya (terhadap orang-orang yang melanggar perintahNya.
(Surah al-Baqarah : 196)
Al-Qurtubi menyatakan: barangsiapa yang tidak mendapatkan haiwan korban (الهَدْيُ), disebabkan tidak memiliki wang yang mencukupi atau tidak memiliki haiwan tersebut, maka ia diwajibkan berpuasa selama tiga hari ketika haji, dan tujuh hari setelah kembali ke tempat asalnya .(Lihat al-Jami Li Ahkami al-Quran, 2/399)
Merujuk kepada persoalan di atas ,bagi mereka yang sakit atau mengalami kesakitan pada kepala sehingga terpaksa mencukur rambutnya, atau memakai jubah atau menutup kepala, maka wajib ke atasnya membayar fidyah. Fidyah ini adalah fidyah (التَّخْيِير) iaitu salah satu dari tiga pilihan: berpuasa selama tiga hari, memberi makan enam orang miskin, atau menyembelih seekor kambing.
Selain itu, bagi mereka yang melakukan umrah sebelum haji dan bukan dari kalangan penduduk mekah, maka diwajibkan baginya meneyembelih haiwan korban sebagai dam (الهَدْيُ) seperti seekor kambing, lembu, atau unta. Jika tidak mendapatinya, maka ia hendaklah berpuasa selama tiga hari ketika haji dari awal bulan Zulhijjah hingga hari kesembilan, dan tujuh hari setelah kembali ke negerinya.
Imam al-Nawawi berkata: “Para ulama’ mengatakan tentang firman Allah (فَمَن تَمَتَّعَ بِالْعُمْرَةِ) iaitu disebabkan oleh umrah, kerana sesungguhnya dia menikmati larangan-larangan ihram antara haji dan umrah itu kerana sudah selesai daripada tahallul umrah. Mereka berkata bahawa ‘al-tamattu‘ di sini bermaksud kesenangan dan manfaat. Ia diertikan sebagai ‘mengambil kesempatan daripadanya’ iaitu memperoleh manfaat daripadanya, dan al-mata’ (sesuatu yang dinikmati) adalah segala sesuatu yang dapat diambil manfaat daripadanya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 7/184)
Beliau berkata lagi: Wajib bagi yang melakukan haji qiran dan tamattu’ membayar dam seekor kambing atau yang lebih atas daripadanya. Sifatnya sama seperti sifat haiwan korban. Sah baginya membayar dam dengan 1/7 daripada unta atau 1/7 daripada lembu. Jika dia tidak mendapati haiwan hady pada tempat tersebut atau dia mendapatinya tetapi harganya lebih daripada harga pasaran, maka dia wajib berpuasa tiga hari pada musim haji dan tujuh hari apabila pulang ke negerinya. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-Umrah, hlm. 138)
Menjawab bagi persoalan di atas kami nyatakan di sini tuan/puan digalakkan berpuasa tiga hari di Tanah Haram sekiranya puasa itu merupakan puasa tamattu’. Manakala sekiranya puasa tiga hari itu merupakan denda kerana melakukan perkara-perkara yang dilarang ketika haji atau umrah maka boleh dipilih sama ada berpuasa di tanah haram atau luar dari Tanah Haram. Namun, kami berpandangan berpuasa di tanah haram adalah lebih baik kerana kemuliaan tempat tersebut.
Sebagaimana yang telah dinyatakan dalam al-Hawi al-Kabir: “Tempat yang telah dinyatakan di dalam al-Quran seperti puasa bagi orang yang melakukan haji tamattu’ (bagi yang tidak mendapati haiwan korban) adalah di Tanah Haram maka lakukanlah seperti apa yang telah diperitahkan oleh Allah SWT. Manakala tempat yang tidak ditentukan selain puasa Tamattu’ maka dibolehkan untuk berpuasa di Tanah Haram atau luar Tanah Haram namun, berpuasa di Tanah Haram adalah lebih afdal. Yang demikian disebabkan, puasa tidak lah dapat memberi manfaat kepada penduduk Makkah maka ia diperbolehkan berpuasa selain darinya. Berbeza pula dengan haiwan sembelihan, ia dapat memberi manfaat kepada penduduk Tanah Haram maka, tidak boleh melakukan penyembelihan luar dari tanah tersebut.” (Lihat al-Hawi al-Kabir,4/232)
Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik dalam melakukan ketaatan kepadaNYA dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اجْعَلْ حَجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبًا مَغْفُوْرًا وَعَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا وَتِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ. يَا عَزِيْزُ يَا غَفُوْرُ يَا رَبَّ الْعَالَمِين
Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah haji ini haji yang mabrur, sa’i yang diterima, dosa yang diampuni dan amal shaleh yang dikabulkan dan perdagangan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.wahai Tuhan yang maha pengampun, Tuhan sekalian alam.”
Bertarikh: 28 Jun 2023 bersamaan 9 Zulhijjah 1444 H