#2078: Nama Izhan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin meminta pendapat tentang nama yang ingin diberikan untuk anak yang baru lahir sempena hari ni hari ke-7. Isteri saya ada dua pilihan nama iaitu Izzul dan Izhan. Bolehkah saya tahu maksud sebenar perkataan Izhan? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Terlebih dahulu saya ucapkan tahniah atas kelahiran dan kurniaan cahaya mata buat saudara yang bertanya. Semoga dia menjadi anak yang soleh dan berbakti kepada kedua ibu bapanya. 

Selalu kami ulangi berdasarkan kepada nas yang sering kami sebutkan bahawa hendaklah menamakan anak dengan nama yang baik. Sebagaimana saranan Rasulullah SAW dengan nama Abdullah, ‘Abd al-Rahman, Muhammad, Ahmad dan lain-lain.

Ini amat penting kerana nama adalah doa kepada pemilik nama di samping tafa’ul yang baik dan ia akan dipanggil pada Hari Kiamat dengan nama tersebut. Justeru, perelokkanlah nama. 

Berkenaan dengan cadangan nama Izhan kami katakan, nama ini berasal daripada perkataan al-Zihn (الذِّهْنُ) atau al-Zahan (الذِّهَنُ) yang bermaksud kecerdikan. (Lihat Mukhtar al-Sihhah, hlm. 113). Dikatakan, “ذَهِنَ الدَّرْسَ” iaitu seseorang memahami pelajaran. Justeru, orang yang mempunyai kefahaman dan kecerdikan dipanggil sebagai Zahin (ذَاهِن).[1]  Manakala perkataan Azhan (أذْهَان) pula adalah kata jamak (plural) kepada perkataan al-Zihn atau al-Zahan.[2]

Seterusnya, perkataan azhana (أَذْهَنَ), yuzhinu (يُذْهِنُ), izhanan (إِذْهانًا) boleh diertikan sebagai orang yang memberi kefahaman atau memahamkan sesuatu kepada orang lain.

Selepas memahami maksud perkataan tersebut, kami berpendapat ia adalah nama yang baik dan tidaklah salah kita menamakannya seperti itu dengan maksud dan makna yang baik-baik sebagai qasad atau niat serta tujuan kita.

Semoga anak tuan menjadi anak yang soleh dan menjadi penyejuk mata hati tuan sekeluarga. Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://www.almaany.com/ar/dict/ar-ar/ ذهن/. Diakses pada 27 Jun 2023.

[2] Lihat https://www.almaany.com/ar/dict/ar-ar/ أذهن/. Diakses pada 27 Jun 2023.

Bertarikh: 5 Julai 2023 bersamaan 16 Zulhijjah 1444 H