Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, adakah tulang & organ dalaman lembu korban perlu dibahagi kepada 7 bahagian seperti mana daging korban? Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَالْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُم مِّن شَعَائِرِ اللَّـهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ ۖ فَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّـهِ عَلَيْهَا صَوَافَّ ۖ فَإِذَا وَجَبَتْ جُنُوبُهَا فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّۖ كَذَلِكَ سَخَّرْنَاهَا لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Maksudnya: “Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian daripada syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.
(Surah al-Hajj: 36)
Ayat ini menunjukkan bahawa mereka yang melakukan sembelihan korban dan memilih binatang besar lagi gemuk sudah pasti termasuk dalam golongan yang membesarkan syiar Allah SWT. Syeikh Wahbah al-Zuhaili berkata: “Ia sebagai tanda dan lambang kebesaran agama Allah dengan melaksanakan ibadat korban tersebut.” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 17/296)
Berkenaan dengan pembahagian tulang dan organ dalaman haiwan korban, kami katakan sama seperti daging, jika yang menyertainya tujuh orang, dan setiap orang dengan satu bahagian, maka hendaklah dibahagikan tujuh. Ini kerana umum nas.
Daripada Jabir R.A, katanya:
نَحَرْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَامَ الْحُدَيْبِيَةِ الْبَدَنَةَ عَنْ سَبْعَةٍ وَالْبَقَرَةَ عَنْ سَبْعَةٍ
Maksudnya: “Kami melakukan korban bersama-sama Rasulullah SAW pada tahun Hudaibiyah dengan seekor unta untuk 7 orang dan seekor lembu untuk tujuh orang.”
Riwayat Muslim (1318)
Kecualilah, ada di kalangan mereka atau mereka semua bersetuju untuk diberi kepada sesiapa yang menghendakinya. Ini kerana pada zaman kita hampir kesemua yang ada pada lembu atau kerbau mempunyai peminat yang tersendiri. Ada yang minat perut, ada yang minat sup tulang, ada yang minat rojak katih, dan ada yang minat hati limpa dan organ dalaman.
Justeru, berlaku adillah agar semua dapat merasakan apa yang mereka kehendaki. Dan jika tidak, mereka boleh berikan kepada yang berminat. Itulah sebuah keadilan kerana meraikan keseluruhannya. Firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya.
(Surah al-Nahl: 90)
Semoga Allah SWT terima ibadat korban kita dan menjadikannya di kalangan orang-orang yang bertaqwa. Amin.
Bertarikh: 5 Julai 2023 bersamaan 16 Zulhijjah 1444 H