#2056: Hadith Berkenaan Rasulullah SAW Menegur Lelaki Yang Rosak Solatnya

Soalan:

Assalamualaikum Dato Seri, saya ingin mempelajari dan memahami tentang hadis Nabi Muhammad SAW menegur dan membetulkan cara solat seorang lelaki, saya mohon untuk penjelasan. Terima kasih

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.Anhu bahawa Rasulullah SAW masuk ke masjid Rasulullah SAW masuk ke masjid, lalu ada juga seorang laki-laki masuk Masjid dan langsung solat kemudian dia memberi salam kepada Nabi SAW. Beliau menjawab dan berkata kepadanya :

ارْجِعْ فَصَلِّ، فإنّكَ لَمْ تُصَلِّ، فَرَجَعَ يُصَلِّي كما صَلّى، ثُمَّ جاءَ، فَسَلَّمَ على النبيِّ ﷺ، فَقالَ: ارْجِعْ فَصَلِّ، فإنّكَ لَمْ تُصَلِّ ثَلاثًا، فَقالَ: والذي بَعَثَكَ بالحَقِّ ما أُحْسِنُ غَيْرَهُ، فَعَلِّمْنِي، فَقالَ: إذا قُمْتَ إلى الصَّلاةِ فَكَبِّرْ، ثُمَّ اقْرَأْ ما تَيَسَّرَ معكَ مِنَ القُرْآنِ، ثُمَّ ارْكَعْ حتّى تَطْمَئِنَّ راكِعًا، ثُمَّ ارْفَعْ حتّى تَعْدِلَ قائِمًا، ثُمَّ اسْجُدْ حتّى تَطْمَئِنَّ ساجِدًا، ثُمَّ ارْفَعْ حتّى تَطْمَئِنَّ جالِسًا، وافْعَلْ ذلكَ في صَلاتِكَ كُلِّها

Maksudnya : “Kembalilah dan ulangi solatmu kerana kamu belum  lagi solat!” Maka orang itu mengulangi solatnya seperti yang dilakukannya pertama tadi kemudian datang menghadap kepada Nabi SAW dan memberi salam. Namun beliau kembali berkata, “Kembalilah dan ulangi solatmu kerana kamu masih belum solat!” Beliau memerintahkan orang itu sampai tiga kali hingga akhirnya laki-laki tersebut berkata, “Demi zat yang mengutus Tuan dengan hak, aku tidak dapat melakukan yang lebih baik dari itu. Maka ajarkanlah aku!” Beliau lantas berkata, “Jika kamu berdiri untuk solat maka mulailah dengan takbir, lalu bacalah apa yang mudah buatmu dari Al-Qur’an kemudian rukuklah sampai benar-benar rukuk dengan “الطَّمَأْنِينَة” (tenang), lalu  bangunlah (dari rukuk) hingga kamu berdiri tegak, lalu sujudlah sampai hingga benar-benar tama’ninah, lalu angkatlah (kepalamu) untuk duduk hingga benar-benar duduk dengan tama’ninah. Maka lakukanlah dengan cara seperti itu dalam seluruh solat (rakaat) mu.”

Riwayat Bukhari (757)

Merujuk kepada persoalan di atas, hadith Ini menunjukkan bahawa wajib membaca apa yang mudah dalam al-Quran kerana membaca merupakan rukan dalam solat. Oleh itu membaca al-Fatihah merupakan salah satu rukun dalam solat. Ini juga berdasarkan apa yang telah diriwayatkan daripada Rifa’ah Bin Rafi’ bahawa Rasulullah SAW bersabda :

ثمَّ اقرأْ بأمِّ القرآنِ وبما شاءَ اللهُ

Maksudnya : Bacalah Dengan ‘Um al-Quran dan apa yang dikehendaki oleh Allah.

Riwayat Abu Dawud (859)

Hadith ini juga menunjukkan hukum wajib dilakukan bagi perbuatan solat seperti ruku’, bangun daripadanya, sujud sebanyak dua kali dan duduk antara dua sujud. Yang demikian merupakan rukun-rukun dalam solat yang tidak sah solat tersebut sekiranya meninggalkannya. Rasulullah SAW mengajar lelaki yang rosak solatnya sebagimana yang telah dinyatakan dalam hadith di atas dengan menggunakan lafaz “الأَمْرٌ” . lafaz tersebut  adalah lafaz  suruhan yang menunjukkan perkara tersebut  adalah wajib.

Seterusnya, Tama’ninah (tenang dan tidak tergesa-gesa) dalam solat juga merupakan rukun kerana tidak sah solat seseorang sekiranya tidak ada tama’ninah dalam solat. Ini juga merupakan pandangan jumhur ulama’ Syafi’I, Maliki, Hanbali dan Zahiri. Selain itu, Hadith di atas juga menerangkan kepada kita bahawa tartib dalam solat merupakan kewajipan dalam solat. Ini kerana dalam hadith tersebut Rasulullah SAW menjelaskan perbuatan-perbuatan solat mengikut tertib. Maka tidak sah solat tanpa mengikut tertib yang betul. (Lihat Minhah al-A’llam, 3/11-13)

Justeru kami nyatakan di sini supaya ikutlah cara solat seperti yang telah diajar oleh Rasulullah SAW sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Malik Bin al-Huwairith bahawa Rasulullah bersabda :

صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي

Maksudnya : “Solatlah kamu sepertimana kamu melihat aku solat.”

Kami akhiri perbincangan ini dengan mengajak semua untuk berdoa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 28 Jun 2023 bersamaan 9 Zulhijjah 1444 H