#2115: Adakah Boleh Melakukan Puasa Sunat Bagi Sesiapa Yang Mempunyai Puasa Ganti?

Soalan:

Assalamualaikum Dato saya ingin bertanya, kalau kita belum habis lagi menggantikan puasa Ramadhan bolehkah  berpuasa  sunat ?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ ۚ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ ۚ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ ۖ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.”

(Surah al-Baqarah: 184)

Dalil di atas menunjukkan wajib menggantikan puasa bagi sesiapa yang meninggalkan puasa Ramadhan disebabkan sakit atau musafir atau sebab-sebab yang lain.Sekiranya tidak menggantikannya sehingga tiba Ramadan seterusnya maka ia berdosa dan perlu membayar fidyah (Lihat al-Fiqh al-Manhaji,3/118)

Al-Alusi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyebut : Barangsiapa yang mampu untuk berpuasa tetapi dia berbuka maka wajib ke atasnya memberi makan kepada fakir miskin dengan kadar makanan asasi pada setiap hari iaitu setengah sa’(gantang) gandum atau satu gantang daripada makanan-makanan yang lain mengikut kiraan ahlul I’raq atau satu gantang mengikut kiraan ahlul Hijaz. (Lihar Ruh al-Ma’ni,14/212) 

Al-Qurtubi dalam tafsirnya berkata: Ayat ini juga termasuk orang sakit dan hamil kerana kedua-duanya mampu untuk berpuasa tetapi dengan masyaqqah yang mengiringi mereka justeru jika mereka berpuasa memadai bagi mereka dan jika membayar fidyah, mereka pun memadai juga.(Lihat al-Jami’ Li Ahkam al-Quran,2/288 )

Menjawab bagi persoalan di atas, dalam isu ini ulama ada berbeza pandangan :

Mazhab Hanafi : Diharuskan melakukan puasa sunat sebelum menunaikan puasa qadha  kerana menunaikan puasa ganti tidak diwajibkan secara segera. Ibnu Abidin berkata: Jika menggantikan puasa Ramadhan itu diwajibkan secara segera, maka ia akan menjadi makruh kerana ia akan menyebabkan penundaan dalam menunaikan kewajipan pada waktu yang sempit.

Mazhab Maliki dan Syafi’I : Diharuskan melakukan puasa sunat tetapi hukumya makruh kerana ia menyebabkan terlewatnya mengganti  puasa. al-Dusuki berkata :  makruh bagi sesiapa yang mempunyai puasa  wajib seperti puasa nazar, puasa qadha’ dan puasa kaffarah melakukan puasa sunat samada puasa sunat tersebut merupakan puasa sunat yang tidak dituntut ataupun dituntut seperti puasa Asyura’ dan 9 hari pada bulan Zulhijjah.

Mazhab Hanbali : Haram melakukan puasa sunat sebelum menggantikan puasa Ramdan dan tidak sah puasa sunat yang dilakukan tersebut sebelum menggantikannya walaupun waktu untuk menggantinya masih panjang. Wajib banginya memulakan puasa yang wajib sehingga selesai menggantinya. Bagi sesiapa yang mempunyai puasa nazar maka perlu dilakukan selepas puasa wajib iaitu puasa ganti. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 28/100)

Ini berdasarkan apa yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:

من أدركَ رمضانَ وعليهِ من رمضانَ شيءٌ لم يقضهِ لم يتقبَّل منهُ ومن صامَ تطوُّعًا وعليهِ من رمضانَ شيءٌ لم يقضهِ فإنّهُ لا يتقبَّلُ منهُ حتّى يصومَهُ

Maksudnya: “Barangsiapa mendapati Ramadhan sedangkan ia masih memiliki tanggungan Ramadhan yang belum digantikan, maka Allah tidak akan menerima puasa Ramadhannya, dan barangsiapa berpuasa sunnah padahal ia masih memiliki tanggungan Ramadhan yang belum diqadha’, maka Allah tidak akan menerima puasanya sehingga ia mengqadha`nya.”

Riwayat Ahmad (8621)  

Kesimpulannya, dalam isu ini, kami berpandangan dibolehkan melakukan puasa sunat bagi sesiapa yang mempunyai puasa ganti. Namun demikian, puasa ganti hendaklah dilakukan sebelum kedatangan Ramadhan yang berikutnya. Hal ini berdasarkan  hadith Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصِّيَامُ مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ، فَمَا أَقْضِيَهُ حَتَّى يَجِيْءَ شَعْبَانُ

Maksudnya: “Aku masih berhutang puasa Ramadhan dan aku tidak dapat menggantikannya sehingga Sya’ban tiba”

Riwayat al-Nasaie (2319) dan Ibn Majah (1669)

Justeru kami nasihati supaya menyegerakan puasa ganti kerana ia merupakan  tanggungan puasa  yang wajib untuk dilangsaikan. Diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda :

فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى

Maksudnya:Adapun hutang Allah itu lebih berhak untuk dilunaskan.”

Riwayat Abu Daud (3310)

Semoga Allah memberi kefahaman yang jelas dalam melakukan ketaatan kepadanya dan kami akhiri dengan doa :

رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا

Maksudnya: Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H