#2063: Melangkau Dari 8 Zulhijjah ke 10 Zulhijjah, Bagaimana Dengan Puasa Sunat Arafah?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada persoalan untuk pencerahan daripada ustaz. Umum tahu, hari Arafah antara Malaysia dan kebanyakan negara Arab adalah berbeza tahun ini. Jika saya ingin terbang ke Qatar dari Kuala Lumpur pada 27 Jun (8 Zulhijjah di Malaysia, dan 9 Zulhijjah di Qatar), saya perlu puasa hari Arafah ikut kalendar Malaysia atau Qatar. Saya dijangka tiba di Qatar pada 28 Jun (10 Zulhijjah di Qatar). Untuk makluman, Qatar sambut Hari Raya Aidiladha pada 28 Jun.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sesungguhnya, puasa pada hari Arafah bagi mereka yang tidak melakukan haji, pahalanya cukup besar sebagaimana riwayat daripada Abu Qatadah al-Ansari R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ

Maksudnya: “Puasa hari Arafah, aku mengharapkan kepada Allah dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun selepasnya.”

Riwayat Muslim (1162), Abu Dawud (2425), al-Tirmizi (749), Ibn Majah (1730) dan Ahmad (22650)

Imam al-Nawawi  berkata: “Sabda baginda SAW: ‘Puasa pada hari ‘Arafah, aku berharap kepada Allah agar menghapuskan (dengannya) dosa-dosa pada tahun lalu dan tahun yang akan datang’; bermaksud menghapuskan dosa-dosa bagi orang yang berpuasa pada hari itu selama dua tahun. Mereka (para ulama) berkata: Maksudnya adalah menghapus dosa-dosa kecil.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 8/50-51)

Menjawab persoalan di atas, beza hari Arafah di Malaysia dan negara Qatar sehari lebih lewat. Di mana jatuh hari 9 Zulhijjah bagi Qatar pada Selasa, 27 Jun 2023 sedangkan di Malaysia pada Rabu, 28 Jun 2023.

Berkenaan dengan isu berpuasa hari Arafah yang berbeza tempatnya, kami telah jawab beberapa kali di mana puasa hari Arafah mengikut tempat masing-masing berdasarkan anak bulan dan hisab. Inilah pendapat mazhab al-Syafi’i, Ishak bin Rahawaih, Abdullah ibn al-Mubarak dan Ibnu Abbas, berpendapat setiap tempat yang berjauhan mengikut ijtihad masing-masing dengan melihat anak bulan dan hisab. Hal ini berdasarkan sebuah kisah daripada Kuraib, katanya:

أَنَّ أُمَّ الْفَضْلِ بِنْتَ الْحَارِثِ، بَعَثَتْهُ إِلَى مُعَاوِيَةَ بِالشَّامِ قَالَ فَقَدِمْتُ الشَّامَ فَقَضَيْتُ حَاجَتَهَا وَاسْتُهِلَّ عَلَىَّ رَمَضَانُ وَأَنَا بِالشَّامِ فَرَأَيْتُ الْهِلاَلَ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ ثُمَّ قَدِمْتُ الْمَدِينَةَ فِي آخِرِ الشَّهْرِ فَسَأَلَنِي عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عَبَّاسٍ – رضى الله عنهما – ثُمَّ ذَكَرَ الْهِلاَلَ فَقَالَ مَتَى رَأَيْتُمُ الْهِلاَلَ فَقُلْتُ رَأَيْنَاهُ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ ‏.‏ فَقَالَ أَنْتَ رَأَيْتَهُ فَقُلْتُ نَعَمْ وَرَآهُ النَّاسُ وَصَامُوا وَصَامَ مُعَاوِيَةُ ‏.‏ فَقَالَ لَكِنَّا رَأَيْنَاهُ لَيْلَةَ السَّبْتِ فَلاَ نَزَالُ نَصُومُ حَتَّى نُكْمِلَ ثَلاَثِينَ أَوْ نَرَاهُ ‏.‏ فَقُلْتُ أَوَلاَ تَكْتَفِي بِرُؤْيَةِ مُعَاوِيَةَ وَصِيَامِهِ فَقَالَ لاَ هَكَذَا أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏.‏ وَشَكَّ يَحْيَى بْنُ يَحْيَى فِي نَكْتَفِي أَوْ تَكْتَفِي ‏.‏

Maksudnya: “Bahawa Ummu al-Fadl telah menghantarnya menemui Muawiyah di negeri Sham. Kuraib berkata, ‘Aku tiba di Sham dan menunaikan hajatnya sedangkan perisytiharan tentang kelihatan anak bulan berkumandang di udara. Aku melihat anak bulan pada malam Jumaat kemudian aku balik ke Madinah pada akhir bulan, pada masa itu aku ditanya oleh Abdullah bin Abbas yang menyebut tentang anak bulan.’ Katanya, ‘Bilakah kamu melihat anak bulan?’ Aku menjawab, ‘Kami melihat pada malam Jumaat!’ Ibn Abbas bertanya lagi katanya, ‘Adakah engkau sendiri melihat anak bulan itu?’ Aku menjawab, ‘Ya, orang lain pun melihatnya dan mereka itu berpuasa, Muawiyah turut berpuasa.’ Ibn Abbas berkata, ‘Kami di sini melihat anak bulan pada malam Sabtu, oleh itu kami terus berpuasa hingga kami sempurnakan 30 hari atau hingga kami melihat anak bulan Syawal.’ Aku bertanya, ‘Tidakkah memadai bagi kamu dengan penglihatan anak bulan itu oleh Muawiyah dan puasanya?’ Ibn Abbas menjawab, ‘Tidak! Beginilah caranya Rasulullah SAW menyuruh kami…’.”

