#2085: Rambut Gugur Ketika Larangan Korban

Soalan:

Saya telah berniat untuk melakukan korban dan antara perkara yang dilarang adalah tidak boleh memotong kuku dan rambut. Persoalan saya, adakah saya dianggap telah melanggar larangan tersebut sekiranya rambut saya gugur semasa saya menyikatnya? Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: “Maka dirikanlah sembahyang kerana Tuhanmu dan berkorbanlah (sebagai bersyukur).”

 Surah al-Kauthar (2)

Maksud ‘berkorbanlah’ di dalam ayat tersebut mengikut pendapat yang paling sahih ialah mengorbankan atau menyembelih binatang-binatang korban. Hal ini sepertimana yang disebut di dalam tafsir Imam Ibn Kathir: “Yang benar bahawa yang dimaksudkan dengan al-Nahr adalah menyembelih korban, iaitu menyembelih unta dan sejenisnya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/556)

Apabila memasuki bulan Zulhijjah (1 Zulhijjah), disunatkan bagi orang yang ingin melakukan korban untuk tidak memotong rambut di kepalanya, wajahnya, atau badannya, tidak memotong kukunya, sehinggalah dia selesai menyembelih korbannya. Hal ini  sebagaimana hadith daripada Ummu Salamah R.anha bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ لَهُ ذِبْحٌ يَذْبَحُهُ فَإِذَا أُهِلَّ هِلَالُ ذِي الْحِجَّةِ، فَلَا يَأْخُذَنَّ مِنْ شَعْرِهِ، وَلَا مِنْ أَظْفَارِهِ شَيْئًا حَتَّى يُضَحِّيَ

Maksudnya: Barangsiapa yang mempunyai binatang korban untuk disembelih, maka apabila terlihatnya anak bulan Zulhijjah, janganlah dia mengambil satu apa pun (yakni memotong) daripada rambutnya, mahupun daripada kukunya sehingga dia selesai berkorban.

Riwayat Muslim (1977)

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan perbuatan saudari menyikat rambut sehingga terdapat rambut yang gugur, tidak dikira melanggar larangan tersebut. Hal ini kerana ia perbuatan yang tidak disengajakan dan bukan dianggap sebagai memotong, maka ianya dimaafkan.

Semoga Allah SWT memberikan kepada kita kekuatan untuk beribadah kepada-Nya di samping kefahaman yang jelas dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 5 Julai 2023 bersamaan 16 Zulhijjah 1444 H