#2062: Merancang Anak Kerana Isu Keluarga

Soalan:

Saya seorang warganegara Malaysia dahulu tetapi kewarganegaraan sudah diblacklist kerana orang tua memalsukan dokumen mereka sebagai Permanent Resident untuk daftarkan saya dulu. Saya dah menikah dengan suami merupakan orang Malaysia selama 1 tahun tapi kami masih long distance relationship kerana saya masih diblacklist imigresen Malaysia dan daftar kahwin kami masih pending sebab pihak Majlis Agama suruh saya balik dahulu baru boleh selesaikan daftar kahwin kami. Soalan saya, salahkah kami suami isteri merancang tentang anak atas pelbagai faktor yang saya nyatakan diatas?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Anak merupakan satu anugerah yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada pasangan yang mendirikan rumahtangga. Sepertimana firman Allah SWT:

يَهَبُ لِمَن يَشَاءُ إِنَاثًا وَيَهَبُ لِمَن يَشَاءُ الذُّكُورَ

Maksudnya: “… dia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki Nya.”

Surah al-Syura (49)

Menurut Syeikh al-Maraghi dalam tafsirnya, Allah SWT mampu untuk mengurniakan anak lelaki dan perempuan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan tidak menganugerahkan keturunan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 13/6174)

Berbalik kepada soalan di atas, sebenarnya persoalan ini sudah kami jelaskan seperti di link bawah:

#1281: Hukum Tidak Mahu Anak[1]

Begitu juga, hukum berkaitan janin juga, telah kami jelaskan seperti di bawah:

#344 Gugurkan Janin Sebab Sibuk Bekerja[2]

#1700: Gugurkan Janin Kerana Miskin[3]

Maka, bagi menjawab persoalan yang diajukan, kami nyatakan bagi pasangan yang tidak mempunyai anak, hukumnya tidak berdosa di sisi syarak. Hal ini kerana hanya Allah SWT sahaja berkuasa dalam mengurniakan keturunan kepada hamba yang dikehendakiNya. Demikian juga, sekiranya mereka tidak berusaha atau tidak mahu untuk mendapatkan anak, hukumnya adalah tidak berdosa. Namun demikian, mereka perlu mengetahui kelebihan yang diperolehi melalui anak-anak mereka. Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ وَعِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ وَوَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: “Apabila matinya seseorang insan, maka akan terputuslah amalannya melainkan tiga perkara iaitu: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan juga anak soleh (atau solehah) yang mendoakan kepada kedua ibubapanya.”

Riwayat Muslim (1631)

Kesimpulan

Saya doakan semoga saudari dan suami dipermudahkan segala urusan, bertambah erat kasih sayang, mawaddah, mahabbah dan rahmah. Akhir kalam, marilah kita berdoa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

[1] https://maktabahalbakri.com/1281-hukum-tidak-mahu-anak/

[2] https://maktabahalbakri.com/344-gugurkan-janin-sebab-sibuk-bekerja/

[3] https://maktabahalbakri.com/1701-gugurkan-janin-kerana-miskin/

Bertarikh: 28 Jun 2023 bersamaan 9 Zulhijjah 1444 H