#2103: Menangkap Arnab yang Berkeliaran di Kawasan Rumah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya dan ibu saya ada tangkap seekor arnab yang jinak, yang berkeliaran di luar rumah saya. Ayah saya sudah bertanya kepada jiran-jiran tetapi tiada yang mengaku sebagai tuan. Soalannya, apakah hukumnya, sekiranya kami tidak dapat menjejaki tuan asal, dan kami buat keputusan untuk jual arnab tersebut? Ataupun kami perlu menjaganya dan teruskan mencari tuannya dalam beberapa tempoh atau masa? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan riwayat daripada Anas R.A, beliau berkata:

أَنْفَجْنَا أَرْنَبًا وَنَحْنُ بِمَرِّ الظَّهْرَانِ، فَسَعَى القَوْمُ فَلَغِبُوا. فَأَخَذْتُهَا فَجِئْتُ بِهَا إِلَى أَبِي طَلْحَةَ. فَذَبَحَهَا فَبَعَثَ بِوَرِكَيْهَا – أَوْ قَالَ: بِفَخِذَيْهَا – إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَبِلَهَا

Maksudnya:Kami telah mengejutkan seekor arnab ketika kami berada di Mar al-Zahran, lalu orang ramai mengejar (untuk menangkapnya sehinggalah) mereka keletihan. Lalu aku telah menangkapnya dan membawanya kepada Abu Talhah. Beliau pun menyembelihnya dan mengirimkan kedua-dua pangkal paha arnab tersebut, – atau (perawi berkata): Anas berkata: kedua-dua pahanya, – kepada Nabi SAW dan Baginda SAW telah menerimanya.

Riwayat al-Bukhari (5535) dan Muslim (1953)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini menyebutkan, memakan arnab adalah halal di sisi Imam Malik, Abu Hanifah, al-Syafi‘i dan Ahmad serta ulama keseluruhannya, melainkan apa yang dinukilkan daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As dan Ibn Abi Laila bahawa mereka berdua berpendapat hukumnya adalah makruh. Jumhur ulama berhujah dengan hadith ini bersama hadith-hadith lain yang semisal dengannya, dan tidak sabit sedikitpun hadith mengenai larangan daripada memakannya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/104-105).

Seterusnya, pada asasnya, kita dilarang untuk menggunakan atau mengambil harta seseorang secara batil. Hal ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ

Maksudnya:Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu di antara kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya).”

(Surah al-Nisa’: 29)

Syeikh al-Sa‘di ketika membahaskan mengenai ayat ini, menyebutkan bahawa Allah melarang para hamba-Nya yang beriman daripada memakan harta-harta di antara mereka dengan cara yang batil. Hal ini merangkumi harta yang dirampas, dicuri dan dengan cara perjudian. Malah boleh jadi termasuk juga dalam hal ini memakan harta sendiri dengan sombong dan berlebih-lebihan, kerana hal itu adalah termasuk dalam perkara yang batil dan bukannya daripada perkara yang hak. Setelah itu, Allah membolehkan bagi mereka memakan harta dengan cara perniagaan dan pendapatan yang tidak terdapat padanya penghalang-penghalang, dan memenuhi syarat-syaratnya seperti saling meredhai dan sebagainya. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/175).

Tambahan lagi, al-Maraghi menyatakan bahawa perkataan ‘batil’ bermaksud sia-sia. Namun, dari segi istilah agama pula ialah mengambil harta orang lain tanpa imbalan yang sewajarnya atau tanpa kerelaan pemiliknya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 3/1168).

Begitu juga, Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa maksud ‘memakan harta dengan cara batil’ ialah dengan pelbagai cara perolehan yang tidak syar‘i seperti riba, judi, rampasan dan menipu dalam timbangan jual beli. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 5/31).

Selain itu, terdapat sebuah hadith daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

لَا يَحِلُّ مَالُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ إِلَّا بِطِيبِ نَفْسِهِ

Maksudnya:Tidak halal mengambil harta seseorang muslim kecuali dengan kerelaan dirinya.”

Riwayat al-Daraqutni (2885)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, arnab yang ditangkap itu ada dua kemungkinan padanya, sama ada ia haiwan liar yang tidak mempunyai pemilik tetapi menjadi jinak kerana berada di kawasan perumahan atau haiwan yang dipelihara yang memang mempunyai pemilik tetapi terlepas dari sangkarnya.

Kami berpendapat, jika ayah saudara sudah berusaha bertanya kepada jiran-jiran dan mengiklankannya, namun tetap juga tidak menjumpai tuannya, maka berkemungkinan ia adalah arnab liar yang berkeliaran yang tidak mempunyai pemilik. Jadi, dengan menangkap arnab itu, telah menjadikannya dimiliki oleh orang yang menangkapnya, dan orang yang menangkapnya pula berhak untuk mengurusnya sebagaimana yang dikehendakinya sama ada untuk memakannya, menjualnya atau memeliharanya.

