#2079: Adakah Dibolehkan Melakukan Solat Sunat Sekiranya Terdapat Solat Fardhu Yang Perlu Diganti?

Soalan:

Assalamualaikum wbt Dato, saya ingin bertanya, saya tinggalkan solat bertahun-tahun. Saya sedang cuba ganti sedikit demi sedikit. Sementara itu, adakah boleh saya melakukan amalan sunat seperti solat sunat ?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat merupakan salah satu rukun daripada rukun Islam dan ia juga merupakan penanda dalam membezakan antara orang yang beriman dan juga orang yang kafir sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith. Solat juga adalah satu ibadah yang wajib ditunaikan oleh semua yang bergelar Muslim iaitu yang melafazkan dua kalimah syahadah. Firman Allah SWT:

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ

Maksudnya: “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang.”

(Surah al-Baqarah: 43)

Diriwayatkan daripada Abdullah Bin Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda :

بنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ ، شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ ، وَإِقَامِ الصَّلَاةِ ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ، وَالْحَجِّ ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Islam terbina atas lima perkara: penyaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan, dan menunaikan haji ke baitullah bagi yang mampu.”

Riwayat al-Bukhari (7)

Kami nukilkan daripada kitab al-Kabair (hlm. 30-36) oleh Imam al-Zahabi menyatakan :

Solat adalah diumpamakan seperti pertalian hamba dengan Tuhannya, yang mana orang yang memutuskan pertalian itu dikira berdosa besar, apatah lagi jika dia mengingkari kewajipannya atau memperkecilkan-kecilkan orang yang mengikat pertalian itu sehingga boleh dianggap kafir, jika tidak perlu bertaubat dan kembali kepada Tuhan-Nya. (Lihat al-Kabair, Hlm.30-36)

Allah SWT berfirman:

فَخَلَفَ مِن بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا الصَّلَاةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيّاً (٥٩) إِلَّا مَن تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ صَالِحاً

Maksudnya: “Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka), kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh.”

(Surah Maryam: 59-60)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan, pertamanya perlu bertaubat kepada Allah SWT atas kesalahan meninggalkan solat dan wajib menggantikan balik solat-solat yang telah ditinggalkan  kerana ia merupakan hutang kepada Allah SWT yang perlu dilangsaikan  sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Ibn A’bbas R.anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda :

فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى

Maksudnya:Adapun hutang Allah itu lebih berhak untuk dilunaskan.”

Riwayat Abu Daud (3310)

Berkaitan dengan solat sunat bagi sesiapa yang mempunyai solat fardhu yang perlu diganti, dalam hal ini ulama berbeza pendapat :

Mazhab Hanafi : Menyibukkan diri dengan solat-solat sunat tidak menafikan  qadha’ solat bahkan lebih utama untuk menqadha solat fardhu dan meninggalkan solat-solat sunat melainkan solat sunat rawatib.

Maliki :  Diharamkan bagi sesiapa yang mempunyai solat fardhu yang perlu diganti melakukan solat sunat kecuali solat sunat fajar, sunat witir, dan solat sunat hari raya. Sekiranya melakukan solat sunat selain yang telah disebut seperti solat sunat tarawih maka dia tetap mendapat ganjaran kerana melakukan ketaatan kepada Allah SWT dan dia berdosa kerana melewatkan qhada’ solat.  Mereka juga berpandangan dibolehkan untuk melakukan  solat sunat tahiyyat al-masjid dan sunat-sunat rawatib.

Syafi’I : Diharamkan bagi yang mempunyai ganti solat fardhu melakukan solat sunat samada solat sunat rawatib atau selainnya sehinggalah dia bebas dari tanggungjawabnya iaitu menggantikan puasa.

Hanbali : Diharamkan bagi sesiapa yang mempunyai solat ganti melakukan solat sunat mutlak. Sekiranya dia solat maka solat tersebut tidak dikira. Adapun solat sunat muqayyad seperti solat sunat rawatib dan solat sunat witir maka ia bolehkan. Namun, lebih baik ditinggalkan sekiranya terdapat banyak solat fardhu yang ditinggalkan. Mereka berpendapat diharuskan melakukan solat sunat fajar kerana ia dituntut untuk menggantikan balik sekiranya ditinggalkan walaupun banyak solat fardhu yang perlu diganti. (Lihat Dar al-Ifta al-Misriyyah, Hlm.9)  

Imam Ibn Hajar al-Haitami menyatakan: Bagi sesiapa yang mempunyai solat fardhu yang ditinggalkan – jika solat yang ditinggalkan itu kerana keuzuran – dibolehkan solat sunat bersamanya samada solat sunat rawatib dan selainnya. Jika solat yang ditinggalkan itu tanpa keuzuran, maka tidak dibolehkan untuk melakukan solat sunat sebelum menggantikan solat fardhu yang ditinggalkan. Ini kerana wajib baginya bersegera menunaikannya dengan menggunakan keseluruhan masanya (Lihat Al-Fatawa al-Fiqhiyyah al Kubra, 1/189)

Justeru kami katakan disini, bersegeralah menqadha solat kerana ia merupakan tuntutan dan tanggungjawab yang perlu diselesaikan dan utamakanlah perkara yang wajib iaitu qadha solat  berbanding solat sunat. Namun sekiranya ingin melakukan solat sunat maka lakukanlah solat sunat yang dituntut seperti solat sunat rawatib, solat sunat fajar, dan solat sunat witir.

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang jelas dalam melaksanakan syariat-syariatnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Wallahua’lam 

Bertarikh: 5 Julai 2023 bersamaan 16 Zulhijjah 1444 H