#2077: Melukis Pokok Bodhi Bagi Tujuan Perniagaan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya hendak bertanya berkenaan hukum melukis pokok sembahyang bagi agama Buddha? Hukum melukis pokok Bodhi (pokok suci bagi agama Budhha) bagi tujuan perniagaaan. Adakah hukumnya sama seperti kita, Muslim melukis salib? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu definisi pokok Bodhi. Pokok Bodhi (“tree of awakening”), juga dipanggil Pokok Mahabodhi atau Pokok Bo ialah pokok ara suci yang besar (Ficus religiosa) yang terletak di Bodh Gaya, Bihar, India. Siddhartha Gautama, guru rohani yang dikenali sebagai Buddha, dikatakan telah mencapai pencerahan atau kebuddhaan sekitar 500 SM di bawah pokok ini. Dalam ikonografi keagamaan, Pokok Bodhi dikenali dengan daunnya yang berbentuk hati, yang biasanya jelas kelihatan.

Pokok asal tempat Siddhartha Gautama duduk tidak lagi hidup, tetapi istilah “pokok bodhi” juga digunakan untuk pokok ara suci yang sedia ada. Contoh utama pokok yang sedia ada ialah Pokok Mahabodhi yang tumbuh di Kuil Mahabodhi di Bodh Gaya, yang sering disebut sebagai keturunan langsung daripada pokok asal. Pokok ini, yang ditanam sekitar 250 SM, merupakan destinasi yang kerap dikunjungi para jemaah penganut Buddha, menjadi yang paling penting daripada empat tapak ziarah Buddha utama.

Pokok Bodhi suci lain yang mempunyai kepentingan besar dalam sejarah agama Buddha ialah Pokok Anandabodhi di Jetavana di Sravasti di India Utara dan Pokok Sri Maha Bodhi di Anuradhapura, Sri Lanka. Kedua-duanya juga dipercayai telah dibiakkan daripada Pokok Bodhi yang asal.[1]

Melukis Pokok Bodhi

Oleh kerana ia berkait rapat dengan perbuatan melukis atau lukisan. Maka, kami bawakan terlebih dahulu pendapat Dr. Yusuf al-Qaradhawi mengenai hal ini. Dr. Yusuf al-Qaradhawi pernah menimbulkan persoalan mengenai hukum gambar-gambar dan lukisan seni yang dilukis di atas kertas lukisan, kain kanvas, tirai, dinding, permaidani, mata wang dan sebagainya? Kemudian, beliau menyebutkan, jawapannya masih tidak jelas kecuali kita lihat dan kaji apa tujuan gambar tersebut dicipta, di mana ia diletakkan dan apa kegunaannya. Begitu juga dengan apa yang dimaksudkan pelukis apabila melukis gambar itu.

Jika gambar yang dilukis itu tujuannya untuk disembah selain daripada Allah seperti gambar lukisan al-Masih (Nabi Isa AS) bagi kaum Nasrani atau gambar lukisan lembu untuk kaum Hindu dan seumpamanya, maka orang yang melukisnya bagi tujuan dan niat tersebut dianggap kafir yang ingin menyebarkan ajaran kafir dan kesesatan. Dalam hal ini, terdapat ancaman berat daripada Rasulullah SAW sendiri sebagaimana sabdanya:

إنَّ أشدَّ النّاسِ عذابًا عندَ اللَّهِ المصَوِّرونَ

Maksudnya:Sesungguhnya orang yang paling berat seksanya di sisi Allah SWT ialah para pelukis.

Riwayat al-Bukhari (5950) dan Muslim (2109) dengan sedikit perbezaan lafaz.

Imam al-Tabari menyatakan, apa yang dimaksudkan di sini ialah sesiapa yang melukis sesuatu sebagai sembahan selain daripada Allah SWT sedangkan dia mengetahuinya dan berniat menyembahnya, maka dengan sebab itu dia menjadi kafir. Tetapi, jika orang yang melukis itu tidaklah bermaksud yang demikian, maka dia dikira melakukan maksiat sahaja dengan perbuatannya itu.

Sama seperti hukum itu juga, sesiapa yang menggantung gambar-gambar ini dengan niat mensucikannya, maka perbuatan sedemikian itu tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang Muslim kecuali jika orang itu telah melempar hukum Islam ke belakangnya — yakni tidak mempedulikannya.

