#2075: Maksud Bayi Tertebus dengan Akikah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya terbaca bahawa bayi itu tertebus dengan akikahnya. Boleh ustaz jelaskan, apa maksudnya? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan sebuah hadith daripada Samurah R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

الْغُلاَمُ مُرْتَهَنٌ بِعَقِيقَتِهِ يُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ السَّابِعِ وَيُسَمَّى وَيُحْلَقُ رَأْسُهُ

Maksudnya: “Bayi itu tertebus dengan akikahnya. Disembelih  pada hari yang ketujuh kelahirannya, diberikan nama dan dicukur rambutnya.”

Riwayat Abu Dawud (2837), al-Tirmizi (1522) dan beliau menilainya sebagai hasan sahih, al-Nasa’i (4220), Ibn Majah (3165) dan Ahmad (20151). Hadith ini dinilai sahih berdasarkan kitan Sahih al-Tirmizi (1522)

Maksud ‘tertebus dengan akikahnya’ ialah tumbesarannya yang baik dan pemeliharaannya yang sempurna, bergantung kepada sembelihan akikahnya. Pendapat yang lain pula menyatakan bahawa bayi tersebut tidak mensyafaatkan ibu bapanya di akhirat kelak jika akikahnya tidak dilakukan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/56).

Ibn al-Athir menyebutkan, Rasulullah  SAW bersabda, “Setiap anak tergadai (رَهِينَة) dengan akikahnya.” Perkataan rahinah (الرَّهِينَة) berasal daripada perkataan al-rahn (الرَّهْن), huruf ha’ untuk menunjukkan makna lebih, sama seperti kata syatimah (الشَّتِيمة) dan syatm (الشتْم). Kemudian keduanya digunakan untuk makna al-marhun (الْمَرْهُون) iaitu yang digadai. Sehingga muncul ungkapan, ia gadaian sekian, dan ia tergadai demikian. Makna sabda Baginda SAW, “Tergadai dengan akikahnya…” bahawa akikah perlu dilaksanakan, tidak boleh ditinggalkan. Baginda menyerupakan tuntutan akikah dan tidak menyebabkan ia terlepas daripada tanggungan dengan barang gadaian yang berada di tangan penerima gadai.

Beliau kemudiannya menukilkan daripada al-Khattabi, bahawa ramai yang membahaskan permasalahan akikah ini. Pendapat terbaik telah disampaikan oleh Imam Ahmad bin Hanbal yang menyebutkan, manfaatnya terlihat pada momentum pemberian syafaat.

Maksudnya, jika seorang bayi tidak diakikahkan lalu dia meninggal dunia dalam keadaan masih kecil, maka dia tidak akan dapat memberi syafaat kepada ibu bapanya. Ada yang berpendapat, maknanya adalah ia tergadai dengan penyakit yang ada pada rambutnya. Mereka mengambil dalil daripada sabda Baginda SAW, “Maka singkirkanlah kotoran daripadanya.” Kotoran ini disebabkan darah rahim yang melekat padanya. (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar, 2/285).

Selain daripada itu, Ibn al-Qayyim pula menyebutkan, perkataan al-rahn (الرَّهْن) dari segi bahasa bermaksud menahan. Allah SWT berfirman:

كُلُّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ رَهِينَةٌ

Maksudnya: Setiap orang bertanggungjawab atas apa yang telah dilakukannya…

(Surah al-Muddatthir: 38)

Zahir hadith menunjukkan bahawa si anak tergadai (iaitu terlarang dan tertahan) daripada kebaikan yang diinginkan daripadanya. Namun keadaan ini tidak semestinya menyebabkan dirinya dihukum di akhirat, meskipun ia tertahan daripada apa yang didapatkan oleh anak yang diakikahkan itu lantaran kedua ibu bapanya tidak melaksanakan akikah untuknya. Kadang-kadang seorang anak kehilangan kebaikan disebabkan oleh kelalaian kedua ibu bapanya, walaupun bukan kerana perbuatannya sendiri.

Demikian juga jika kedua ibu bapa membaca doa ketika berjimak, maka si anak tidak akan mendapat bahaya daripada syaitan. Namun jika keduanya meninggalkan doa ini, maka si anak tidak akan mendapat penjagaan seperti ini. Kemudian, sabda Rasulullah SAW ini menunjukkan bahawa akikah perlu dilakukan dan tidak sepatutnya ditinggalkan. Baginda menyerupakan kewajipan akikah ini dengan gadaian. Hadith ini menjadi dalil bagi mereka yang berpegang pada hukum wajibnya akikah, sebagaimana yang dipegang oleh al-Laith, al-Hasan al-Basri dan kelompok mazhab Zahiri. (Lihat Zad al-Ma‘ad, 2/326).

Syeikh Sa‘id bin Ali al-Qahtani menukilkan daripada gurunya yang merupakan Mantan Mufti Besar Arab Saudi berkenaan pendapat Ibn al-Qayyim dalam hal ini, katanya: “Yang dimaksudkan dengan sabda Nabi SAW, ‘Setiap anak tergadai dengan akikahnya…’ Allah lebih mengetahui maksudnya. Manakala penafsiran bahawa si anak terhalang daripada memberikan syafaat kepada kedua ibu bapanya; tidak ada dalil yang menunjukkan hal sedemikian. Maknanya mungkin seperti yang diungkapkan oleh penulis (Ibn al-Qayyim), bahawa si anak tertahan daripada kebaikan yang diinginkan padanya, ataupun pengertian yang lain. Pengetahuan akan makna hakikinya hanya Allah sahaja mengetahuinya. Yang perlu diketahui bahawa si anak tergadai dengan akikahnya sehinggalah dia diakikahkan.” (Lihat al-Hadyu al-Nabawi fi Tarbiyah al-Aulad, hlm. 59)

Semoga kita dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Bertarikh: 5 Julai 2023 bersamaan 16 Zulhijjah 1444 H