Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah ustaz terangkan sikit berkenaan hukum makan telur kaviar? Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan mengekumakan terlebih dahulu takrif kaviar. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kaviar ialah telur sejenis ikan yang diasinkan dan dimakan sebagai hidangan istimewa dan mewah.[1] Kaviar ialah roe atau telur ikan daripada keluarga sturgeon. Ia dianggap sebagai makanan istimewa, sering dimakan mentah sebagai pembuka selera, dengan beberapa jenis kaviar yang mempunyai harga yang tinggi. Menurut sejarah, jenis kaviar yang paling berharga berasal daripada ikan-ikan dari Caspian dan Laut Hitam, tetapi disebabkan penangkapan yang berlebihan, kaviar kini dihasilkan di seluruh dunia.
Ikan betina bertelur untuk membiak; jadi mereka semua mempunyai roe. Walau bagaimanapun, tidak semua telur ikan sesuai untuk dimakan manusia dan hanya telur sturgeon dianggap kaviar. Sturgeon ialah ikan anadromous air masin (bermaksud ia bergerak dari air masin ke air tawar untuk bertelur). Mereka berasal dari Laut Hitam dan Kaspia di antara Eropah dan Asia serta Pasifik Barat Laut dan pantai Atlantik selatan Amerika Syarikat. Sturgeon boleh membesar sehingga lebih 3,000 paun tetapi biasanya purata beratnya ialah kira-kira 60 paun.
Jenis telur ikan popular lain seperti salmon, trout dan ikan terbang sangat digemari dan popular untuk diletak di atas gulungan sushi, roti bakar dan banyak lagi. Walau bagaimanapun, mereka tidak dianggap kaviar. Beberapa jenis telur ikan mempunyai rasa dan ciri tekstur yang serupa dengan kaviar dan boleh digunakan sebagai pengganti.
Kaviar yang paling berharga berasal dari jenis sturgeon beluga dan osetra. Kaviar Beluga adalah antara yang terbesar, paling jarang, dan paling mahal daripada semua kaviar. Ia biasanya tidak ditemui di Amerika Syarikat disebabkan oleh penangkapan ikan yang berlebihan dan peraturan kerajaan, tetapi kaluga ialah varieti yang boleh didapati di sebahagian negeri dengan rasa dan tekstur unik yang hampir sama dengan mentega. Osetra mempunyai rasa yang lebih pedas, masin, segar, manakala sevruga mempunyai rasa yang kuat dan pecah di dalam mulut anda. Sterlet adalah hampir serupa dengan sevruga dan sering disalahlabelkan seperti itu. Hackleback berasal dari ikan sturgeon di Sungai Mississippi dan mempunyai rasa yang lembut dan pedas. Sebilangan jenis kaviar lain wujud dengan rasa, tekstur dan warna yang berbeza.
Selain jenis ikan, kaviar digredkan berdasarkan saiz, tekstur, dan rasa telur. Terdapat dua gred utama kaviar:
Gred 1: Telur yang kukuh dan besar yang utuh (lebih mahal).
Gred 2: Telur yang kurang halus dan kurang sempurna (lebih murah).
Kaviar Beluga juga dinilai mengikut warna. 000 ialah kelabu terang atau perak, 00 ialah kelabu sederhana, dan 0 ialah kelabu. Warna yang lebih cerah lebih mahal tetapi tidak menjejaskan rasa. Warna kaviar yang paling jarang adalah kaviar emas. Ia adalah warna kuning pucat yang dipercayai hanya terdapat dalam satu dalam 1,000 osetra sturgeon.
Kaviar boleh tidak dipasteur atau dipasteur. Tanpa proses pempasteuran, ia meningkatkan risiko penyakit bawaan makanan dan mengurangkan jangka hayat, tetapi kaviar yang benar-benar segar dan mentah sangat mahal kerana rasa dan teksturnya yang unggul.[2]
Malah, kini ikan sturgeon telah berjaya diternak secara terbuka di bumi tropika, Malaysia, sekaligus menjadikan Malaysia pengeluar kaviar tropika pertama dunia.[3]
Hukum makan telur kaviar
Pada asasnya, hukum asal bagi makanan dan minuman adalah halal melainkan terdapatnya dalil yang menyatakan hal sebaliknya. (Lihat Raudhah al-Talibin, 3/271; al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685). Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا
Maksudnya: “Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.”
(Surah al-Baqarah: 29)
Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2). Justeru, diharuskan untuk memakan semua makanan yang suci lagi bersih, bukannya makanan yang bernajis mahupun mutanajjis (terkena najis), dan yang tidak ada kemudaratan padanya seperti racun dan seumpamanya. Oleh itu, termasuklah yang diharuskan untuk makan itu adalah kasturi — kerana ia adalah suci dan tidak memudaratkan —dan seumpamanya seperti biji-bijian, buah-buahan dan lain-lain yang terdiri daripada benda-benda yang suci. (Lihat al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685).