 Riwayat Muslim (1087)

Inilah yang kami tarjihkan di mana jika kita di Malaysia maka puasalah pada 28 Jun 2023 sebagai hari Arafah, jika seseorang itu berada di negara lain yang 9 Zulhijjah lebih awal sehari berbanding Malaysia seperti di Qatar, maka puasalah mengikut tempat itu. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْفِطْرُ يَوْمَ يُفْطِرُ النَّاسُ وَالأَضْحَى يَوْمَ يُضَحِّي النَّاسُ ‏

Maksudnya: “Hari Raya, maka berayalah juga manusia (mengikut ketetapan di tempat tersebut), dan apabila Raya Korban jatuh pada suatu hari, manusia turutilah berkorban pada hari terbabit.”

Riwayat al-Tirmizi (802)

Berdasarkan nas di atas, hari kita menyambut hari raya Korban, mengikut ketetapan di tempat tersebut.

Diriwayatkan daripada Hunaidah bin Khalid, daripada isterinya, daripada sebahagian isteri Nabi SAW, katanya:

 كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَصُومُ تِسْعَ ذِي الْحِجَّةِ وَيَوْمَ عَاشُورَاءَ وَثَلاَثَةَ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ

Maksudnya: “Adalah Rasulullah SAW berpuasa pada Sembilan Zulhijjah, hari Asyura’ dan tiga hari setiap bulan.”

Riwayat Abu Dawud (2437) dan al-Nasa’ie (2416)

Nas ini dengan jelas menunjukkan kepada kita bahawa Rasulullah SAW berpuasa pada hari 9 Zulhijjah ganti kepada menyebut hari Arafah.

Melangkau Dari 8 Zulhijjah ke 10 Zulhijjah Disebebkan Permusafiran

Berdasarkan persoalan di atas, sekiranya seseorang itu bermusafir dari satu tempat ke tempat yang yang berbeza tarikh hijrahnya sehingga menyebabkan dia melangkau dari tarikh 8 Zulhijjah ke 10 Zulhijjah, maka gugurlah galakan untuk berpuasa pada 9 Zulhijjah tersebut. Selain itu, walaupun di Malaysia masih 9 Zulhijjah, dan di Qatar sudah 10 Zulhijjah dan seseorang yang bermusafir itu sudah tiba di Qatar, maka kita dilarang berpuasa pada hari tersebut kerana hari tersebut merupakan hari raya Eid al-Adha sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ صِيَامِ يَوْمَيْنِ يَوْمِ الْأَضْحَى وَيَوْمِ الْفِطْرِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang puasa pada dua hari iaitu pada hari raya Eid al-Adha dan pada hari raya Eid al-Fitri.”

Riwayat Muslim (1138)

Namun begitu, sebagai mengambil semangat hari Arafah yang berlaku di Makkah, maka kita boleh berpuasa pada 27 Jun 2023, bersamaan 8 Zulhijjah di Malaysia, dan 9 Zulhijjah di Makkah sebagai meraikan hari Arafah di Makkah serta dengan mengambil umum arahan untuk beribadat dan beramal dengan sebanyak-banyaknya pada 10 awal Zulhijjah. Bahkan tidaklah menjadi kesalahan untuk kita berpuasa juga hari-hari sebelumnya juga bermula 1 Zulhijjah. Ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW, daripada Abdullah bin Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ أَيَّامٍ العَمَلُ الصَّالِحُ فِيْهِنَّ أَحَبُّ إِلَىْ اللَّهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ العَشْرِ»، فَقَالُوا: يَا رَسُوْلَ اللَّهِ، وَلَا الجِهَادُ فِيْ سَبِيْلِ اللَّهِ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “وَلَا الجِهَادُ فِي سَبِيْلِ اللَّهِ، إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ”.

Maksudnya:Tidak ada hari-hari untuk melakukan amalan soleh padanya lebih disukai oleh Allah SWT berbanding pada sepuluh hari ini”. Maka mereka bertanya: Wahai Rasulullah SAW, sekalipun jihad di jalan Allah? Maka Rasulullah SAW bersabda: “Tidak juga jihad di jalan Allah melainkan seorang lelaki keluar dengan dirinya, hartanya kemudian dia tidak lagi kembali dengan membawa apa-apa daripada itu.”

Riwayat al-Tirmizi (688), Abu Dawud (2082) dan Ibn Majah (1717)

Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita kebaikan yang banyak dalam mengambil peluang dengan kedatangan 10 awal Zulhijjah ini untuk diisi dengan pelbagai acara ibadat.

Wallahua’lam.

Bertarikh: 28 Jun 2023 bersamaan 9 Zulhijjah 1444 H