#2118: Luqman al-Hakim Seorang Nabi?

Soalan:

Assalamualaikum wrt. wbt. Adakah Luqman al-Hakim seperti yang diceritakan dalam surah Luqman adalah seorang nabi atau tidak?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan. 

Sebagaimana diketahui, Luqman al-Hakim merupakan seorang yang Allah sebut namanya di dalam al-Quran, sehingga Allah turunkan satu surah yang dikenali sebagai Surah Luqman. Beliau amat terkenal dengan nasihat-nasihatnya kepada anaknya.

Firman Allah SWT:

 وَلَقَدْ آتَيْنَا لُقْمَانَ الْحِكْمَةَ…

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan..”

Surah Luqman (12)

Al-Maraghi dalam tafsirnya berkata: Sesungguhnya Allah telah menganugerahkan hikmah kepada Luqman al-Hakim sehingga beliau sentiasa bersyukur dan memujiNya dengan limpah rahmat. Begitu juga, Luqman sering melakukan kebaikan kepada manusia. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 11/5366)

 

Nasab Luqman al-Hakim

Ibn Kathir dalam tafsirnya menyatakan, nama beliau ialah Luqman bin Anqa’ ibn Sadun. Dikatakan juga Luqman ibn Tharan. Beliau adalah penduduk daripada Aylah (Jerusalem). Beliau merupakan seorang qadhi pada zaman Nabi Daud AS. Pendapat lain menyebut beliau adalah seorang hamba dari Habsyah (Ethiopia) dan bekerja sebagai tukang kayu. Ada juga pandangan mengatakan beliau dari Sudan Mesir. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/6)

Pekerjaan Luqman al-Hakim

Para ulama berbeza pandangan tentang pekerjaan sebenar beliau, antaranya:

  • Beliau seorang qadhi.
  • Beliau seorang tukang kayu.
  • Beliau seorang pemungut kayu api.
  • Beliau seorang penjahit pakaian.
  • Beliau seorang penternak. (Lihat Fatwa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah (no. 9211)

Sifat Luqman al-Hakim

Sufyan al-Thauri menyatakan bahawa daripada Ikrimah, Ibnu Abbas telah berkata, “Luqman adalah seorang hamba sahaya dari Habsyah dan merupakan seorang tukang kayu.” Menurut Jabir bin Abdullah, Luqman adalah seorang lelaki pendek dan berhidung pesek yang berasal dari Naubah.

Manakala Yahya bin Sa’id al-Ansari meriwayatkan bahawa Sa’id bin al-Musayyib berkata, “Luqman adalah seorang yang berkulit gelap dari Mesir/Sudan dan berbibir tebal. Allah memberinya hikmah dan tidak memberinya kenabian.” (Lihat Tafsir al-Tabari, 10/208-209)

Nasihat Luqman al-Hakim

Di sini kami nyatakan beberapa nasihat beliau kepada anaknya, sebagai pengajaran dan mengambil pedoman buat diri kita, antaranya:

Firman Allah SWT:

يَا بُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَاةَ وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنِ الْمُنكَرِ وَاصْبِرْ عَلَىٰ مَا أَصَابَكَ ۖ إِنَّ ذَٰلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ ﴿١٧﴾ وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا ۖ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ ﴿١٨﴾ وَاقْصِدْ فِي مَشْيِكَ وَاغْضُضْ مِن صَوْتِكَ ۚ إِنَّ أَنكَرَ الْأَصْوَاتِ لَصَوْتُ الْحَمِيرِ

Maksudnya: “Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.

“Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.

“Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai”.

Surah Luqman (17-19) 

Berbalik kepada soalan di atas, adakah Luqman al-Hakim ini seorang nabi? Maka, kami nyatakan para ulama berbeza pandangan berkenaannya. Menurut Imam al-Nawawi, “Para ulama berbeza pendapat tentang kenabian Luqman al-Hakim. 

  • Abu Ishaq al-Tsa’labi berkata, “‘Ulama bersepakat bahawa Luqman al-Hakim ialah orang bijaksana/ahli hikmah dan bukan seorang nabi.” 
  • Manakala Ikrimah pula berkata, “Bahawa Luqman ialah seorang nabi dan hanya beliau sahaja yang berpandangan sebegitu.” (Lihat Syarh Sahih Muslim, 2/503)

Manakala, Imam Ibn Kathir mengatakan bahawa para ulama’ salaf berbeza pandangan berkenaanya dan majoriti ulama berpandangan beliau adalah seorang yang soleh. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 12/348)

Setelah meneliti pandangan-pandangan di atas, kami cenderung kepada pendapat jumhur di kalangan sahabat dan ulama’ yang mengatakan bahawa, Luqman al-Hakim seorang hamba yang soleh dan bukan seorang Nabi. Justeru, pendapat seperti Ikrimah dan al-Sya’bi adalah lemah. Inilah juga yang disokong oleh Imam al-Nawawi dan Imam Ibn Kathir. (Lihat Fatwa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah (no. 9211)

Semoga kita dapat mendidik keluarga dan anak-anak kita agar benar-benar menghayati agama dengan sebaik mungkin. Amin.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H