#2098: Mengaku Kesalahan Silam

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Dahulu, semasa sekolah, saya anak orang susah. Saya ada kawan baik yang keluarga dia owner koperasi sekolah. Disebabkan saya kawan baik anak mereka, saya diberi kepercayaan untuk bergilir menjaga urusan jual beli koperasi ketika waktu rehat. 

Ada waktu yang saya jaga sendirian kerana mereka percayakan saya. Saya kelabu mata melihat duit dan mencuri beberapa ringgit setiap kali giliran saya jaga bersendirian. Saya tidak ingat jumlah yang saya telah curi, tetapi ia masih dosa yang saya susah untuk lupa. Dia dan keluarga terlalu baik dengan saya. Sampai saya tidak sanggup untuk mengaku salah silam. 

Adakah boleh jika saya beri saja duit dan mengatakan sebagai hadiah, tetapi niat saya hendak  membayar apa yang saya sudah curi? Saya amat risau dan malu untuk mengaku kepada mereka.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Mencuri merupakan perbuatan maksiat yang dikategorikan sebagai dosa besar dalam agama Islam. Hukuman bagi pelakunya tidak sekadar dijanjikan di akhirat, bahkan diperuntukkan juga di dunia kerana mencuri merupakan perbuatan yang zalim. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran,

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: “Lelaki dan perempuan yang mencuri, potonglah kedua-dua tangannya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai seksaan daripada Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Surah al-Maidah (38)

Pencuri lelaki dan pencuri perempuan, potonglah tangan mereka wahai penguasa yang berkuasa berdasarkan syariah. Ini adalah hukuman bagi mereka yang mengambil harta orang lain tanpa hak sebagai pembalasan dan juga sebagai peringatan agar orang lain tidak melakukan perbuatan yang serupa. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa dalam kerajaan-Nya dan Maha Bijaksana dalam urusan-Nya. (Lihat Tafsir Muyassar,1/114)

Suka kami nyatakan peri pentingnya sifat amanah yang perlu ditanam sedari kecil kerana ia boleh mempengaruhi seseorang apabila meningkat dewasa. Alhamdulillah, saudara telah sedar di atas kesilapan yang lalu dan sentiasa menghambat diri saudara. Kerana itulah sifat dosa, apabila datang sebuah kekesalan ia sentiasa bermain di ufuk minda.

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan meskipun perit untuk mengaku kesalahan kita sebelum ini, namun wajib bagi kita jujur dan menzahirkan kekesalan di atas kesalahan yang dilakukan sebelum ini. Begitu juga, wajib memulangkan kembali apa yang telah diambil tanpa keiizinan tuannya sama ada barang atau nilaian barang tersebut sekiranya empunya barang itu masih hidup. 

Sekiranya dia telah meninggal dunia, maka wajib diserahkan kepada warisnya. Jika sekiranya jumlah yang dicuri tidak dapat ditentukan, maka kami syorkan untuk melebihkan sedikit bayaran curi tersebut (dalam kadar yang munasabah). Di samping itu, wajib bertaubat daripada segala dosa maksiat tidak kira dosa besar mahupun dosa kecil.

Berkenaan isu mencuri, saudara boleh juga rujuk di link bawah:

#1442: Bertaubat Dari Mencuri Dengan Bersedekah

https://maktabahalbakri.com/1442-bertaubat-dari-mencuri-dengan-bersedekah/

#1757: Mencuri untuk Bersedekah dan Melakukan Kebaikan

https://maktabahalbakri.com/1757-mencuri-untuk-bersedekah-dan-melakukan-kebaikan/

 

Akhir kalam, perbanyakkanlah istighfar dan taubat serta berdoa kepada Allah SWT seperti yang diajar oleh salafussoleh:

اللَّهمَّ اغفِر لي ولَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampunilah diriku dan dirinya.”

Semoga Allah SWT ampunkan dosa kita dan menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang soleh.

 

Bertarikh: 5 Julai 2023 bersamaan 16 Zulhijjah 1444 H