#2111: Mengendalikan Projek yang Berkaitan dengan Arak

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada persoalan, saya ditugaskan oleh majikan non-muslim untuk membuat reka bentuk kilang penyimpanan arak dan membuat beberapa submission bagi tujuan pengesahan dari pihak berautoriti. Projek ini mempengaruhi gaji yang akan saya peroleh pada setiap bulan.

Jika saya terus bekerja untuk projek ini dan di syarikat ini, adakah saya tergolong dalam 10 golongan yang dilaknat oleh Allah SWT dalam hal yang melibatkan arak?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Tidak dinafikan bahawa setiap daripada kita diuji dengan pelbagai ujian dunia, antaranya adalah ujian mendapatkan peluang pekerjaan yang baik. Sebaik-baik pekerjaan adalah yang halal bahkan tidak wujud sebarang syubhah atau kesamaran sama ada halal atau tidak. Benarlah sabda Nabi SAW: 

فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وَعِرْضِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang memelihara dirinya daripada sebarang syubah maka sebenarnya dia telah menyelamatkan agama dan maruahnya.”

Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (20)

Justeru, dengan mencari-cari sumber yang halal dan menjarakkan diri daripada sebarang keraguan, maka sudah tentu ia menatijahkan kebersihan rezki dan keberkatan dalam hidup.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan terlebih dahulu bahawa arak itu sendiri adalah haram hukumnya berdasarkan nas yang jelas daripada al-Quran, Allah SWT memerintahkan kita untuk menjauhinya seperti di dalam firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Ma’idah: 90)

Bahkan setiap perkara yang terkait dengan arak hanya mendorong kepada kemurkaan dan laknat daripada Allah SWT. Sehinggakan telah datangnya sebuah hadith yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW melaknat 10 golongan kerana arak, seperti mana yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Umar R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ فِي الْخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصَرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالْمَحْمُولَةِ إِلَيْهِ، وَسَاقِيهَا، وَبَائِعِهَا، وَآكِلُ ثَمَنِهَا، وَالْمُشْتَرِي لَهَا، وَالْمُشْتَرَى لَهُ

Maksudnya: “Rasulullah melaknat sepuluh orang yang terkait dengan arak: orang yang memerahnya, orang yang meminta diperahkannya, orang yang meminumnya, orang yang membawanya, orang yang meminta dibawakannya, orang yang memberi minumnya, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, pembelinya, dan orang yang dibelikan untuknya.”

Riwayat al-Tirmizi (1295) dan Ibn Majah (3381)

Telah thabit juga penafian keimanan orang yang meminum arak berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَزْنِي الزَّانِي حِينَ يَزْنِي وَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَلَا يَشْرَبُ الْخَمْرَ حِينَ يَشْرَبُ وَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَلَا يَسْرِقُ حِينَ يَسْرِقُ وَهُوَ مُؤْمِنٌ

Maksudnya: “Tidaklah seorang penzina itu berzina dalam keadaan dia beriman, dan tidaklah seorang peminum arak itu meminum arak dalam keadaan dia beriman, dan tidaklah seorang pencuri itu mencuri dalam keadaan dia beriman.”

Riwayat al-Bukhari (2475) dan Muslim (57)

Langkah terbaik bagi mendepani masalah begini adalah dengan cara keluar daripada khilaf untuk kita tidak turut terlibat dalam apa-apa pekerjaan yang terkait dengan arak. Hal ini berdasarkan kaedah yang menekankan seseorang Muslim itu agar menghindari daripada terjebak dalam sebarang perkara yang boleh menyebabkan dirinya ditohmah dan dicela.

اتَّقُوا مَوَاضِعَ التُّهَمِ

Maksudnya: “Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan.”

Kaedah ini dikeluarkan oleh ulama’ berdasarkan kalam Saidina Umar R.A, katanya:

مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menempuhi laluan-laluan tohmahan, dia akan ditohmah.”

Kami juga berpesan agar kita sama-sama mengingati pesan Nabi SAW berkenaan rezeki yang halal:

إِنَّ الْحَلاَلَ بَيِّنٌ وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا أُمُورٌ مُشْتَبِهَاتٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas, dan antara kedua-duanya ada perkara-perkara yang syubhah (yang tidak jelas hukumnya).”

Riwayat Abu Daud (3329)

Syara‘ juga melarang seseorang mu’min itu daripada membantu dalam melakukan perkara yang jelas menjurus ke arah dosa dan perbuatan yang dilarang. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ ‎

Maksudnya: “Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).”

(Surah al-Ma’idah: 2)

Kami menasihatkan, sebaiknya jika diketahui projek tersebut melibatkan penjualan atau penyimpanan arak, maka cubalah berbincang dan mendapatkan budi bicara daripada majikan agar anda dikecualikan daripada projek tersebut. Akan tetapi, jika anda tetap dituntut untuk mengendalikan projek tersebut, maka tinggalkanlah dan usahalah mencari pekerjaan yang tidak mempunyai syak wasangka pada keharusannya menurut syara‘. Nescaya Allah SWT akan menggantikan dengan pekerjaan yang lebih baik dan diberkati.

Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Qatadah dan Abu al-Dahma’, kata mereka bahawa seorang Badawi telah datang dan mengatakan bahawa Rasulullah SAW telah mengajarkan kepadanya apa yang telah diilhamkan oleh Allah SWT, seraya Baginda bersabda:

إِنَّكَ لَنْ تَدَعَ شَيْئًا لِلَّهِ إِلَّا بَدَّلَكَ اللَّهُ بِهِ مَا هُوَ خَيْرٌ لَكَ مِنْهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya kamu tidak meninggalkan sesuatu kerana Allah melainkan Allah akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik bagi kamu daripadanya.”

Riwayat Ahmad (23074). Al-Albani mengatakan sanadnya sahih di  dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah (2/734)

Kami mendoakan agar urusan saudara yang bertanya sentiasa dipermudahkan dalam mendepani ujian ini. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.” 

Riwayat Ibn Majah (925), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (9930) dan Ahmad (26602)

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H