#2057: Bersangka Buruk Akibat Dari Mimpi

Soalan:

Saya mangsa sihir pemisah rumahtangga dan saya sering berdoa mohon petunjuk akan kebenaran. Bagaimana saya nak yakin bahawa mimpi yang pernah saya alami adalah petunjuk dari Allah? Selain mimpi adakah kecenderungan hati untuk mengatakan memang benar beliaulah si pelakunya, boleh diambil kira sebagai petunjuk dari Allah, tetapi orang itu adalah ibu mertua saya. Sehingga hari ini, hati saya sukar untuk terima kenyataan ini  dan khuatir jika saya buruk sangka. Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Sihir

Kami kemukakan di sini definisi sihir dari sudut bahasa terlebih dahulu seperti berikut:

  • Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, sihir dari sudut bahasa ialah perbuatan atau kejadian yang luar biasa yang dilakukan oleh manusia secara tersembunyi atau ghaib yang melibatkan makhluk halus.
  • Menurut al-Azhari, perkataan al-sihr ialah menukarkan sesuatu daripada hakikat yang sebenar kepada suatu yang lain. Atau mengkhayalkan sesuatu bukan pada hakikat yang sebenar.( Lihat Fath al-Mughith fi al-Sihri wa al-Hasad wa Mass Iblis, halm. 55)
  • Ibn Manzur menyebut di dalam Lisan al-Arab bahawa yang dimaksudkan dengan sihir itu adalah satu amalan yang dengannya bertujuan mendekatkan diri kepada syaitan dengan memohon bantuan daripadanya. (Lihat Lisan al-‘Arab, 4/348)

Manakala pada istilahnya pula, definisi sihir adalah seperti berikut:

Ibnu Qudamah berkata: “Sihir ialah ikatan, jampi dan perkataan yang diucapkan atau ditulis atau dibuat sesuatu yang mendatangkan kesan dan akibat buruk terhadap tubuh orang yang disihir atau terhadap hati dan akalnya tanpa menyentuhnya secara langsung.( Lihat al-Mughni, 9/34)

Allah SWT menyebut sihir termasuk dalam perbuatan kufur sebagaimana firman-Nya:

وَمَا يُعَلِّمَانِ مِنْ أَحَدٍ حَتَّىٰ يَقُولَا إِنَّمَا نَحْنُ فِتْنَةٌ فَلَا تَكْفُرْ

Maksudnya: “Sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: “Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya).”

(Surah al-Baqarah: 102)

Ini juga merupakan pendapat Imam Ahmad Bin Hanbal,Abu Thaur, Ishak dan Imam Syafi’e. (Lihat al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, 2/47)

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan terdapat beberapa jenis mimpi yang dialami oleh seseorang Muslim. Hal ini dijelaskan dalam sebuah hadith daripada ‘Auf bin Malik R.A, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الرُّؤْيَا ثَلاَثٌ : مِنْهَا أَهَاوِيلُ مِنَ الشَّيْطَانِ لِيَحْزُنَ بِهَا ابْنَ آدَمَ ، وَمِنْهَا مَا يَهُمُّ بِهِ الرَّجُلُ فِي يَقَظَتِهِ ، فَيَرَاهُ فِي مَنَامِهِ ، وَمِنْهَا جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنَ النُّبُوَّةِ

Maksudnya: “Mimpi itu ada tiga jenis: Mimpi yang merupakan gangguan syaitan untuk meresahkan anak Adam; Mimpi yang pada asalnya perkara yang difikirkan manusia ketika jaga lalu terbawa hingga ke dalam tidur dan mimpi yang merupakan satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian.”

 Riwayat Ibn Majah (3907)

Daripada hadith di atas dapat difahami bahawa mimpi yang datang kepada seseorang itu terbahagi kepada tiga jenis iaitu:

  • Mimpi yang merupakan gangguan syaitan untuk menimbulkan keresahan kepada seseorang.
  • Mimpi yang pada asalnya perkara yang difikirkan oleh seseorang ketika jaga. Apabila tidur lalu terbawa-bawa perkara tersebut dalam mimpinya.
  • Mimpi yang merupakan satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian. Atau mimpi ketuhanan iaitu yang datang dan ilham daripada Tuhan.

