Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Dalam jemaah wanita adakah disunatkan iqamah sesama mereka? Dan apa hukum jika ada jemaah lelaki atau khunsa?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya),”
Surah al-Jumu’ah (9)
أَتَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَا وَصَاحِبٌ لِي فَلَمَّا أَرَدْنَا الْإِقْفَالَ مِنْ عِنْدِهِ قَالَ لَنَا إِذَا حَضَرَتْ الصَّلَاةُ فَأَذِّنَا ثُمَّ أَقِيمَا وَلْيَؤُمَّكُمَا أَكْبَرُكُمَ.
Maksudnya: “Aku menemui Nabi SAW bersama seorang sahabatku. Ketika kami hendak kembali pulang, Baginda SAW berpesan: “Jika waktu solat telah tiba, maka laungkanlah azan, dan dirikanlah (iqamah) solat, hendaknya yang berhak menjadi imam adalah yang paling dewasa di antara kamu.”
Riwayat Muslim (674)
Kami kemukakan terlebih dahulu takrif iqamah. Iqamah menurut kaedah bahasa Arab adalah berasal daripada ‘أَقَام’ yang bermaksud menjadikannya lurus atau menegakkan. Manakala menurut istilah syarak, iqamah merupakan satu ibadah kepada Allah bagi menegakkan solat dengan zikir tertentu. (Lihat al-Syarh al-Mumti’, 2/36)
Dalam mazhab Imam al-Syafi’i, hukum iqamah adalah sunat muakkad untuk solat fardhu lima waktu sama seperti hukum azan. Kata Imam al-Nawawi: Mazhab kami yang masyhurnya adalah keduanya (azan dan iqamah) itu sunat bagi kesemua solat semasa hadir (tidak bermusafir) dan juga semasa musafir bagi (solat) berjemaah dan juga solat bersendirian. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/88)
Adapun, perempuan tidak disunatkan azan, tetapi memadai iqamah sesama mereka. Sebaliknya, jika ada lelaki mahu pun khunsa maka perempuan tidak lagi disunatkan untuk iqamah. Pengarang kitab Bughyatu al-Mustarsyidin berkata, tidak memadai iqamah wanita di hadapan lelaki atau pun khunsa. Berlainan jika sekiranya jika bersama wanita, hukumnya adalah sunat. (Lihat Bughyatu al-Mustarsyidin, 1/60)
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
Surah Ibrahim (40)
Bertarikh: 5 Julai 2023 bersamaan 16 Zulhijjah 1444 H