#2090: Kambing Sebesar Lembu; Dikira Seekor Atau 7 Bahagian?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya hendak bertanya berkenaan hukum korban dan akikah. Adakah kambing korban/akikah yang besarnya menyamai lembu, adakah dikira seekor atau 7 bahagian?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).

Surah al-Kauthar (2)

Maksud ‘berkorbanlah’ di dalam ayat tersebut mengikut pendapat yang paling sahih ialah mengorbankan atau menyembelih binatang-binatang korban. Hal ini sepertimana yang disebut di dalam tafsir Imam Ibn Kathir: “Yang benar bahawa yang dimaksudkan dengan al-Nahr adalah menyembelih korban, iaitu menyembelih unta dan sejenisnya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/556).

Daripada Jabir R.A, katanya:

نَحَرْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَامَ الْحُدَيْبِيَةِ الْبَدَنَةَ عَنْ سَبْعَةٍ وَالْبَقَرَةَ عَنْ سَبْعَةٍ

Maksudnya: “Kami melakukan korban bersama-sama Rasulullah SAW pada tahun Hudaibiyah dengan seekor unta untuk 7 orang dan seekor lembu untuk tujuh orang.”                                                                                 

Riwayat Muslim (1318)

Seekor kambing itu bersamaan dengan 1 bahagian bagi lembu dan juga unta. Disebutkan oleh al-Khatib al-Syarbini Rahimahullah di dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj:

وَكَالشَّاةِ سُبْعُ بَدَنَةٍ أَوْ بَقَرَةٍ، فَلَوْ ذَبَحَ بَدَنَةً أَوْ بَقَرَةً عَنْ سَبْعَةِ أَوْلَادٍ، أَوْ اشْتَرَكَ جَمَاعَةٌ فِيهَا جَازَ، سَوَاءٌ أَرَادُوا كُلُّهُمْ الْعَقِيقَةَ أَوْ بَعْضُهُمْ الْعَقِيقَةَ وَبَعْضُهُمْ اللَّحْمَ

Maksudnya: “Dan bagi seekor kambing itu 1/7 (satu bahagian) dari unta dan lembu. Sekiranya disembelih unta atau lembu itu dari 7 orang anak atau dikongsi secara beramai-ramai, ia juga dibolehkan sama ada dengan sembelihan itu kesemua (bahagian) diniatkan untuk aqiqah atau sebahagian untuk aqiqah dan sebahagian lagi hanya untuk mendapatkan daging sahaja.” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/139)

Jawapannya, tidak. Justeru, berdasarkan soalan di atas kami katakan seekor kambing sekali pun sebesar lembu ia tetap dikira satu bahagian sahaja. Begitulah sebaliknya, seekor lembu walaupun kecil apabila cukup syaratnya, maka ia tetap boleh dibahagi tujuh bahagian. Wallahu a’lam.

Bertarikh: 5 Julai 2023 bersamaan 16 Zulhijjah 1444 H