Guru kami, Syeikh Atiyyah Salim Rahimahullah ketika menafsirkan 46 bahagian kenabian menyebut, ini kerana kerasulan Nabi SAW selama hampir 23 tahun sedangkan muqaddimah kenabian melalui mimpi hampir 6 bulan. Justeru, 6 bulan daripada 23 tahun bersamaan 1/46. Wallahu a’lam.

Ibnu Battal pula berkata, mimpi ada dua jenis:

Pertama, mimpi yang jelas-jelas menjadi nyata, seperti seseorang yang bermimpi memberi seseorang kurma, dan pada siang harinya ia memberi seseorang kurma. Mimpi seperti ini tidak memerlukan takwil.

Kedua, mimpi yang hadir dengan simbol-simbol. Untuk memahami mimpi seperti ini harus ada seseorang yang memiliki ilmu dan pengalaman mentakwil mimpi untuk memahaminya kerana kadang-kadang simbol-simbol itu sangat halus dan rumit. [2]

Walaubagaimanapun, harus diingatkan bahawa mimpi tidak boleh dijadikan landasan dalam menghukumkan sesuatu perkara. Imam al-Syatibi berkata, “Sesungguhnya mimpi dari selain para Nabi secara Syar’ie tidak boleh dijadikan landasan untuk menghukumkan perkara apa pun, kecuali setelah ditimbangkan dengan hukum Syariat. Faedah dari mimpi tersebut hanyalah memberi khabar gembira atau peringatan. Adapun menentukan sesuatu hukum dengannya, maka tidak boleh sama sekali.”

Begitu juga dari sudut sangkaan, kami katakan sebaiknya elaklah dari berburuk sangka dengan ibu mertua saudari. Hal ini kerana sangkaan ini boleh jadi benar dan juga tidak, melainkan jelas terbukti dia mengamalkan perkara-perkara sedemikian. Nasihat kami, agar saudari cuba berbincang secara baik dengan ibu mertua agar masalah ini dapat diatasi dengan baik. Setiap perkara, pasti ada sebab dan cara penyelesaiannya.

Di samping itu, saudari juga harus mengukuhkan pedinding diri saudari dengan ayat-ayat suci al-Quran dan berdoa kepada Allah agar dihindari sihir-sihir tersebut.

Di sini kami senaraikan beberapa cara untuk menghindari diri daripada terkena sihir:

  1. Membaca ayat-ayat pelindung seperti :

أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّةِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

Maksudnya: “Aku memohon perlindungan daripada kalimah-kalimah-Mu yang sempurna daripada sebarang kejahatan yang diciptakan.

Daripada Uthman bin Affan RA, beliau mendengar Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَالَ بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ، فِي الْأَرْضِ، وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، لَمْ تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ، حَتَّى يُصْبِحَ، وَمَنْ قَالَهَا حِينَ يُصْبِحُ ثَلَاثُ مَرَّاتٍ، لَمْ تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حَتَّى يُمْسِيَ

Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca: “Dengan nama Allah yang tidak dimudharatkan sesuatu pun dengan nama-Nya sama ada di bumi atau di langit. Dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala sehingga pagi dan barangsiapa yang membacanya pada waktu sebanyak  tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa kesusahan bala sehingga petang.”

Hadith ini diriwayatkan oleh Uthman bin Affan RA dan ia diriwayatkan oleh Imam Abu Daud di dalam Sunannya (5088). Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai hasan

  1. Sentiasa melazimi zikir pagi dan petang.
  2. Melazimi bacaan surah al-Fatihah dan tiga Qul (al-Ikhlas,al-Falaq dan al-Nas).
  3. Membaca ayat kursi setiap kali selepas solat dan ketika hendak tidur.

Akhir kalam, sewajarnya kita mengamalkan perkara-perkara yang disebutkan dalam usaha melindungi diri dari sebarang gangguan. Sesungguhnya Allah SWT lah sebaik-baik pelindung dan tempat pergantungan. Firman-Nya:

قل لَّن يُصِيبَنَا إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّـهُ لَنَا هُوَ مَوْلَانَا ۚ وَعَلَى اللَّـهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal”.

Bertarikh: 28 Jun 2023 bersamaan 9 Zulhijjah 1444 H