#2069: Adakah Disyaratkan Membaca al-Fatihah Sebelum Membaca al-Quran?

Soalan:

Assalamualaikum Dato saya ingin bertanya, apakah hukum membaca surah Al Fatihah ketika mula membuka membaca Al Quran sebelum membaca surah surah lain atau boleh sahaja terus menyambung membaca surah surah lain tanpa memulakan dengan membaca surah Al Fatihah. terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan perbincangan ini dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh  Abdullah bin Mas‘ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

منْ قرأَ حرفًا من كتابِ اللهِ فله به حسنةٌ، والحسنةُ بعشرِ أمثالِها  لا أقولُ: آلم حرفٌ، ولكنْ ألِفٌ حرفٌ وميمٌ حرفٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (al-Quran), maka baginya satu kebaikan (pahala). Dan satu kebaikan itu dilipat gandakan menjadi sepuluh kebaikan semisalnya. Tidaklah aku mengatakan: Alif, lam, mim itu satu huruf, akan tetapi alif itu satu huruf, lam itu satu huruf dan mim itu satu huruf.”

Riwayat al-Tirmizi (2910)

Begitu juga terdapat riwayat daripada Umar bin al-Khattab R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ يَرْفَعُ بِهَذَا الْقُرْآنَ أَقْوَامًا وَيَضَعُ بِهِ آخَرِينَ.

Maksudnya:Sesungguhnya Allah mengangkat suatu kaum dengan al-Quran ini dan merendahkan kaum yang lain dengannya.

Riwayat Muslim (817); riwayat Ibn Majah (218); riwayat Ibn Hibban (772)

Sesiapa yang beriman dengan al-Quran, memuliakan kedudukannya dan beramal dengannya, maka Allah SWT akan mengangkat kedudukannya di dunia dan akhirat serta mengurniakannya ke‘izzahan dan kemuliaan, manakala sesiapa yang tidak beriman dengan al-Quran atau tidak memuliakan kedudukannya, maka Allah SWT akan merendahkan dan menghinakannya di dunia dan akhirat, sekalipun dia ada kedudukan atau kemuliaan pada kaca mata manusia. ( Lihat al-Mafatih fi Syarh al-Masabih, 3/67-68; Tatriz Riyadh al-Salihin oleh Faisal bin ‘Abd al-‘Aziz al-Mubarak, hlm. 581)

Kepentingan Membaca Surah al-Fatihah

  1. Surah Al fatihah merupakan surah yang paling agung yang mempunyai kelebihan berbanding surah-surah yang lain. Ini berdasarkan firman Allah SWT :

ولَقَدْ آتَيْنَاكَ سَبْعًا مِّنَ الْمَثَانِي وَالْقُرْآنَ الْعَظِيمَ

Maksudnya : Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepadamu (wahai Muhammad) tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh Al-Quran yang amat besar kemuliaan dan faedahnya.

Diriwayatkan daripada Abu Sa’id Bin al-Mu’alla bahawa Rasulullah SAW :

لَأُعَلِّمَنَّكَ سُورَةً هي أعْظَمُ السُّوَرِ في القُرْآنِ، قَبْلَ أنْ تَخْرُجَ مِنَ المَسْجِدِ. ثُمَّ أخَذَ بيَدِي، فَلَمّا أرادَ أنْ يَخْرُجَ، قُلتُ له: ألَمْ تَقُلْ لَأُعَلِّمَنَّكَ سُورَةً هي أعْظَمُ سُورَةٍ في القُرْآنِ، قالَ:(لحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ العالَمِينَ ) هي السَّبْعُ المَثانِي، والقُرْآنُ العَظِيمُ الذي أُوتِيتُهُ.

Maksudnya : Sungguh, aku akan mengajarimu tentang surah yang paling agung yang terdapat di dalam Al-Qur’an sebelum kamu keluar dari Masjid.” Kemudian beliau memegang tanganku, dan saat beliau hendak keluar Masjid, aku pun berkata, “Bukankah engkau berkata, ‘aku akan mengajarimu surat yang paling agung yang terdapat di dalam Al-Qur’an.’ Beliau menjawab, (iaitu surah) AL HAMDU LILLAHI RABBIL ‘AALAMIIN (Segala puji bagi Allah, Rabb semesta Alam), ia adalah السبع المثاني, dan القرآن العظيم yang telah diwahyukan kepadaku.

Riwayat Bukhari (4474)

  1. Antara keistimewaan surah al-Fatihah adalah ia merupakan rukun dalam solat seperti mana yang telah diriwayatkan daripada Ubadah Bin Samit bahawa Rasulullah  SAW :

لا صَلاةَ لِمَن لَمْ يَقْرَأْ بفاتِحَةِ الكِتابِ

Maksudnya : Tidak sah solat sesiapa yang tidak membaca surah al-Fatihah.

Riwayat Bukhari(756)

  1. Surah al-Fatihah boleh dijadikan Ruqyah kepada pesakit. Diriwayatkan daripada Abu sa’id al-Khudri bahwa sekelompok orang dari sahabat Nabi SAW melewati suatu daerah di tanah Arab, namun mereka tidak menjamunya. Kemudian pemimpin daerah tersebut terkena penyakit, sehingga mereka mendatangi kami lalu bertanya, “Apakah kalian mempunyai ubat?” Kami menjawab, “Ya. Akan tetapi kalian tidak memberikan jamuan untuk kami dan tidak pula menerima kami sebagai tetamu. Kami tidak akan memberikannya hingga kalian memberikan jamuan untuk kami.” Lalu mereka pun memberikan jamuan  daging kambing. Dan salah seorang dari kami membacakan surah Al-Fatihah dan tuan mereka pun sembuh seketika. Ketika kami menemui Rasulullah SAW, kami pun mengkhabarkan tentang hal itu, lalu baginda bersabda :

وما يُدريكَ أنّها رُقيةٌ ولم يذكُر نَهيًا منهُ وقالَ: كُلوا واضرِبوا لي معَكم بسَهمٍ.

Maksudnya: “Siapa yang memberitahu kalian bahawa itu adalah ruqyah?” Saat itu baginda tidak menyebutkan kalimat larangan. Dan baginda  bersabda “Makanlah daging itu, dan berikanlah satu bagian untukku.”

Riwayat  Tarmizi (2064)

Menjawab bagi persoalan di atas kami nyatakan di sini bahawa dibolehkan untuk membaca surah-surah lain tanpa dimulai dengan bacaan al-Fatihah kerana ia tidaklah disyaratkan untuk membacanya sekiranya ingin mambaca al-quran. Namun, kami berpandangan lebih baik   untuk membacanya kerana Surah al-Fatihah merupakan pembukaan al-Quran, dan ia memiliki beberapa kelebihan sebagaimana yang telah diterangkan di atas.  Selain itu, Surah al-Fatihah diturunkan sebagai inti dari seluruh ajaran dalam Islam. Maka dari itu, surah ini diletakkan di awal turutan surah dalam al Qur’an.

Al-Syaukani menyatakan : Surah ini dinamakan Al-Fatihah, yang bermaksud pembukaan Kitab, kerana dimulakan al-quran dengannya . Ia adalah yang pertama yang ditulis oleh penulis  Mushaf dan yang pertama juga dibaca dari Kitab yang mulia ini  walaupun ia bukanlah  surah yang pertama  diturunkan .(Lihat Fath al-Qadir,1/17)

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik dalam beragama dan kami akhiri dengan doa :

اَللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.”

Bertarikh: 28 Jun 2023 bersamaan 9 Zulhijjah 1444 H