Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada persoalan, adakah boleh beriktikaf pada hari arafah di masjid?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.
Hari Arafah merupakan hari yang sangat agung dalam Islam, ia merupakan hari disempurnakan agama ini seperti mana dalam firman Allah SWT:
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا
Maksudnya: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redha Islam itu menjadi agama untuk kamu.”
(Surah al-Ma’idah: 3)
Antara kelebihan hari Arafah juga adalah ia merupakan rukun haji yang sangat agung, bahkan kesempurnaan haji diikat dengan berwuquf di padang Arafah. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abdul Rahman bin Ya‘mur R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الحَجُّ عَرَفَةُ
Maksudnya: “Haji adalah Arafah.”
Riwayat al-Tirmizi (814), Ibn Majah (3015), al-Nasa’ie (3016) dan Ahmad (18774)
Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin mengatakan, yang dimaksudkan dengan (الحَجُّ عَرَفَةُ) adalah wajib berwuquf di Arafah, jika tidak berwuquf di Arafah maka tiada baginya haji. Oleh yang demikian, para ulama’ berkata: “Sesiapa yang terlepas berwuquf di Arafah, maka dia telah terlepas haji.” (Lihat Majmu‘ Fatawa Ibn ‘Uthaimin, 24/23)
Hari Arafah ini juga merupakan antara hari yang dimustajabkan berdoa. Ini sebagai mana yang diriwayatkan daripada Talhah bin Ubaidillah R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَفْضَلُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ، وَأَفْضَلُ مَا قُلْتُ أَنَا وَالنَّبِيُّونَ مِنْ قَبْلِي: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ، وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلَّ شَيْءٍ قَدِيْرُ
Maksudnya: “Doa yang paling afdhal adalah doa pada hari arafah, dan doa yang paling afdhal adalah doa yang aku dan para nabi-nabi sebelumku bacakan: ‘Tidak ada yang berhak disembah selain Allah yang satu, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu’.”
Riwayat al-Tirmizi (3585), al-Baihaqi (8651) dan Malik di dalam al-Muwatta’ (1/214)
Iktikaf pada Hari Arafah
Sebelum menjawab persoalan di atas, ketahuilah bahawa perbuatan iktikaf merupakan antara amalan-amalan soleh yang sangat dituntut bagi seseorang muslim. Rasulullah SAW sering melazimi iktikaf di masjid seperti yang diriwayatkan daripada Ummul Mu’minin ‘Aisyah R.Anha katanya:
أَنَّ النَبِيَّ ﷺ كَانَ يَعْتَكِفُ العَشْرَ الأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضانَ حَتَّى تَوَفّاهُ اللهُ، ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW sering beriktikaf pada 10 hari terakhir Ramadhan sehinggalah Allah mewafatkan beliau, kemudian para isteri Baginda pula beiktikaf selepas Baginda.”
Riwayat al-Bukhari (2026) dan Muslim (1172)
Imam Ibn Battal mengatakan, ini merupakan bukti bahawa iktikaf merupakan sunnah yang dituntut, hal ini kerana ia merupakan amalan yang sering dilakukan oleh Nabi SAW, maka orang mu’min perlulah meneladani Nabi SAW. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 4/181)
Berkenaan isu yang diutarakan, para ulama’ Salaf berbeza pendapat tentang mereka yang sengaja mengkhususkan hari Arafah untuk beriktikaf. Permasalahan ini dikenali sebagai al-Ta‘rif Yaum Arafah.
Pandangan Pertama:
Sebahagian daripada mereka mengatakan bahawa amalan tersebut adalah dibolehkan. Al-Hasan al-Basri mengatakan bahawa yang melakukan amalan tersebut pada hari Arafah adalah Ibn ‘Abbas R.Anhuma, beliau pergi ke masjid untuk berdoa dan duduk di dalamnya untuk berzikir kepada Allah SWT.
Imam Ahmad pula berkata bahawa orang pertama yang lakukan amalan tersebut adalah Ibn ‘Abbas R.Anhuma dan ‘Amru bin Huraith R.A, mereka menuju ke masjid (untuk beriktikaf) pada hari Arafah. Beliau juga mengatakan bahawa tiada masalah pada amalan tersebut, ia bertujuan untuk doa dan berzikir kepada Allah. Ketika beliau ditanya: “Bagaimana pula dengan kamu?”, beliau menjawab tanpa menafikan mereka yang melakukan amalan tersebut: “Adapun aku tidak melakukannya.”
Diriwayatkan juga daripada Yahya bin Ma‘in bahawa beliau juga mengahadiri (pergi ke masjid) dengan orang lain.
Pandangan Kedua:
Sebahagian ulama’ lain mengatakan bahawa perbuatan ini makruh kerana tiada dalil yang khusus menyebutkan tentang sunnah beriktikaf pada hari Arafah. Ini merupakan pandangan Nafi‘ maula Ibn Umar, Ibrahim al-Nakha‘i, al-Hakam, Hammad, dan Malik bin Anas. (Lihat Syarh Kitab al-Jami‘ li Ahkam al-‘Umrah wa al-Hajj wa al-Ziarah, 18/21)
Kami cenderung mengatakan bahawa beriktikaf pada hari Arafah secara umumnya adalah harus bagi tujuan berdoa dan berzikir kepada Allah SWT. Adapun perbuatan mengkhususkan amalan iktikaf hanya pada hari Arafah maka ia bukanlah sunnah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW, dan setiap amalan yang dikhususkan hendaklah disertakan dengan dalil yang sahih.
Amalan Salaf pada Hari Arafah
Antara kisah para Salaf pada hari Arafah yang boleh kami kisahkan, sebagai mana yang dikisahkan oleh Ibn Rejab al-Hanbali bahawa sebahagian Salaf pada hari Arafah diselubungi dengan ketakutan dan sifat malu pada hari tersebut.
Al-Fuddhail bin ‘Iyyadh ketika sedang berwuquf di Arafah, beliau banyak menangis sambil berdoa. Sehinggakan apabila matahari hampir terbenam, beliau mengangkatkan kepalanya seraya berdoa: “Alangkah malunya aku dengan Engkau (Allah), andainya Engkau mengampuniku.”
Sebahagian orang-orang yang arif berdoa ketika berwuquf di Arafah: “Ya Allah, seandainya Engkau tidak menerima ibadah hajiku, jerih payahku, dan pengorbananku, maka janganlah Engkau menghalang pahala wuquf aku pada sebahagian hari Arafah (kerana telah bersabar) oleh sebab musibah yang menimpaku kerana Engkau tidak menerima (ibadah haji tersebut).” (Lihat Lata’if al-Ma‘arif, hlm. 285)
Kesimpulan
Kami katakan bahawa hukum beriktikaf di masjid pada hari Arafah adalah harus jika tidak dikhususkan amalan tersebut dengan sengaja. Hal yang demikian kerana hari tersebut merupakan salah satu hari mustajab berdoa, dan tujuan beriktikaf juga adalah berdoa dan mengingati Allah SWT.
Dapat diteliti juga daripada kebanyakan riwayat yang diceritakan berkenaan amalan para Salaf pada hari Arafah adalah berdoa dan mengingati Allah SWT.
Akan tetapi, perbuatan mengkhususkan amalan iktikaf pada hari Arafah memerlukan kepada dalil yang thabit daripada syara‘.
Wallahu a‘lam
Bertarikh: 5 Julai 2023 bersamaan 16 Zulhijjah 1444 H