Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Baru-baru ini pada masa Hari Raya Haji, rombongan kami pergi ke Kemboja. Apabila sampai ke perkampungan, kami terus melakukan ibadah korban dan sebahagiannya kami masak untuk rombongan kami serta penduduk kampung. Tiba-tiba wakil gabenor datang, ketika kami makan dan kami pelawa kepadanya sedangkan beliau bukan orang Islam. Bagaimana hal ini?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَالْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُم مِّن شَعَائِرِ اللَّـهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ ۖ فَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّـهِ عَلَيْهَا صَوَافَّ ۖ فَإِذَا وَجَبَتْ جُنُوبُهَا فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّۖ كَذَلِكَ سَخَّرْنَاهَا لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Maksudnya: “Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian daripada syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.
(Surah al-Hajj: 36)
Al-Imam Ibn Kathir Rahimahulah di dalam tafsirnya, Tafsir al-Quran al-‘Azim (5/428) menyebutkan bahawa mengenai ayat di atas, sebahagian salaf mengatakan diharuskan untuk memakan sebahagian daripada hasil korban tersebut. Al-Imam Malik Rahimahullah mengatakan sunat untuk di makan hasil korban tersebut dan ada juga pendapat yang mewajibkannya sepertimana pendapat sebahagian al-Syafi’iyyah.
Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebutkan di dalam al-Majmu’ bahawa al-Imam Ibn Munzir Rahimahullah telah mengatakan bahawa telah ijma’ iaitu dibolehkan untuk memberikan makan kepada fakir miskin dari kalangan umat Islam dari hasil korban manakala yang menjadi khilafnya adalah memberikan hasil korban kepada fakir miskin dari kalangan ahli al-zimmah.
Oleh itu, kami nyatakan di sini pendapat-pendapat yang berkaitan dengan permasalahan ini yang mana ada disebutkan oleh al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (8/425) dan begitu juga Ibn Qudamah al-Maqdisi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Mughni (9/450):
- Al-Imam Abu Hanifah Rahimahullah memberikan rukhsah (keringanan) bagi kafir zimmi yang fakir untuk diberikan kepada mereka daging korban. Ini juga adalah pendapat al-Hasan al-Basri Rahimahullah dan juga Abu Thaur Rahimahullah.
- Mazhab Maliki berpendapat hukumnya makruh seperti memberi makan kepada Yahudi atau Nasrani.
- Mazhab Hanbali berpendapat hukumnya harus dihadiahkan kepada orang kafir daripada daging korban yang sunat. Adapun yang wajib tidak diharuskan.
- Dalam mazhab Syafi’e, yang masyhur tidak dibolehkan kerana korban adalah ketaatan unuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Kami berpendapat bahawa di dalam isu ini hendaklah dilihat dari sudut maslahah dan juga siyasah syar’iyyah supaya ia lebih harmoni dalam masyarakat di samping menjadi senjata dakwah yang paling ampuh kepada masyarakat yang bukan Islam. Kami katakan di sini:
Sekiranya di dalam komuniti masyarakat Islam di sesuatu tempat terdapat jiran-jiran mereka yang bukan Islam dan mereka itu dikenali dengan sifat baik serta ramahnya dengan masyarakat setempat, jika terdapat lebihan dari hasil korban maka dibolehkan untuk diberikan kepada mereka.
Namun jika hasil korban itu hanya mencukupi untuk orang Islam, maka dahulukanlah umat Islam setempat yang lebih memerlukan. Wallahu a’lam.
Ini kerana terdapat dalil dari Al-Quran agar berbuat baik kepada orang bukan Islam yang mana Allah SWT telah berfirman:
لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ
Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”
Surah Al-Mumtahanah (8)
Justeru, sekali lagi kami katakan dalam isu anda tadi, maka hukumnya adalah harus dan ia termasuk dalam salah satu bentuk dakwah. Semoga dengan apa yang dipamerkan oleh orang Islam akan meresap ke dalam hatinya seterusnya membentuk keperibadian yang mulia.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اِتِّبَاعه وَأَرِنَا الْبَاطِل بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابه وَلَا تَجْعَلهُ مُتَلَبِّسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami untuk menjauhinya dan janganlah Kamu jadikannya keliru atas kami yang menyebabkan kami menyimpang dari kebenaran dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”
Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H