#2071: Imam Terlupa Takbir Semasa Solat Hari Raya

Soalan

Apa hukum jika imam terlupa takbir semasa solat hari raya? Sebaliknya, selepas dia takbiratul ihram, dia terus membaca surah al-Fatihah dan surah. Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Solat sunat hari raya adalah solat sunat yang dilakukan sebanyak dua rakaat. Pada rakaat pertama, selepas takbiratul ihram, disunatkan untuk bertakbir sebanyak 7 kali. Pada rakaat kedua pula disunatkan untuk bertakbir sebanyak 5 kali.

Hal ini berdasarkan hadith daripada ‘Amru Bin Syu’aib daripada bapanya, daripada datuknya :

أَنَّ النَّبِيَّ صَلى الله عَليه وسَلم كَبَّرَ فِي عِيدٍ ثِنْتيْ عَشْرَةَ تَكْبِيرَةً سَبْعًا فِي الأُولَى وَخَمْسًا فِي الآخِرَةِ وَلَمْ يُصَلِّ قَبْلَهَا، وَلاَ بَعْدَهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW bertakbir dalam solat Sunat Hari Raya sebanuak 12 kali takbir. Tujuh kali pada rakaat yang pertama dan lima kali pada rakaat yang kedua. Baginda tidak melakukan solat pada sebelum atau selepasnya.”

Riwayat Ahmad (6802)

Dalam riwayat yang lain menyebut:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَبَّرَ فِي الْعِيدَيْنِ فِي الْأُولَى سَبْعًا قَبْلَ الْقِرَاءَةِ وَفِي الْآخِرَةِ خَمْسًا قَبْلَ الْقِرَاءَةِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW melafazkan takbir dalam dua solat  sunat Hari Raya. Pada rakaat pertama, Nabi bertakbir sebanyak tujuh kali sebelum membaca (Al-Fatihah) dan pada rakaat yang kedua, Nabi bertakbir sebanyak lima kali sebelum membaca (Al-Fatihah).”

Riwayat al-Tirmizi (492)

Imam al-Nawawi menjelaskan: “Adapun yang paling sempurna, selepas takbiratul Ihram dibaca Doa Iftitah. Kemudian pada rakaat pertama, melafazkan takbir sebanyak tujuh kali kecuali Takbiratul Ihram dan takbir ketika hendak rukuk. Pada rakaat kedua, melafazkan takbir sebanyak lima kali kecuali takbir ketika bangkit dari sujud dan takbir ketika rukuk.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (5/17)

Berbalik kepada persoalan di atas, takbir-takbir tersebut merupakan antara perbuatan yang termasuk di dalam sunat Hai’at.  Ini bermakna jika kurang bilangan takbir tersebut atau terlupa untuk bertakbir, maka ia tidaklah membatalkan solat dan tidak perlu untuk sujud sahwi.

Al-Khatib Al-Syarbini berkata: “Takbir-takbir ini termasuk dalam Al-Hai’at seperti membaca isti’azah (A’uzubillahi min Al-Syaitan Al-Rajim) dan doa Iftittah. Ia bukan rukun mahupun sunat Ba’diyah. Maka dia tidak perlu sujud jika meninggalkannya. Jika tinggal keseluruhan atau sebahagian takbir tersebut, maka ia adalah perbuatan makruh.” (Lihat al-‘Iqna’, 1/172)

Kesimpulan

Justeru, kami katakan bahawa jika imam terlupa untuk takbir tersebut, maka ia tidaklah membatalkan solatnya kerana takbir yang dilakukan di dalam solat sunat Hari Raya adalah termasuk sunat hai’at.

Begitu juga, makmum hendaklah mengikut imam meskipun imam terlupa untuk takbir, berdasarkan hadis yang panjang iaitu hadis al-Musi’ fi al-Solat, sabda Rasulullah SAW:

إنما جُعِلَ الإمام ليُؤتمَّ به، فإذا كبَّر فكبِّروا، وإذا رَكَعَ فاركعوا

Maksudnya: “Sesungguhnya imam dijadikan untuk diikuti dengannya, maka apabila imam bertakbir maka hendaklah kamu semua bertakbir dan apabila ia ruku’ maka hendaklah kamu ruku’.

Riwayat al-Bukhari (378) dan Muslim (411)

Semoga Allah SWT menerima amal ibadat kita. Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Bertarikh: 28 Jun 2023 bersamaan 9 Zulhijjah 1444 H