Begitu juga, sesiapa yang melukis suatu gambar bukan dengan tujuan untuk disembah atau dipuja, tetapi dia berniat dengan lukisannya itu untuk menyaingi ciptaan Allah iaitu mendakwa bahawa dia juga pandai menjadikan dan mencipta sebagaimana Allah ‘Azza wa Jalla mencipta. Maka dengan niatnya itu, dia sudah terkeluar daripada agama tauhid ini — yakni dikira kafir. Dalam hal ini, terdapat hadith:

أشَدُّ النّاسِ عَذابًا يَومَ القِيامَةِ الَّذِينَ يُضاهُونَ بخَلْقِ اللَّهِ

Maksudnya: Orang yang paling berat menerima seksaan pada hari kiamat ialah orang yang mahu menandingi ciptaan Allah SWT.

Riwayat al-Bukhari (5954) dan Muslim (2107)

Perkara ini bergantung kepada niat pelukis itu sendiri. Kemudian boleh jadi riwayat lain yang menyokong hadith di atas, sebagaimana hadith qudsi daripada Allah SWT yang berfirman:

وَمَن أظْلَمُ مِمَّنْ ذَهَبَ يَخْلُقُ كَخَلْقِي، فَلْيَخْلُقُوا حَبَّةً، ولْيَخْلُقُوا ذَرَّةً

Maksudnya: “Siapakah lagi yang lebih menzalimi dirinya daripada seorang yang mengaku dapat mencipta seperti Aku menciptanya, cubalah ciptakan sebiji gandum atau sebiji jagung!

Riwayat al-Bukhari (5953) dan Muslim (2111)

Ungkapan dengan sabda Baginda: “ذَهَبَ يَخْلُقُ كَخَلْقِي” menunjukkan niat hendak menandingi Tuhan dalam sifat uluhiyyah-Nya yang khusus iaitu mencipta sesuatu dan mengadakan sesuatu yang baru. 

Oleh kerana itu, Allah SWT telah mencabar mereka untuk menciptakan sebiji gandum atau sebiji jagung. Ungkapan terakhir ini menunjukkan bahawa mereka memang berangan-angan hendak mencipta sebiji gandum atau jagung kerana itulah Allah SWT mencabar mereka membuatnya. Lantaran itu juga, di hari akhirat kelak, Allah SWT akan membalas mereka di hadapan khalayak ramai dengan menyeru kepada mereka: “Ayuh, hidupkanlah apa yang sudah kamu ciptakan itu!” Maksudnya, mereka disuruh meniupkan roh kepada benda yang diciptakan oleh mereka itu. Namun mereka tetap sekali-kali tidak akan mampu untuk meniupkan roh pada gambar mereka itu.

Adapun selain daripada gambar-gambar tersebut, jika ia dalam kategori yang tidak bernyawa umpama tumbuh-tumbuhan, pepohon, lautan, kapal-kapal, gunung-ganang, matahari, bulan, bintang-bintang dan seumpamanya, yang terdiri daripada gambar pemandangan semula jadi — seperti tumbuh-tumbuhan dan benda-benda yang tidak bergerak — maka tidak salah untuk seseorang melukis atau menyimpannya. Perkara ini tiada perselisihan padanya.

Jika gambar-gambar itu terdiri daripada sesuatu yang bernyawa, tetapi tiada padanya perkara-perkara yang dilarang sebagaimana yang sudah dijelaskan sebelumnya iaitu bukan daripada jenis yang dimuliakan dan diagungkan, dan tidak bermaksud untuk menandingi ciptaan Allah SWT, maka Dr. Yusuf al-Qaradhawi berpendapat ia juga tidaklah diharamkan. Dalam hal tersebut, terdapat banyak hadith sahih yang menyokongnya.

Di antaranya, hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:

كَانَ لَنَا سِتْرٌ فِيهِ تِمْثاَلُ طاَئِرٍ، وَكاَنَ الدَّاخِلُ إِذَا دَخَلَ إِسْتَقْبَلَهُ، فَقَالَ لِي رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: حَوِّلِي هَذَا، فَإِنِّي كُلَّمَا دَخَلْتُ فَرَأَيْتُهُ ذَكَرْتُ الدُّنْيَا

Maksudnya:Aku mempunyai kain tabir padanya terlukis gambar burung, dan setiap orang yang masuk rumahku akan melihatnya. Maka Rasulullah SAW berkata kepadaku: ‘Pindahkanlah (tabir) ini, kerana setiap kali aku masuk ke rumah dan melihatnya, aku akan teringat akan dunia.’

Riwayat Muslim (2107)

Rasulullah SAW tidak menyuruh Aisyah R.Anha memotongnya tetapi meminta ia dipindahkan dari tempat asalnya supaya Baginda SAW tidak melihatnya apabila masuk ke dalam rumah. Ini kerana adanya perasaan benci di dalam hati Baginda SAW untuk melihat benda yang boleh mengingatkan kepada dunia serta keindahannya.

