#2060: Bernikah dengan Juru Nikah Thailand

Soalan:

Assalamualaikum Dr. Saya ada sedikit persoalan tentang nikah. Apakah hukum nikah bersama Imam Thai yang bertauliah tetapi nikah tersebut dibuat dalam Malaysia? Adakah nikah ini sah atau sebaliknya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Islam menggalakkan umatnya supaya berkahwin kerana perbuatan itu merupakan Sunnah Baginda Nabi SAW. Selain itu perkahwinan juga terdapat pelbagai kebaikan dan faedah, sama ada kepada individu mahupun masyarakat. Hal ini seperti yang disebut di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Ayyub RA, Sabda Nabi SAW:

أَرْبَعٌ مِنْ سُنَنِ الْمُرْسَلِينَ: الْحَيَاءُ، وَالتَّعَطُّرُ، وَالسِّوَاكُ، وَالنِّكَاحُ

Maksudnya: “Empat perkara yang merupakan sunnah para rasul, iaitu sifat malu, berwangi-wangian, bersugi dan nikah.”

Riwayat al-Tirmizi (1080) dan Ahmad (23628)

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan rukun nikah ada lima yakni adanya bakal suami, bakal isteri, wali, dua orang saksi dan lafaz (ijab dan qabul). Maka apabila semua rukun dipenuhi, maka sah pernikahan tersebut.

Namun dari segi undang-undang, ia perlu dilaksanakan oleh juru nikah yang bertauliah (dari kawasan qariah pengantin tersebut) dan didaftarkan pernikahan tersebut ke jabatan agama. Hal ini kerana setiap negeri mempunyai undang-undang yang perlu dipatuhi. Maka, setiap pernikahan perlu dinikahkan oleh juru nikah dari imam qariah tersebut, melainkan juru nikah thailand tersebut mendapat kebenaran untuk menikahkan mereka. Begitu juga, pernikahan tersebut perlu daftarkan ke jabatan agama kerana kegagalan dalam mendaftar pernikahan, bukan sahaja tidak diiktiraf, malah akan menimbulkan pelbagai masalah pada masa akan datang seperti perkahwinan si anak, urusan pembahagian harta kelak dan seumpamanya.

Justeru itu, kami nyatakan dinikahkan oleh jurunikah thailand adalah tidak sah mengikut undang-undang melainkan setelah mendapat kebenaran dari pihak jabatan agama di qariah pengantin tersebut.

Suka kami nyatakan juga dari segi akhlak. Alangkah baiknya urusan nikah yang mulia ini dilakukan dengan kebenaran, keikhlasan dan penuh amanah. Hal ini perlulah dijaga kerana asas pembinaan rumah tangga apabila benar-benar jujur dan ikhlas bermula daripada akad nikahnya lagi akan menatijahkan pelbagai bentuk kebaikan dan juga kebahagiaan. Isunya, bukan semata-mata boleh atau tidak, tetapi keberkatan dalam perkahwinan sebagaimana yang kita diajar untuk berdoa kepada pasangan yang berkahwin:

بَارَكَ اللَّهُ لَكَ وَبَارَكَ عَلَيْكَ وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي خَيْرٍ وَأَسْأَلُ اللهَ العَظِيمَ أَن يُدِيَم عَلَيْكُمَا السَعَادَةَ وَالْمَوَدَّةَ وَالرَّحْمَة وَالمحَبَّةَ

Maksudnya: “Semoga Allah memberi keberkatan kepadamu dan keatas kamu (dalam masa senang dan susah), serta semoga kamu berdua disatukan dalam kebaikan. Aku memohon kepada Allah yang Maha Agung agar mengekalkan kebahagiaan, kasih sayang, rahmat dan mahabbah (cinta) kepada kamu berdua.”

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman di dalam memahami agama ini. Amin. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 28 Jun 2023 bersamaan 9 Zulhijjah 1444 H