Tambahan lagi, kenyataan ini disokong dengan kaedah fiqh yang dipersetujui para ulama:
الأَصْلُ فِي الأَطْعِمَةِ الْحِلُّ، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ
Maksudnya: “Hukum asal bagi makanan adalah halal dan hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125).
Berbalik kepada soalan yang diajukan, sebagaimana yang kita ketahui, kaviar ialah telur sejenis ikan dari keluarga sturgeon.[4] Secara umumnya, semua hidupan air adalah halal dimakan sama ada yang menyerupai bentuk kebiasaan ikan atau tidak menyerupai bentuk kebiasaan ikan, selagi mana tiada dalil lain yang menunjukkan sebaliknya. Hal ini kerana perkataan al-Samak “السَّمَك” — sebagaimana yang terdapat dalam hadith — merujuk kepada semua hidupan air. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/33-34; Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/547-548). Ia termasuk sebagaimana firman Allah SWT:
أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ
Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut.”
(Surah al-Ma’idah: 96)
Begitu juga, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ
Maksudnya: “Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.”
Riwayat Abu Daud (83); al-Tirmizi (69) dan al-Nasa’i (59)
Justeru, jika ikan termasuklah sturgeon halal bangkainya, maka kita diharuskan untuk mengambil manfaat dengan seluruh bahagian-bahagian anggotanya seperti dagingnya, kulitnya, ekornya, matanya dan lain-lain, termasuklah telurnya selagi mana ia bukan najis dan tidak memudaratkan. Begitu juga mengenai hadith yang menceritakan mengenai kehalalan ikan paus dan tidak dinyatakan terdapatnya apa-apa bahagian yang dikecualikan untuk dimakan.[5] Perkara ini bertepatan dengan kaedah:
التَّابِعُ تَابِعٌ
Maksudnya: “(Hukum bagi) yang mengikut itu mengikut (hukum bagi yang asal).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, 1/117).
Begitu juga dengan kaedah:
الْفَرْعُ يَتْبَعُ الْأَصْلَ
Maksudnya: “Anak atau cabang mengikut hukum ibu atau asalnya.”
Dalam erti kata lain, telur adalah cabang atau sebahagian daripada ikan — yang halal bangkainya. Justeru, hukum yang sama turut terpakai ke atas bahagian tersebut — yakni halal dimakan.
Selain daripada itu, berkenaan hukum telur itu sendiri, Imam al-Nawawi ada menyebutkan bahawa telur daripada haiwan yang halal dimakan dagingnya adalah suci secara ijmak. Manakala telur daripada haiwan yang tidak halal dimakan dagingnya pula, padanya terdapat dua pendapat. Pendapat yang kuat dalam hal ini adalah ia dikira suci. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/555). Begitu juga al-Khatib al-Syirbini menjelaskan lagi dengan mengatakan bahawa terdapat khilaf dalam kalangan ulama berkenaan kehalalan memakan telur haiwan yang tidak dimakan dagingnya. Dinyatakan di dalam kitab al-Majmu‘, jika kita katakan bahawa telur itu dikira suci — dan ia adalah pendapat yang rajih — maka dihalalkan untuk memakannya tanpa sebarang khilaf kerana telur adalah suci dan tidak dianggap jijik. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/158).
Kesimpulannya
Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa kaviar yang telah diasinkan adalah halal untuk dimakan sebagaimana hukum asalnya kerana ia adalah telur ikan yang mana bangkainya halal untuk dimakan, selagi mana ia tidak memudaratkan dan tidak bercampur dengan bahan-bahan bernajis dalam proses pembuatannya.
Begitu juga kami berpendapat bahawa harus memakan telur secara mentah. Namun, jika ia boleh memudaratkan kesihatan serta boleh membawa kepada keracunan makanan, maka hukumnya adalah haram. Perbahasan lanjut berkenaan perkara ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #461 Makan Telur Mentah.[6]
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Wallahu a‘lam.
[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=kaviar. Diakses pada 28 Jun 2023.
[2] Lihat https://www.thespruceeats.com/what-is-caviar-1807004. Diakses pada 28 Jun 2023.
[3] Lihat https://www.facebook.com/watch/?v=2448100228570867. Diakses pada 28 Jun 2023.
[4] Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, sturgeon ialah sejenis ikan besar daripada famili Acipenseridae yang telurnya dijadikan kaviar. (Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=sturgeon. Diakses pada 28 Jun 2023).
[5] Riwayat al-Bukhari (2483); (2983); (4361)
[6] Lihat https://maktabahalbakri.com/461-makan-telur-mentah/. Diakses pada 28 Jun 2023.
Bertarikh: 5 Julai 2023 bersamaan 16 Zulhijjah 1444 H