#2089: Nafkah Pemberian Tempat Tingggal

Soalan:

Assalamualaikum wrt. wbt. Isteri saya ada dapat sebuah rumah pemberian ibunya. Soalan saya, bukankah termasuk tanggungjawab suami untuk menyediakan tempat tinggal? Jadi, adakah saya perlu beli rumah itu daripada isteri saya?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nafkah dari segi bahasa ialah mengeluarkan, iaitu pembiayaan belanja seseorang terhadap ahli keluarganya. Manakala dari segi syarak ialah makanan, pakaian, tempat tinggal dan selainnya. Ia di namakan Nafaqah kerana dikeluarkan atau digunakan untuk keperluan itu. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/274)

Berkenaan isu nafkah, kami telah jawab dalam beberapa isu:

#1625: Nafkah Kepada Isteri[1]

#226 Nafkah Isteri Bekerja[2]

#833: Meninggalkan Isteri Tanpa Nafkah[3]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan pada asalnya, menyediakan tempat tinggal kepada isteri adalah salah satu nafkah yang wajib diberikan oleh suami. Namun, dalam situasi saudara, ibu mertua saudara telah memberikan hadiah berupa rumah kepada anaknya sebagai tanda tanda syukur atas perkahwinannya. Maka, dalam isu ini, sebaiknya saudara berbincang dengan isteri berkenaannya, agar tidak menjadi isu di kemudian hari. Pendapatan saudara juga boleh digunakan untuk kegunaan lain seperti membeli kelengkapan rumah, bil air/elektrik, keperluan kesihatan, perbelanjaan rumah dan seumpamanya.

 

Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang baik dalam memahami agama ini. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Wallahua`lam. 

[1] https://maktabahalbakri.com/1625-nafkah-kepada-isteri/

[2] https://maktabahalbakri.com/226-nafkah-isteri-bekerja/

 [3] https://maktabahalbakri.com/833-meninggalkan-isteri-tanpa-nafkah/

 

Bertarikh: 5 Julai 2023 bersamaan 16 Zulhijjah 1444 H