Justeru, tidak mengapa sama ada untuk menjualnya ataupun terus memeliharanya sehingga suatu tempoh masa sehingga datang tuannya, jika benar ia bertuan. Namun, jika ia sudah dijual, lalu tuannya datang dan memintanya, maka hendaklah diberikan hasil jualan arnab itu kepada tuannya. Begitu juga jika ia sudah dimakan, maka imbalan yang setimpal hendaklah diberikan kepada tuannya. Hal ini kerana tuannya lebih berhak kepada hasil jualan tersebut kerana arnab itu adalah miliknya.

Di sana terdapat kisah dalam kalangan umat terdahulu yang pernah diceritakan oleh Nabi SAW, di mana ada tiga orang pemuda pernah terperangkap di dalam gua ketika sedang berehat pada malam hari disebabkan oleh batu besar dari atas gunung jatuh berguling dan menutup pintu gua. Lalu ketiga-tiga mereka dengan bertawasul dengan amalan-amalan soleh mereka, supaya Allah membukakan jalan buat mereka untuk keluar dari gua tersebut, dan akhirnya mereka dapat keluar dari gua tersebut. Nabi SAW bersabda bahawa salah seorang pemuda tersebut berdoa dengan berkata:

اللَّهُمَّ إِنِّي اسْتَأْجَرْتُ أُجَرَاءَ فَأَعْطَيْتُهُمْ أَجْرَهُمْ غَيْرَ رَجُلٍ وَاحِدٍ تَرَكَ الَّذِي لَهُ وَذَهَبَ، فَثَمَّرْتُ أَجْرَهُ حَتَّى كَثُرَتْ مِنْهُ الأَمْوَالُ، فَجَاءَنِي بَعْدَ حِينٍ فَقَالَ: يَا عَبْدَ اللَّهِ، أَدِّ إِلَيَّ أَجْرِي. فَقُلْتُ لَهُ: كُلُّ مَا تَرَى مِنْ أَجْرِكَ مِنَ الإِبِلِ وَالبَقَرِ وَالغَنَمِ وَالرَّقِيقِ. فَقَالَ: يَا عَبْدَ اللَّهِ، لاَ تَسْتَهْزِئْ بِي. فَقُلْتُ: إِنِّي لاَ أَسْتَهْزِئُ بِكَ. فَأَخَذَ كُلَّهُ فَاسْتَاقَهُ فَلَمْ يَتْرُكْ مِنْهُ شَيْئًا. اللَّهُمَّ فَإِنْ كُنْتُ فَعَلْتُ ذَلِكَ ابْتِغَاءَ وَجْهِكَ فَافْرُجْ عَنَّا مَا نَحْنُ فِيهِ، فَانْفَرَجَتِ الصَّخْرَةُ، فَخَرَجُوا يَمْشُونَ

Maksudnya:Ya Allah! Sesungguhnya aku pernah mengupah beberapa pekerja, lalu aku memberikan upah mereka kecuali seorang lelaki, dia meninggalkan upahnya dan pergi berlalu. Maka aku melaburkankan upahnya itu hingga harta itu pun menjadi banyak. Lalu dia datang kepadaku beberapa waktu kemudian seraya berkata: ‘Wahai hamba Allah, berikanlah kepadaku upahku!’ Aku berkata kepadanya, ‘Semua yang engkau lihat adalah upahmu, iaitu berupa unta, lembu, kambing dan hamba.’ Orang itu berkata: ‘Wahai hamba Allah, janganlah memperolok-olokkan aku!’ Aku katakan: ‘Sesungguhnya aku tidak mengolok-olok kamu.’ Maka, dia mengambil semuanya lalu menuntunnya tanpa meninggalkan satu pun. Ya Allah! Jika apa yang aku kerjakan itu kerana mencari wajah redha-Mu, maka bukakanlah pintu gua ini bagi kami.”

Riwayat al-Bukhari (2272)

Selain daripada itu, hasil jualan arnab itu juga boleh disedekahkan untuk maslahah umat Islam seperti dimasukkan ke dalam tabung-tabung masjid dan sebagainya. Akan tetapi jika ada tuannya datang dan memintanya, nilai jualannya itu hendaklah diberikan dan dibayar semula kepada tuannya tersebut.

Kami juga pernah menjawab berkenaan hukum memakan daging arnab dalam artikel kami, dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #471 Memakan Daging Arnab.[1] Penjelasan lanjut berkenaannya, bolehlah merujuk kepada artikel berkenaan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/471-memakan-daging-arnab/. Diakses pada 3 Julai 2023.

Bertarikh: 5 Julai 2023 bersamaan 16 Zulhijjah 1444 H