#2107: Korban Lembu Terseliuh

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. baru-baru ini pada Hari Raya Aidiladha di kampung kami, telah korban beberapa ekor lembu. Salah seekor lembu baru tiba pada pagi raya yang dibawa dengan lori. Lembunya agak besar dan sado. 

Semasa diturunkan dari lori entah macam mana kakinya terkehel dan terus pincang, sedangkan ia hendak dikorbankan pada masa itu. Adakah dibolehkan korban dengan lembu tersebut dan adakah ianya sah?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ

Maksudnya: “Sesiapa yang menghormati Syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertakwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat takwa hati orang mu’min.”

(Surah al-Hajj:32)

Sebahagian ulama menafsirkan makna يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ dengan maksud mencari binatang korban yang gemuk dan lagi sedap mata memandang yang sempurna segala sifat-sifatnya seperti bertanduk, warna yang menarik dan lain-lain lagi.  

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith Nabi SAW: Daripada al-Barra’ bin Azib RA, daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda:

أَرْبَعٌ لاَ تُجْزِيْ فِي الأَضَاحِي: الْعَوْرَاءُ بَيِّنٌ عَوَرُهَا وَالْمَرِيضَةُ بَيِّنٌ مَرَضُهَا وَالْعَرْجَاءِ بَيِّنٌ عَرَجُهَا وَلاَ الْعَجْفَاءُ الَّتِى لاَ تُنْقِ

Maksudnya:Empat perkara yang menyebabkan binatang tidak sah dijadikan korban ialah binatang yang jelas buta sebelah matanya, penyakit yang nyata, jelas tempangnya, dan terlalu kurus hingga menampakkan tulang.”

Riwayat Abu Dawud (2802), al-Tirmizi (1497), al-Nasaie (4370), Ibn Majah (3144) dan Ahmad (18667). Abd al-Haq al-Isybili di dalam al-Ahkam al-Sughra (776) mengisyaratkan dalam muqaddimahnya bahawa sanad hadith ini sahih.

Antara syarat haiwan korban ialah haiwan tersebut tidak mengalami kecacatan yang menyebabkan kurang dagingnya termasuklah haiwan yang buta sekalipun hanya sebelah matanya. Hal ini jelas sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Nawawi bahawa disyaratkan pada haiwan korban itu mestilah selamat daripada kecacatan yang boleh mengurangkan dagingnya. Justeru, tidak sah haiwan yang sangat kurus, gila, terpotong sebahagian telinga, tempang, buta sebelah mata, sakit dan kudis yang jelas kelihatan. Tidak memberi kesan (kepada kesahan haiwan korban itu) jika kecacatan yang disebutkan tadi sangat sedikit, begitu juga ketiadaan tanduk-tanduknya, koyak telinga, dan tebukan pada telinga mengikut pendapat yang paling sahih. Kemudian, beliau menyebutkan bahawa menurutnya, pendapat yang sahih dan yang dinaskan adalah tidak sah kudis yang sedikit. (Lihat Minhaj al-Talibin, hlm. 320).

Dr. Muhammad al-Zuhaili menjelaskan, disyaratkan pada haiwan korban itu untuk selamat daripada kecacatan yang menyebabkan dagingnya kurang pada masa tersebut ataupun akan datang. Hal ini kerana tujuan atau maksud haiwan korban itu adalah bagi mendapatkan dagingnya. Justeru, tidak sah haiwan korban yang buta sebelah mahupun buta kedua-dua matanya. Begitu juga tidak sah haiwan korban yang tempang jika ketempangannya sangat parah sehingga haiwan ternak yang lain mendahuluinya ke padang rumput yang baik. 

Begitu juga tidak sah haiwan korban yang terlalu kurus sehingga hilang isinya disebabkan oleh kurus yang keterlaluan. Begitu juga tidak sah haiwan yang gila yang berputar-putar di padang ragut dan tidak meragut rumput melainkan hanya sedikit, lalu menjadi kurus. Begitu juga tidak sah haiwan korban yang hilang semua giginya. Begitu juga tidak sah haiwan korban yang terpotong sebahagian telinganya sekalipun sedikit kerana telah hilang sebahagian bahagian daging yang dimakan, begitu juga yang terpotong keseluruhan telinganya, dan yang dilahirkan tanpa telinga. Begitu juga tidak sah haiwan korban yang terpotong sebahagian lidahnya kerana ia akan memberi kesan. Hal itu adalah disebabkan berlakunya sesuatu yang akan memberi kesan kepada kekurangan daging. Begitu juga tidak sah haiwan korban yang sakit dan mempunyai kudis yang jelas kelihatan sama ada sedikit atau banyak. 

Semua ini adalah berdasarkan kepada hadith, daripada riwayat al-Barra’ bin ‘Azib R.A sebagaimana di atas. Seterusnya, kecacatan dan aib yang menyebabkan kurangnya daging haiwan itu diqiaskan kepada empat kecacatan tersebut (yang dinyatakan dalam hadith). (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/481-482).

Justeru, kami berpendapat dalam isu ini, hukum korban tersebut adalah harus kerana kecacatannya adalah bersifat baru mendatang ketika itu sedangkan pada asalnya ia adalah sihat dan sempurna sifatnya. Begitu juga, korban dilakukan pada masa itu juga.

Semoga Allah SWT terima ibadat korban dengan niat asalnya mencari lembu yang gemuk, besar dan sihat serta sempurna sifatnya tetapi apakan daya takdir mendahuluinya sebelum dikorbankannya yang menyebabkan kakinya terkehel. 

Begitu juga, dagingnya tidak berkurangan dengan sebab terkehel kaki tersebut dalam tempoh yang amat sekejap sebelum dikorbankan. 

Keikhlasan yang ditunjukkan dan memilih binatang korban yang besar adalah tanda mereka yang menyertainya mempunyai iman dan taqwa yang tinggi. Firman Allah SWT:

لَن يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَٰكِن يَنَالُهُ التَّقْوَىٰ مِنكُمْ ۚ 

Maksudnya: “Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu.

Surah al-Hajj (37)

Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H