Selain daripada itu, Dr. Yusuf al-Qaradhawi juga menegaskan bahawa tiada seorang Muslim pun yang memberikan penentangannya terhadap pengharaman sesuatu gambar apabila objeknya bertentangan dengan akidah Islam atau berlawanan dengan syariat Islam dan peradaban. Umpamanya menggambarkan kaum wanita dalam keadaan berbogel atau hampir bogel dengan menampakkan bahagian-bahagian sensitif pada tubuh mereka, melukis atau menggambarkan mereka dengan gaya membangkitkan nafsu syahwat dan menimbulkan keinginan duniawi, sebagaimana kita dapat melihat perkara itu jelas berlaku dan sering dipaparkan di sesetengah majalah, akhbar-akhbar dan ditayangkan di panggung-panggung wayang. Semua perkara itu tidak syak lagi mengenai pengharamannya dan pengharaman gambar itu. Begitu juga perbuatan menyebar kepada orang lain, menyimpan dan meletakkannya di dalam rumah-rumah atau pejabat-pejabat dan kedai-kedai, menggantungnya pada dinding-dinding dan melihat gambar-gambar tersebut — semuanya adalah haram. (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 104-113).

Kesimpulannya

Oleh itu, jelaslah bahawa pada asalnya tidak menjadi masalah untuk melukis gambar atau lukisan dalam kategori benda yang tidak bernyawa seperti tumbuh-tumbuhan termasuklah pokok ara atau pokok bodhi itu.

Akan tetapi bagi menentukan hukumnya, hendaklah dilihat kepada tujuan gambar atau lukisan pokok Bodhi itu dilukis. Jika tujuannya sebagai semata-mata perhiasan tanpa ada sebarang unsur sembahan, pengagungan atau syirik padanya, maka hukumnya kekal sebagaimana asalnya, iaitu diharuskan dan jualannya bagi tujuan ini juga adalah dibolehkan. Namun, jika tujuan lukisan pokok Bodhi itu adalah untuk disembah, disucikan dan diagungkan atau bagi upacara keagamaan Buddha, maka tidak syak lagi ia adalah diharamkan kerana ia melibatkan syirik dan dosa kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya:Dan janganlah kamu saling membantu dalam perkara dosa dan permusuhan.”

(Surah al-Ma’idah: 2)

Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan, Allah SWT melarang kamu daripada saling membantu dalam perkara yang batil, dan (juga melarang) daripada tolong-menolong dalam perkara-perkara dosa dan perkara yang diharamkan. Menurut Ibn Jarir, dosa itu adalah meninggalkan sesuatu yang Allah SWT perintahkan untuk dia lakukan. Manakala maksud al-‘udwan adalah melampaui batasan Allah di dalam agama, dan melampaui apa yang Allah SWT telah fardhukan ke atas diri kita. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/7).

Justeru, berdasarkan ayat di atas, jelas bahawa perbuatan melukis bahan sembahan atau gambar untuk diagungkan atau disyirikkan Allah dengannya termasuk dalam perkara dosa yang diharamkan. Selain itu, terdapat satu kaedah yang turut menjelaskan perkara ini, iaitu:

إِعَانَةُ الـمَعْصِيَةِ مَعْصِيَةٌ

Maksudnya:Membantu ke arah maksiat itu merupakan suatu maksiat.” (Lihat Ma‘lamah Zayed li al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah wa al-Usuliyyah, no.666).

Oleh itu, walaupun seseorang itu tidak melakukan maksiat atau perbuatan dosa syirik tersebut, namun perbuatannya dalam menolong orang lain untuk melakukan perbuatan maksiat akan turut dianggap sebagai maksiat.

Kami juga mengambil kesempatan di sini menasihatkan, sebaik-baiknya elakkanlah untuk melukis pokok Bodhi yang merupakan pokok suci agama lain yang disucikan dan diagungkan sekalipun tujuan asalnya adalah sebagai jualan perhiasan. Hal ini kerana dikhuatiri ia disalah gunakan atau dijadikan sebagai bahan sembahan oleh penganut agama yang mengagungkan pokok berkenaan. Rasulullah SAW bersabda:

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ وَإِنَّ الْكَذِبَ رِيبَةٌ

Maksudnya: “Tinggallah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan

Riwayat al-Tirmizi (2518)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://en.wikipedia.org/wiki/Bodhi_Tree. Diakses pada 27 Jun 2023.

Bertarikh: 5 Julai 2023 bersamaan 16 Zulhijjah 1444 H